`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, June 12, 2024

Jimat RM30 bilion jika penyasaran subsidi diesel berjaya

 

Perbelanjaan daripada penjimatan subsidi bahan api boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan awam seperti meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam.

PETALING JAYA: Kejayaan penyasaran subsidi diesel yang menjadi perintis harga pasaran bahan api tanpa subsidi, berpotensi membantu menjimatkan perbelanjaan sehingga RM30 bilion setahun pada masa depan, kata pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pengapungan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter mulai Isnin lalu menjadi ujian kelancaran serta kecekapan mekanisme pelaksanaan dasar sama pada masa depan termasuk dari segi agihan bantuan.

“Ini projek pilot (perintis) sebelum kerajaan laksana penyasaran subsidi untuk petrol pula, kalau belajar dari pengalaman ini (mekanisme untuk diesel) mungkin dapat berjimat lebih besar dalam RM30 bilion.

“(Usaha) ini juga akan meningkatkan perbelanjaan awam dan akan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya kepada FMT.


Ahad lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula Isnin.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif Budi Madani bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Kerajaan turut mengurangkan kesan pengapungan harga diesel dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pakar ekonomi Zarinah Yusof pula berkata harga baharu itu membantu merendahkan defisit fiskal serta menghalang peniaga kaya dan warga asing membeli diesel bersubsidi.

“Subsidi diesel dan subsidi barangan lain antara faktor tarikan pendatang asing datang ke Malaysia dan menetap tinggal di sini,” katanya sambil menambah RM3.35 seliter masih rendah jika dibandingkan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Bagaimanapun Zarinah berkata pelarasan harga itu juga boleh menyebabkan kenaikan kos barang dan perkhidmatan di pasaran yang memberi kesan kepada industri peruncitan, borong, pelancongan dan automobil.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berkata kerajaan boleh meningkatkan fokus perbelanjaan ke arah inisiatif dan program kesejahteraan rakyat terutamanya golongan B40 atau rentan menerusi penjimatan subsidi bahan api.

“Pemberian Budi Madani dan subsidi kepada syarikat pengangkutan awam akan mampu mengawal kenaikan barang,” katanya.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur Aimi Zulhazmi berpandangan harga barangan tidak sepatutnya meningkat berganda kerana kerajaan telah memberikan subsidi kepada syarikat logistik.

“Namun begitu mungkin ada peniaga ambil kesempatan dengan alasan peningkatan kos pengangkutan menyeluruh, jadi agensi penguat kuasa perlu pantau kemungkinan ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.