`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 2, 2024

Hampir 75% calon sekadar lulus atau gagal, KPM perlu bertindak segera

 

spm
Ahli akademik menggesa intervensi awal dari peringkat sekolah rendah untuk mengatasi calon SPM sukar melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal kerana tiada kelayakan minimum. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dalam ‘keghairahan’ meraikan kejayaan 11,713 calon Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) 2023 mendapat semua A, ahli akademik menggesa kerajaan turut memberi perhatian kepada statistik menunjukkan hampir 75% pelajar hanya lulus minimum dan ke bawah.

Menurut laporan SPM tahun lalu dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 278,700 daripada 373,525 calon memperoleh keputusan sekurang-kurangnya lulus, sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran, semua gagal, atau lain-lain kombinasi.

Ada ahli akademik bimbang kesan jangka panjang terhadap sumber manusia kerana kumpulan terbabit tiada kelayakan minimum ke institusi pengajian tinggi (IPT) terutama dalam program ikhtisas antaranya perubatan, kejuruteraan atau teknologi maklumat.

Presiden Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi Yunus Yasin berkata mungkin agak sukar membantu calon gagal subjek penting seperti Matematik dan Sains walaupun mereka mendapat sijil kerana lulus Bahasa Melayu serta Sejarah.

Menurutnya, antara cara membantu kumpulan terbabit mungkin dengan menggalakkan mereka menyertai program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), namun turut bergantung minat mereka.

Bagaimanapun, Yunus berkata situasi ramai calon SPM hanya lulus minimum dan ke bawah itu sepatutnya diatasi lebih awal untuk melahirkan sumber manusia berkualiti, bagi menampung keperluan pekerja masa depan dalam bidang kritikal.

spm lulus gagal
Statistik menunjukkan 131,489 calon mencapai keputusan sekurang-kurangnya lulus pada SPM 2023.

Beliau menggesa KPM melaksanakan intervensi awal bermula dari peringkat sekolah rendah dan pada masa sama mengajak masyarakat terdiri daripada NGO dan ibu bapa untuk mencari jalan penyelesaian.

“Transisi (keputusan) dari sekolah rendah ke peringkat menengah tiba-tiba menurun, mengapa ia berlaku? Kita tak tahu sebab KPM tak kongsi data.

“Ada yang dakwa disebabkan kurang guru, peruntukan untuk peralatan seperti makmal, pelajar kurang minat atau cikgu kurang bertanggungjawab… kita tak pasti,” katanya kepada FMT.

Menurut Yunus, laluan kerjaya seseorang harus ditentukan lebih awal dan bukan di peringkat penentuan aliran bermula Tingkatan 4 seperti amalan kini.

“Perlu ada penilaian awal. Bukan untuk tentukan orang itu bijak atau sebaliknya tetapi untuk mengesan masalah lebih cepat disusuli pencegahan… Ini tidak dapat diselesaikan KPM sahaja, perlu kerjasama untuk tingkatkan keputusan SPM.”

Ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohamad Sattar Rasul pula bimbang kelompok terbabit berpandangan terus bekerja lebih baik berbanding menyambung pelajaran, termasuk TVET.

Menurutnya, keadaan itu berisiko menyebabkan negara kekurangan bakat dan pekerja diperlukan pelabur jika mahu membuka operasi di Malaysia.

“Pelabur tidak akan melabur di Malaysia sekiranya tidak yakin, jadi perlu perbaiki stigma sedemikian dan memupuk kesedaran bina kerjaya,” kata pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan STEM UKM itu.

Sattar menasihatkan calon SPM yang mendapat keputusan hanya lulus dan gagal tidak berputus asa mencari cara meningkatkan diri, antaranya belajar TVET yang juga boleh membawa mereka melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara.

“Pendidikan tidak terhenti biarpun memperoleh keputusan kurang memuaskan. Sekarang ada banyak alternatif. Pilihan tidak terhad seperti zaman dulu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.