`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 4, 2024

Pertemuan tunggal dengan Syed Husin Ali

 

Free Malaysia Today

Saya hanya pernah menemui arwah Dr Syed Husin Ali sekali, banyak tahun dulu. Anehnya dalam banyak silang acara dan wacana akademik, kami tidak bertembung. Perjumpaan itu di malam hari, agak rahsia sifatnya dan atas inisiatif Pak Chong Gerak Budaya. Topik pertemuan itu juga agak hangat menyala.

Syed Husin sendiri masih seorang senator. Beliau membaca dan menyunting beberapa makalah akademik saya ketika itu. Saya baru sahaja menyertai Universiti Kebangsaan Malaysia dari Aswara. Jadi perjalanan akademia seakan baru bermula, walaupun campur tolak pengajian sarjana dan doktorat saya sudah sedekad. Syed Husin mempersoalkan beberapa rujukan saya, akan tetapi bukan kerana beliau skeptikal atau ingin menyanggah, tetapi lebih kerana beliau prihatin supaya kerja itu rapi, elok, tidak bias, dan betul-betul ada rujukan yang senonoh.

Dengan secangkir kopi, mungkin juga teh, dia kemudian membebel mengenai segelintir siswa yang kurang membaca. Dia mengomel macam-macam bahawa karya sastera pun sudah ‘tidak lagi sedap’ dibaca.

Dr Syed Husin Ali meninggal dunia pada 29 Jun 2024 lalu. Untuk ahli akademik, Syed Husin ada gah tersendiri. Beliau mantan pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya pada 1985 hingga 1990, dan tentu telah memupuk dan menerbitkan sejumlah ramai anak bangsa. Sejumlah kerja akademik beliau antara lain adalah “Social Stratification in Kampung Bagan” (1966); “Malay Peasant Society and Leadership” (1975); “Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan” (1978); yang terkenal tentunya “The Malays, Their Problems and Future” (1981); juga “Poverty and Landlessness in Kelantan, Malaysia” (1983); dan “Ethnicity dan Class and Development, Malaysia” (1984).

Arwah juga antara pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam arena politik, arwah adalah Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) antara 1990 sehingga 2001, sebelum parti itu bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (keADILan) pada Ogos 2003 dan membentuk Parti Keadilan Rakyat. Ketika saya menemui beliau, Syed Husin adalah senator Dewan Negara antara 2009 hingga 2015.

Sebenarnya tatkala pertemuan tunggal saya dengan Syed Husin itu, akal dan fikiran beliau cukup cerdas dan tajam. Kalau kita membaca perbahasan atau penyata Dewan Negara dalam tempoh beliau di situ, Syed Husin seorang cendekiawan yang banyak menyumbang idea hebat.

Sewaktu Syed Husin memperihalkan mengenai ‘membaca’ itu, beliau mengaitkannya dengan pendidikan. Dalam tahun itu, ketika saya bertemu dengannya, arwah ada mengkritik sistem pendidikan negara.

Kata beliau, “pendidikan di Malaysia sudah kehilangan rohnya dan oleh itu tidak mengeluarkan lagi generasi baru yang mempunyai roh yang baik.” Apabila beliau menyebutkan ‘roh’, yang dimaksudkan adalah “semangat, nilai, dan idea yang membentuk teras bagi seseorang individu yang menentukan perlakuannya.” Ini sangat penting kerana roh ini yang akan mendasari ‘pembentukan bangsa’.

Syed Husin menginginkan, “individu-individu bersemangat yang mempunyai nilai serta peribadi berasaskan moral tinggi yang penuh dengan ilmu dan idea dan yang disatukan oleh warisan matlamat serta rasa kekitaan bersama.” Bangsa yang rohnya utuh ini “akan berkeyakinan dan boleh berdiri gagah menghadapi dan mengatasi walau apa pun yang melanda.”

Beliau tidak sekadar menceceh, Syed Husin menegaskan kaedah “mengembalikan roh itu ke dalam sistem pendidikan” akan sangat “bergantung antara lain pada senarai bacaan yang lengkap serta kukuh bagi tiap-tiap tahun persekolahan dari peringkat rendah hingga menengah untuk subjek-subjek penting seperti bahasa, sastera, sejarah, sains dan teknologi.”

Beliau percaya bahan bacaan hendaklah “membina minda, memperkasakan hati sanubari dan memupuk semangat.”

Tetapi, buku yang bagaimana?

Almarhum berpendapat, buku yang betul untuk pembajaan roh bukanlah buku-buku tarbiyyah dan ‘healing‘ tetapi “buku-buku mengenai tokoh-tokoh besar yang memberikan inspirasi dan membantu membina perwatakan, buku-buku yang menceritakan perjuangan serta pergerakan manusia dan rakyat yang mengingatkan betapa pentingnya berjuang untuk keyakinan kita.”

Oleh demikian, pada tahun 2010 itu arwah sudah terkehadapan menggesa agar “senarai bacaan di sekolah harus terbuka dan meliputi sumbangan seluruh dunia, pelbagai pandangan hidup dan juga kepercayaan serta agama. Kesemuanya harus terletak di atas kepentingan-kepentingan yang tidak harus terletak pada kepentingan yang sempit.”

Bukan sahaja harus bersikap terbuka, Syed Husin mahu kita mendedahkan kepada anak-anak “tokoh-tokoh dan pejuang-pejuang daripada pelbagai aliran serta latar belakang yang berusaha dan menyumbang untuk menentukan kejayaan negara kita.”

Contoh mudah, silibus sejarah bukan mesti hanya mengenai nasionalis Umno semata-mata tetapi ikut mengintimi tokoh aneka aliran; beliau bahkan menambah, “galakkanlah mereka membaca dan didik tentang semua pejuang daripada pelbagai kaum dan latar belakang politik supaya mengenali latar belakang mereka dan apakah sumbangan mereka.”

Bukan itu sahaja, tokoh besar ini menekankan, supaya “galakkan juga mereka untuk membaca tentang sejarah dan ajaran agama-agama besar yang mempengaruhi kehidupan kita. Mereka boleh juga memilih tokoh-tokoh yang mereka sukai yang boleh menjadi role model mereka. Semua ini boleh memandu jalan kehidupan mereka dan membantu mereka dalam keadaan yang mencabar sekarang. Kalau mereka mempunyai kekukuhan ini, tidak mudah rasanya perkara-perkara buruk boleh melanda mereka.”

Hari ini, kita suka menentukan pembaca dengan satu aliran sahaja, satu mazhab sahaja, atau satu jenis gagasan sahaja. Jikalau ada beza sedikit dengan kita, maka dicop sesat, liberal, atau sihir. Kalau Persuratan Baru maka Persuratan Baru sahajalah yang benar, maka yang lain gagal. Jika Islamisasi ilmu betul, maka hanya itu sahaja yang mesti dibaca padahal ada banyak kerangka berfikir yang lain yang mesti digulati dan dicernalumatkan. Kelompok ini terlupa kisah di Tehran, bahawa lipas tidak boleh diislamkan.

Pertemuan tunggal saya dengan Dr Syed Husin Ali amat berbekas. Beliau membisikkan bahawa saya perlu menulis mengenai minoriti, dan bahawa saya mesti terus menerokai wacana dan tren alternatif. Tidak ada salahnya belajar yang lain, dan tidak mesti yang arus perdana itu selamanya absah. Walaupun berjumpa sekali, disela kopi dan perbualan serius — saya berpegang sungguh dengan amanat arwah — sehingga hari ini.

Selamat jalan Dr Syed Husin Ali. Kalau menteri pendidikan yang PKR hari ini rajin menyelongkar penyata Dewan Negara beliau pasti menemukan pesan-pesan di atas. Ada banyak buku yang mesti dinilamkan oleh pelajar sekolah dan IPT.

Kalau betul ingatkan almarhum, bertafakur seminit di Dewan Rakyat tak memadai; silalah pastikan pelajar membaca memoir “Dua Wajah” karya beliau. Supaya generasi akan datang, akan tahu rupa apa penguasa negara ini sebelum 2018. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.