`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 27, 2024

Pintu buka masuk balik?

 

Mohsin Abdullah

Umno bersedia menerima semula pemimpin dan ahli yang ‘dikeluarkan’ daripada parti semasa proses ‘pemutihan’ (atau pembersihan) yang dilakukan selepas pilihan raya umum lalu. Dalam lain perkataan Umno bersedia beri mereka peluang kedua. Tentu ramai setuju jika saya kata itu satu gesture yang bagus. Ia langkah menguat dan memperkukuh parti.

Cuma saya tidak pasti sama ada itu pelawaan rasmi. Setakat ini tidak ada atau belum ada kenyataan rasmi majlis kerja tertinggi atau presiden. Yang menyuarakan kesediaan itu ialah Jalaluddin Alias, pengerusi Umno Negeri Sembilan seperti yang dilapor akhbar New Straits Times semalam. Bukan mengecil atau memandang enteng kenyataan beliau. Mengambil kira jawatannya Jalaluddin boleh dilihat mempunyai kedudukan dalam parti dan beliau juga ahli MKT.

Oleh itu mungkinkah soal sedia menerima kembali pemimpin dan ahli yang dipecat ada atau sudah dibincangkan oleh majlis tertinggi dan dipersetujui? Atau adakah Jalaluddin mendahului kenyataan rasmi MKT malah presiden sendiri jika sememangya hasrat Umno mahu mengeluarkan kenyataan? Atau mungkinkah beliau mendapat izin MKT untuk mengumumkan apa yang beliau umum? Jika diperhati kata-kata beliau semuanya bagai satu kepastian. Tidak ada ‘jika’. Yang beliau gunakan ialah ‘akan’.

Semasa artikel ini ditulis ada reaksi Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki. Menurut beliau Umno tidak pernah tutup pintu kepada sesiapa termasuk yang telah dipecat. Oleh itu kenyataan Jalaluddin is nothing new, kata Asyraf dilaporkan Malay Mail.

Apa pun kenyataan Jalaluddin amat menarik. Menurut NST, Jalaluddin berkata peluang kedua akan (perhatian istilah ‘akan’) diberi kepada pemimpin dan ahli yang kekal setia dan berpegang kepada perjuangan Umno walaupun mereka dipecat atau keahlian mereka dibatalkan. Saya baca itu sebagai mereka tidak bertindak menentang Umno setelah berada di luar parti. Atau adakah dimaksudkan juga golongan yang sudah ‘insaf’ dan kembali percaya pada perjuangan parti? Dulu ‘jahat’ sekarang sudah ‘baik’? Maaf gunakan istilah sedemikian.

Antara nama besar yang dikeluarkan oleh Umno termasuk Annuar Musa, Noh Omar, Shahidan Kassim, dan Khairy Jamaluddin. Annuar dan Shahidan menyertai PAS dan masih jadi orang PAS. Jika ikut kriteria yang dihuraikan Jalaluddin, bolehlah disimpulkan kedua-dua tidak ada dalam senarai sirih pulang ke gagang.

Noh Omar pula dipetik Sinar Harian 10 Mac lalu menegaskan belum menyertai mana-mana parti politik tetapi mengaku menyokong Perikatan Nasional. Maka disimpulkan beliau juga bukan bagai sirih pulang ke gagang atau haruan pulang ke lubuk.

Khairy atau KJ setahu saya tidak menyertai sebarang parti politik sehingga kini walaupun pernah dilamar Muhyiddin Yassin untuk jadi orang PN. Beliau kini dikenali sebagai pengendali podcast bersama Shahril Hamdan, bekas ketua penerangan Umno yang digantung keahlian selama enam tahun. Penggantungan itu dijatuhkan sewaktu dengan pemecatan Khairy.

Podcast KJ-Shahril popular. Ia membincangkan pelbagai isu tetapi yang menarik minat ramai ialah komentar serta ulasan politik yang dibuat. Podcast berkenaan menampilkan tetamu terkenal daripada parti kerajaan dan pembangkang. Selain mengaju soalan, Khairy dan Shahril mengutarakan juga pendapat termasuk menegur keras pimpinan Umno — sesuatu yang boleh bikin Umno panas telinga.

Penggantungan Shahril seolah mengikatnya kepada Umno walaupun beliau bebas bertindak sendiri jika mahu tinggalkan parti. Namun apa yang dilihat setakat ini Shahril senang dan selesa sebagai podcaster yang bebas mengkritik. Pada hemat saya beliau rela menghabiskan tempoh penggantungan. Memandangkan masih muda Shahril mampu dan punya masa tunggu enam tahun berlalu.

Bagi KJ pula ramai penganalisis dan pemerhati politik termasuk saya berpendapat hati beliau masih bersama Umno. Sebenarnya tidak perlu jadi pakar politik untuk tahu itu. Imbau kembali apa kata beliau semasa dipecat 26 Januari 2023.

“Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken,” katanya di Twitter (sekarang X). Selain pernah memegang jawatan ketua Pemuda Umno, Khairy juga pernah menjadi timbalan ketua Umno Rembau. Bos beliau waktu itu Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno sekarang.

Bukanlah rahsia besar masalah Khairy dengan Umno berkisar hubungan dengan pucuk pimpinan khususnya presiden. Khairy dan Zahid Hamidi tidak sehaluan, untuk memendekkan cerita. Lalu untuk Khairy kembali tentu ada perkiraan dan syaratnya. Begitu juga daripada pimpinan Umno jika ada pelawaan buka pintu kepada Khairy.

Untuk menyalahkan Zahid 100% mengenai pemecatan Khairy agak tidak adil kerana bak kata pemerhati politik ada tindakan KJ semasa berkempen atas tiket Umno-BN pada PRU15 bagai menikam Umno sendiri. Itu kisah lama. Sekarang kata Jalaluddin ahli MKT Umno, bertentangan dengan ramalan pengkritik bahawa proses ‘pemutihan’ dahulu akan melemahkan parti, Umno membuktikan ia tidak terjejas pada aspek kekuatan dan kestabilan.

Proses ‘pemutihan’, kata beliau, ialah untuk mengeluarkan orang Umno yang tidak lagi ‘berminat’ dengan parti. Sekarang Jalaluddin mendakwa ada dalam kalangan yang dikeluarkan ‘mahu kembali ke pangkuan Umno setelah melihat keadaan parti dewasa ini’. Beliau tidak menamakan siapa mereka. Pun begitu beliau berkata di Negeri Sembilan, setiausaha Umno negeri dan semua Umno bahagian diarah meneliti, menyaring, dan mempertimbangkan permohonan yang hanya dibuat oleh golongan yang masih setia dengan Umno dan berpegang kepada perjuangan parti.

Oh lupa seperkara. Podcast dikendali KJ diberi nama ‘Keluar Sekejap’. I’m not suggesting anything but merely saying. Pasti beliau ada sebab tertentu dan tersendiri memilih nama itu. Sekali lagi dinyatakan bagi ramai pemerhati dan penganalisis politik malah saya sendiri berpendapat itu cara beliau membayangkan kepada umum dan juga khalayak Umno, bahawa beliau keluar Umno hanya untuk tempoh sekejap.

Jika begitu keadaannya atau benar tekaan kami, yang perlu ditanya ialah sekejap itu berapa lama?

*Nota kaki: Semasa artikel ini ditulis belum ada reaksi daripada Khairy. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.