`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 9, 2024

Jangan sedih pagi raya

 

Jangan sedih pagi ini
Tak dapat kita bersama
Meraikan Aidilfitri yang mulia…

Bait lagu raya nyanyian Sudirman yang keluar dari corong radio kereta menerpa ke telinga dalam perjalanan pulang ke kampung. Ini antara lagu raya yang kerap diputarkan dan telah saya dengar sejak kecil. Tak silap saya, ia juga pernah dilantunkan oleh Ahmad Jais sebelum itu.

Entah mengapa hari raya kerap dikaitkan dengan perasaan sayu dan pilu. Masyarakat kita ini pelembut agaknya, gemar terkenang-kenang. Kita kuat bersentimental dan melankolik. Di kaca televisyen juga selalu menyaksikan drama raya yang disulami kesedihan. Selalunya mengenangkan orang yang telah tiada. Saban tahun, iklan-iklan raya juga dilihat cuba memainkan emosi, mengetuk-ngetuk hati kita untuk menangis. Ada babak bercakap dengan arwah ibu di kubur, ada babak anak sudah lama tidak pulang menjenguk orang tua dan pada pagi raya mereka pulang lalu bermaaf-maafan. Ada babak insan yang memasang impian untuk balik beraya di kampung tetapi tidak kesampaian, menemui ajal dalam kemalangan jalan raya. Sedih.

Makin sedih makin menjadi drama raya kita.

Menurut rakan saya, ustaz Wan Ji yang saya tanyakan baru-baru ini apakah benar budaya Aidilfitri di tanah Arab tidak ada konsep maaf zahir batin seperti kita, dia setuju. Kata Wan Ji, orang Arab menyambut raya dengan konsep beribadah kepada Allah dan memohon agar ibadah diterima.

“Ya. Tak ada. Budaya Arab, taqabbalallah minna wa minkum iaitu ertinya: ‘Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan darimu sekalian dan semoga Allah menyempurnakannya atasmu’.”

Saya pernah baca pada zaman Rasulullah di hari raya ada juga persembahan tarian pedang oleh kaum muslimin ketika itu. Rasulullah menyelak kain tirai untuk beri peluang isterinya, Aisyah menonton.

Sekitar enam tahun lepas saya dan isteri menghadiri sebuah program di Amerika Syarikat dan jatuhnya pada 1 Syawal. Peluang sekali seumur hidup ini kami terima. Kami pulang ke kampung seminggu awal sebelum raya untuk menemui orang tua dan beritahu mereka yang kami tidak pulang beraya kerana mahu merebut kesempatan ini. Orang tua maklum dan memberikan galakan. Alah! Tiap-tiap bulan pun balik kampung, apa bezanya? Yang beza cuma raya dan tak raya sahaja. Peluang emas ini membuat kami berazam untuk melihat bagaimana orang Islam di sana menyambut raya. Kami teruja.

Bagaimanapun, peluang saya untuk merasai pengalaman berhari-raya bersama saudara seagama di sana terlepas kerana tarikh jatuhnya 1 Syawal di Amerika jatuh sehari lebih awal. Perbezaan waktu, walaupun Amerika lewat sehari daripada waktu kita di Asia tetap membuat saya terlepas peluang itu.

“Ya, saudara. Bukankah anak bulan telah kelihatan? Sebab itu kita di sini sudah beraya. Lebih kurang 1,000 kaum muslimin dan muslimat berkumpul di tepi stadium di Seattle, menjamu makanan bersama-sama,” ujar pemandu kereta sewa yang saya tumpangi dari lapangan terbang menuju ke rumah penginapan. Dia warga Somalia. Mendengar itu saya mengeluh kerana berasa rugi terlepas peluang. Sehari sebelum itu saya berkesempatan berbuka puasa pada akhir Ramadan di Masjid Kowloon, Hong Kong ketika transit di sana sebelum meneruskan penerbangan ke Seattle. Suasana Masjid Kowloon cukup meriah. Kaum muslimin dan muslimat yang terdiri daripada orang Arab, Pakistan, dan Bangladesh cukup sibuk menyediakan makanan untuk berbuka puasa.

“Saya Kristian tetapi setiap hari saya turut berbuka puasa bersama mereka di masjid,” seorang wanita menjelaskan kepada isteri saya. Saya mengangguk-angguk. Nampaknya kita di Malaysia belum sampai ke tahap begini. Suasana di negara yang orang Islamnya minoriti barangkali sangat berbeza dengan kita di sini. Atau kita banyak sangat berpolitik sehingga keindahan suasana sebegitu tidak dapat kita capai. Saya berdoa agar suatu hari nanti kita boleh saling hidup berkasih-sayang tanpa ada perkelahian penuh prasangka.

Hari raya selalu kita katakan sebagai hari kemenangan kaum muslimin yang berjaya melepasi dugaan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan. Atas sebab itu wajarlah kita raikan hari kemenangan tersebut dengan semangat baharu; semangat yang jitu. Tidak menjadi penyedih dan pengenang.

Siapakah yang sudi menghulurkan simpati
Kepada nasibku ini
Agar dapatku rasa nikmat di hari raya
Seperti insan yang lain…

Ah! Masuk pula lagu Cahaya Di Aidilfitri nyanyian Black Dog Bone. Sedihnya! Kenapa begitu sekali lemahnya insan yang digambarkan dalam lagu ini, fikir saya. Apakah yang menyebabkan lagu ini ada? Saya cuba berfikiran optimis. Ia imaginasi pencipta lagu tersebut agar kita sentiasa menginsafi bahawa hidup ini bukan kita seorang sahaja. Kita harus juga melihat ada warga yang terpinggir dan memerlukan bantuan sama ada kewangan mahupun kasih sayang.

Bagi saya, sedih atau gembira pokok pangkalnya pada diri kita. Kitalah yang menentukan bagaimana pembawaan hidup kita. Saya dan isteri kehilangan dua anak. Kini kami sudah tiada anak lagi. Namun kami tidak menjadikan ia suatu kesedihan yang perlu diperpanjangkan. Itu sebahagian daripada perjalanan hidup. Tidak ada sedih-sedih pada hari raya mengenangkan itu semua. Kita terima sepertimana yang disuratkan. Itulah rukun iman keenam agar kita beriman kepada qada’ dan qadar. Hidup mesti diteruskan. Ayah, ibu, keluarga, kawan-kawan dan handai-taulan harus disantuni setiap masa. Bermaaf-maafan tidak semestinya menunggu 1 Syawal.

Tetapi budaya bermaafan kita di nusantara pada 1 Syawal sebenarnya budaya yang murni. Ritual bermaaf-maafan di hari raya tidak salah malah cukup baik. Sekurang-kurangnya ada satu hari diwujudkan khas bagi kita untuk dimanfaatkan. Hari tersebut kesempatan untuk kita mengeratkan tali persaudaraan.

Cumanya, usahlah kita terbawa-bawa sangat dengan kesedihan. Bangkitkan semula semangat yang longlai ke arah kekuatan jiwa. Raikanlah hari raya kita dengan penuh kesyukuran.

Inilah hari kita
Tiada lagi rasa ketakutan…

Ya! Lagu raya Salam Dunia dendangan seniman M Nasir membuat saya terinspirasi semula untuk melihat dunia dengan lebih luas. Mengilhamkan semangat saya untuk menghayati raya dengan lebih dalam lagi. Bukan sedih-sedih merintih tetapi bangun dengan lebih yakin. Selamat hari raya semua. Maaf zahir dan batin! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.