`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 31, 2024

Menteri belum terima laporan rasmi rakyat terkandas di Makkah

 

Menteri Na’im Mokhtar berkata pihaknya difahamkan status individu yang terkandas masih sama dan mereka belum lagi membuat aduan kepada TH. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai beberapa rakyat Malaysia yang terkandas di Makkah selepas didakwa ditipu agensi pelancongan yang berjanji untuk mendapatkan visa mengerjakan haji tahun ini.

Menteri Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya difahamkan status individu yang terkandas masih sama dan mereka belum lagi membuat aduan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meminta bantuan untuk dibawa pulang ke tanah air.

“Setakat laporan yang diterima daripada ketua pegawai eksekutif TH (Syed Hamadah Syed Othman) dan ketua rombongan Haji, Syed Saleh Syed Abdul Rahman, belum ada secara rasmi mereka menghubungi untuk mendapatkan bantuan.

“Kita harap mereka (yang terkandas) membuat aduan kepada warga TH yang berada di Tanah Suci,” katanya selepas merasmikan Pavilion Al-Falah dan Pelancaran Buku Baharu terbitan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Dagangan Dunia.

Pada Rabu lepas, media melaporkan terdapat beberapa jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.

Anak kepada mangsa terkandas dilaporkan berkata ibu bapanya mengambil pakej haji menggunakan visa pelancong yang diuruskan sebuah agensi pelancongan di Seri Kembangan, Selangor.

Mengulas lanjut, Na’im berkata kejadian tersebut melibatkan bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana membabitkan isu pelancongan dan umrah, manakala haji pula di bawah bidang kuasa TH.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat untuk tidak mudah mempercayai sebarang iklan yang dikeluarkan agensi pelancongan yang mendakwa mampu mengeluarkan visa haji.

“Saya sudah tekankan visa haji hanya dikeluarkan oleh TH yang mana merangkumi 31,600 pada tahun ini, selain daripada TH adalah kedutaan Arab Saudi yang disebut sebagai Visa Mujamalah atau Furada. Orang lain (agensi pelancongan) tidak ada kuasa untuk mengeluarkan apa jua bentuk visa haji,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.