`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, June 6, 2024

Hasil eksport sarung tangan getah mampu raih pertumbuhan dua digit

 

glove
Industri sarung tangan getah negara menunjukkan daya tahan dan fleksibiliti luar biasa dalam menghadapi keadaan global mencabar, kata Presiden MARGMA Oon Kim Hung.

PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) optimis hasil eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka mampu meraih pertumbuhan dua angka pada tahun ini.

Timbalan Menterinya Chan Foong Hin berkata setakat tahun lepas, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai lebih RM11 bilion yang menyumbang 58% daripada jumlah eksport produk getah, menurut laporan Bernama.

“Malaysia merupakan peneraju global dalam industri sarung tangan getah. Pada era pasca-Covid, kita telah menyaksikan pertumbuhan permintaan kira-kira 12-15% bagi setiap tahun,” katanya selepas majlis pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-11.

Malaysia mencatatkan pendapatan eksport sarung tangan getah sebanyak RM3.3 bilion pada suku pertama 2024.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Oon Kim Hung berkata industri itu menunjukkan daya tahan dan fleksibiliti luar biasa dalam menghadapi keadaan global mencabar.

“Di sebalik penurunan yang berlaku pada 2023 apabila permintaan terhadap sarung tangan getah merosot ketara akibat lebihan stok simpanan dan penyusutan ketara harga jualan, kalangan penggiat kita di Malaysia kekal gigih dalam perniagaan dan terus memajukan industri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Oon berkata MARGMA sedang dalam proses meninjau usaha mewujudkan piawaian industri sarung tangan getah Malaysia dan melaksanakan inisiatif ‘Getah Asli Mampan Malaysia,’ termasuk sarung tangan hijau dan pilihan mesra alam lain.

Beliau berkata usaha itu hanya membuktikan dedikasi ke arah amalan mampan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Bekerjasama erat dengan kalangan pihak berkepentingan serta memanfaatkan teknologi seperti Internet Kebendaan dan kecerdasan buatan yang boleh meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, memperkemas operasi dan meningkatkan tindakan membuat keputusan, sekali gus membawa kepada daya saing global serta pengurusan cabaran mendatang secara berkesan,” katanya.

Bertemakan ‘Ke Arah Industri Sarung Tangan yang Cekap, Mampan dan Inovatif,’ acara IRGCE ke-11 itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 3-5 Sept, 2024, dianjurkan oleh MARGMA dan dihoskan bersama oleh Majlis Getah Malaysia.

Acara itu antara lainnya akan mengetengahkan pembentangan kertas teknikal dan ucaptama oleh pakar antarabangsa serta tempatan berkaitan topik seperti piawaian alam sekitar dan kebolehbiodegrasi untuk sarung tangan getah pakai buang selain pendekatan praktikal untuk menggunapakai teknologi Industri 4.0 dalam usaha pembuatan mampan.

Pakar-pakar akan turut membincangkan persediaan bagi peraturan penebangan hutan baharu Kesatuan Eropah, memanfaatkan teknologi digital untuk rantaian bekalan mampan dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memastikan amalan perniagaan beretika dan bertanggungjawab.

Pada masa ini, 550 gerai telah ditempah 171 peserta dari 17 negara.

“Kita menjangkakan penyertaan terbesar bagi tahun ini dengan 12,000 peserta yang mewakili lebih daripada 30 negara.

“KPK bersama pihak berkepentingan lain iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Getah Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), telah berbesar hati untuk menyokong acara ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.