`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 3, 2024

Tok Mat ketuai delegasi Malaysia ke sidang OIC

 

Menteri Luar Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak OIC di Gambia selaku wakil perdana menteri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia selaku wakil Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke sesi ke-15 Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Banjul, Gambia dari 4 hingga 5 Mei.

Mohamad dijangka akan menyampaikan kenyataan negara, mengetengahkan pendirian dan pandangan Malaysia terhadap pelbagai isu yang menyentuh kepentingan umat Islam, termasuk situasi di Palestin dan Timur Tengah, Islamofobia, golongan minoriti Muslim, dan kerjasama ekonomi.

Beliau juga akan menyentuh inisiatif yang diambil oleh Malaysia dalam memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan ummah.

Wisma Putra berkata penyertaan menteri luar melambangkan usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu Malaysia dalam memainkan peranan aktif di OIC.

“Ia juga mempamerkan kesungguhan Malaysia untuk bersama-sama dengan negara-negara OIC dalam mencari jalan penyelesaian terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wisma Putra, sidang dijangka dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan serta wakil dari 57 negara anggota OIC.

Sidang ini didahului dengan dua mesyuarat persediaan iaitu mesyuarat pegawai kanan OIC dan mesyuarat majlis menteri luar negeri OIC yang masing-masing diadakan pada, 30 April hingga 1 Mei, dan 2 hingga 3 Mei ini, katanya.

Ia juga akan membincangkan isu-isu dan cabaran dalam bidang politik, sosio-ekonomi dan budaya yang dihadapi oleh umat Islam.

Para pemimpin OIC dijangka turut bertukar pandangan mengenai isu-isu yang berbangkit dalam membincangkan tema “Meningkatkan Perpaduan dan Solidariti melalui Dialog untuk Pembangunan Mampan”. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.