`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 3, 2024

Mana adab dan sikap syukur terhadap institusi diraja?

tajuddin rasdi

Saya amat tidak setuju dari dulu lagi bagi mana-mana media perdana dalam talian membenarkan rakyat membuat komen secara tidak bernama atau anonymous. Walaupun ini suatu kebebasan bersuara tetapi perangai dan bahasa jelik serta menghina sepatutnya tiada tempat dalam negara kita.

Kita punya pelbagai kaum, pelbagai agama, dan bermacam institusi politik serta agama yang berwarisan serta bersejarah. Apabila rakyat atau pembaca portal berita sengaja membiarkan komen jijik dan jelik diberi perhatian, maka keruntuhan masyarakat kita insya-Allah akan terjamin.

Dalam isu pembatalan konsert bagi menghormati istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, komen-komen dari sebuah portal berita yang wujud sejak zaman reformasi Anwar Ibrahim dan menjadi tonggak perjuangan keadilan menjadikan saya amat sedih menatapnya.

Apakah ini cara media tersebut menarik pembaca atau viewers supaya mendapat banyak hits? Sanggupkah media itu menggadai integriti dan keikhlasan kewartawanan yang berdekad-dekad lamanya dipalitkan dengan komen-komen tidak beradab terutama menghina institusi diraja, budaya Malaysia termaktub Rukun Negara prinsip pertama, dan institusi politik serta agama Islam yang terpenting?

Tidakkah rakyat yang berpena racun dan berjiwa kerdil tahu bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong menyelamatkan Malaysia dari terjerumus dalam politik Perikatan Nasional (PN) yang terbukti tidak berprinsip dan berintegriti? Tidakkah Yang di-Pertuan Agong menyepikan mulut Dr Akmal Saleh yang celupar dari merosakkan maruah rakyat berbilang kaum dan agama? Apa ini tak menjadi perkara yang patut disyukurkan?

Saya berasa amat malu menjadi rakyat yang mempunyai badan-badan serta pena-mulut yang celupar dan tidak beradab, menghina segala macam yang cuba dilakukan oleh kerajaan madani.

Saya sungguh kecewa, sedih, dan malu! Tidakkah ada terasa jiwa yang lebih bermaruah dalam rakyat serta portal berita untuk mengambil tanggungjawab menjaga keharmonian kita yang pelbagai kaum dan agama, serta hubungan antara rakyat, pemimpin serta simbol keagungan raja yang boleh menjadi tumpangan kita suatu hari nanti apabila sistem serta martabat jentera pentadbiran kita diasak dengan rasuah dan ekstremisme?

Wahai rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama, saya menyeru agar kita bermuhasabah, dan berwaspada dengan sesiapa yang suka menghina dan mengkritik tanpa adab terhadap pucuk pimpinan serta institusi Melayu, Malaysia dan Islam.

What you say will reflect on your own self worth or lack thereof and may destroy any and all bridges that we may build between our peoples.

Apalah konsert menyanyi dan dansa hingga sanggup perdagangkan maruah kita? Siapalah artis diagungkan yang boleh membantu kita di hari gelap dan huru-hara nanti? Siapa lindungan kita dan siapa teduhan rakyat semua? Adakah artis yang boleh menjadi tumpangan kita?

Cubalah renung maruah diri sendiri sebelum membuat komen atau membenarkan komen anonymous ini.

Jangan kita dibodohkan apabila teknologi di hujung jari. Lagi laju kelajuan internet lagi bodoh kita jadi. Jangan biarkan begitu. Hit the pause button sebelum terlambat. Pepatah Melayu terlajak perahu boleh diundur, terlajak komen rosak bangsa dan negara.

Saya tidak suka untuk menghukum sesiapa yang membuat komen celupar dan menghina. Saya juga tidak menyokong tindakan polis terhadap media arus perdana. Cukup sekadar kita merenung kekerdilan jiwa dan penghinaan maruah sendiri yang dicerminkan oleh kata nista kita.

Negara kita tanggungjawab bersama. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.