`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 30, 2024

Mudahnya kita menghukum

 

hishamuddin-aun

Memang benar rezeki tak salah alamat. Namun, seperti seorang sahabat lama ingatkan, bala juga tidak pilih tempat. Dalam pada itu, matlamat pula tidak menghalalkan cara tapi siapalah kita untuk menghakimi dan menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.

Sedih membaca kisah satu pasangan di Kuala Kedah dan kepayahan mereka membawa bayi berusia 11 bulan yang dipakaikan tiub alat bantuan pernafasan untuk berulang-alik menaiki motosikal ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana menghidap penyakit paru-paru kronik di samping penyakit limpa membesar dan gastrik angin baru-baru ini. Namun, sedih lagi membaca pelbagai tohmahan dihadapi mereka sekeluarga di sebalik sesetengahnya diakui benar.

Pasangan Mohd Azlan Ishak, 36, dan Nor Hidayu Halim, 34 — foto mereka tular membawa Mohd Aarriz Zafran menaiki motosikal dengan tiub CPAP (Continuous Positive Airway Pressure) disambungkan ke beg galas ibunya — selamat dinikahkan kelmarin.

Selepas terdedah kisah pasangan itu tinggal sebumbung di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah meski belum diijabkabulkan sebelumnya, simpati ramai segera berubah dengan ramai yang sebaliknya mengeji. Pelbagai lagi keaiban mereka menyusul, antaranya Azlan adalah bekas penagih dadah, dan kononnya psangan itu sudah menerima sumbangan orang awam sebanyak hingga RM200,000 tetapi RM20,000 dikatakan dibelanjakan mereka untuk membeli barang kemas.

Sudah jadi lumrah apabila ada ahli keluarga sendiri yang terbabit dengan dadah, kita jadi lebih prihatin dan sedia membantu. Tapi apabila ia membabitkan orang lain tambahan yang tidak dikenali, pendirian kita lazimnya tidak sama. Tanpa kita mahu usul periksa, kebanyakan kita mudah terdorong membuat kesimpulan bahawa pasangan itu mengambil kesempatan daripada simpati ramai untuk mengaut keuntungan peribadi sedangkan mereka sebenarnya hidup kais pagi makan pagi.

Mengakui sisi gelapnya pada masa lalu, Azlan yang tidak berselindung pernah ketagihan dadah berkata dia meninggalkan tabiat buruk itu selepas kelahiran Aazriz dan keutamaannya adalah kesihatan permata hatinya itu. Namun, pada ketika ramai yang menaruh belas kasihan, tidak kurang juga yang mempersendakan. Di samping itu, dia turut mengakui desakan hidup mendorongnya untuk terus tinggal sebumbung dengan Nor Hidayu tanpa mengambil kira dosa dan pahala. Hakikat bahawa ibunya terlantar di hospital akibat darah tinggi dan kencing manis hingga pendapatan hariannya sebagai pembantu di pelantar ikan terjejas, melengahkan niatnya untuk bernikah.

Jelas Azlan, mereka sudah pergi ke pejabat agama untuk failkan perceraian pasangannya itu dengan suami pertamanya pada Ogos 2023 agar mereka dapat bernikah, namun prosesnya tergantung kerana tidak mampu membayar RM60 bagi melengkapkan borang cerai akibat kesempitan hidup.

Patutnya ramai yang berasa kasihan tapi kebanyakannya mungkin sudah membuat tanggapan tidak elok terhadap pasangan berkenaan, termasuk ramai yang berkongsi di media sosial agar sebuah kereta disumbangkan kepada mereka ditarik balik.

Isnin lalu, Azlan tampil menjelaskan satu-persatu tohmahan terhadap dia dan pasangannya itu, termasuk kononnya mereka menghilangkan diri dari rumah sejak Ahad lalu walhal mereka sibuk menguruskan urusan pernikahan di Masjid Al-Makrufi, Alor Setar, termasuk menjalani ujian HIV dan ujian darah yang disyaratkan.

Mengakui melakukan kesilapan pada masa lalu, harapannya ialah agar masyarakat tidak menghakimi dan memberikan pandangan negatif kepada mereka sekeluarga, termasuk anaknya yang menghidap penyakit kronik. Ini berkaitan nasab kanak-kanak berkenaan. Dia juga tidak meninggalkan ibunya yang lumpuh di rumah sendirian sebagaimana didakwa.

Menjawab dakwaan Nor Hidayu membeli barang kemas dengan harga mencecah RM20,000, Azlan dipetik berkata: “Saya tidak tahu dari mana mereka dapat info sedemikian kerana Nor Hidayu hanya beli sebentuk cincin kahwin RM800 sahaja. Bakal emak mentua yang belikan dan ada resit.

“Mereka juga dakwa anak kami telah terima sumbangan sehingga RM200,000. Saya pun tak tahu jumlah itu datang dari mana sebab saya tak periksa bank lagi. Sekarang kami masih guna duit sumbangan orang yang datang beri di rumah sahaja,” jelasnya sambil mengakui ramai yang berkunjung sejak berita mengenai mereka tersebar.

Kita patut tersentuh dengan keikhlasan pemilik kedai kereta terpakai Haji Din Auto, Firdaus Shariffudin, 36, yang menghalalkan kereta Proton Persona bernilai RM18,000 kepada pasangan itu yang diketahuinya kemudian sebagai bukan suami isteri. Di sebalik tidak menyokong kesalahan yang dilakukan pasangan berkenaan, Firdaus sedar dia tiada hak untuk terus menghukum mereka atas kesalahan masa silam.

Berapa ramaikah antara kita yang mampu bersikap demikian?

“Saya halalkan apa diberi, tak ada rasa ralat atau kesal pun selepas dapat tahu kisah sebenar mereka kerana saya hadiahkan kereta dengan niat nak bantu anaknya,” kata Firdaus seperti dipetik Harian Metro, Ahad lalu.

“Saya ibaratkan dia macam orang yang jatuh longkang dan dalam kesusahan, jadi bantu seikhlas hati, tak fikir pun dia orang jahat kerana nilai kereta itu kecil buat saya tapi besar buatnya. Apa saya nampak waktu berjumpa dengannya tempoh hari adalah sikapnya sebagai seorang ayah yang penyayang. Tak nampak pun dia orang yang mata duitan, malah dia pun tak minta kisahnya tular.

“Jadi, saya tak nak campur urusan peribadinya kerana itu kisah silamnya dan semua orang pun buat salah. Mungkin kisah tular itu asbab untuk pihak berwajib bertindak memberi bantuan sepatutnya dan permudahkan urusannya berkahwin dengan pasangan,” tambahnya.

Kalau perkongsian Firdaus ini tidak menimbulkan keinsafan dalam kalangan kita, tak tahulah apa lagi.

Selasa lalu, pengasas Yayasan Chow Kit Dr Hartini Zainuddin berkata taraf perkahwinan sesuatu pasangan tidak harus mengatasi keperluan seorang kanak-kanak untuk mendapat penjagaan kesihatan secukupnya.

“Keadaan baik kanak-kanak itu hendaklah jadi tumpuan utama. Sebarang penilaian ke atas taraf perkahwinan tidak harus menenggelami keperluan asas memastikan seorang kanak-kanak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan,” katanya dipetik Sinar Daily.

Selepas Azlan dan Hidayu selamat bernikah kelmarin, harapan mereka ialah untuk menutup buku lama dan membuka buku baru dan berharap masyarakat tidak memandang serong lagi kehidupan mereka selepas ini.

Bagus kalau ada antara kita dapat membantu. Tapi jika tidak, hindarilah diri kita daripada menghukum dan menghina mereka, lebih afdal mendoakan yang terbaik buat mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.