`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 3, 2024

Pemain Terengganu Akhyar cedera disamun

 

Gambar tular di media sosial menunjukkan Akhyar Rashid terduduk di depan sebuah kenderaan dalam keadaan lemah selepas disamun. (Gambar Facebook)

KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Icon Residence, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, mangsa 25 tahun itu diserang ketika keluar dari kereta selepas pulang daripada menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata, mangsa dipukul dengan cota besi boleh laras oleh dua suspek yang bertopeng muka dan berpakaian serba hitam.

“Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami koyakan sepanjang 4cm di ubun-ubun. Beliau terpaksa menerima empat jahitan di ubun kepala dan dua jahitan di kaki kiri.

“Suspek melarikan diri setelah mengambil dompet mangsa yang disimpan dalam beg bimbit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata, Akhyar yang dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dibenarkan pulang selepas diberikan rawatan.

Menurutnya, usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun, selain sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian yang menimpa pemain dari Kedah itu.

Katanya, pihak kelab membuat laporan polis malam tadi dan Akhyar dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di HSNZ.

“Pihak kelab memandang serius kejadian ini…kami memohon orang ramai, terutama peminat bola sepak tidak membuat spekulasi liar bagi mengelak gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Terengganu FC hari ini.

Beliau memohon semua penyokong mendoakan kesembuhan segera buat Akhyar yang dipinjamkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke TFC musim ini untuk membantu pasukan itu mengharungi Liga Malaysia.

“Insiden malang seumpama ini tidak pernah menimpa pemain TFC dan amat dikesali.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.