`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 4, 2024

Kena ‘buck up’ untuk Bakap

 

Mohsin Abdullah

Posting Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre, di Facebook tempoh hari menarik perhatian saya. Ia berbunyi: “Berbanding Kuala Kubu Baharu PRK Sungai Bakap kelihatan lebih meriah dan bersemangat.”

Saya setuju dengan pengamatan beliau walaupun saya tidak berada di Sungai Bakap. Sebenarnya saya tidak terperanjat dengan apa yang Yusri lihat berlaku di Sungai Bakap menjelang pilihan raya Sabtu ini.

Meriah dan bersemangat, dan jika boleh saya menambah ‘panas’. Ini akan kelihatan dan dirasai di hampir semua kerusi Parlimen mahupun negeri setiap kali pertandingan membabitkan parti atau calon Melayu, apatah lagi kalau satu lawan satu.

Lazimnya keadaan tegang bermula sebaik sahaja diberitakan PRK akan diadakan. Ini membawa kepada hari penamaan calon yang menyaksikan perang mulut dalam kalangan penyokong. Dilanjutkan semasa waktu berkempen ceramah berapi-api. Begini keadaan sehinggalah hari pengundian.

Mengapa? Mungkin orang Melayu begitu emosi berpolitik. Atau tak tahu meraikan pesta demokrasi? Yang jelas orang Melayu take politics seriously, kadang-kala too seriously.

Meskipun pertandingan di Sungai Bakap membabitkan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, kedua-duanya menampilkan calon orang Melayu. Calon PH daripada PKR parti berbilang bangsa tetapi beliau orang Melayu. Calon PH daripada PAS tentulah orang Melayu.

Kerusi Sungai Bakap kawasan separa bandar. Populasinya bercampur. Ia berada dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang merangkumi tiga DUN. Mengikut perangkaan DUN Sungai Acheh majoriti Melayu. Begitu juga DUN Jawi tetapi dengan peratusan pengundi Cina yang agak tinggi.

Kawasan Sungai Acheh kawasan Umno. Sungai Bakap dulu kawasan PKR sebelum kalah pada PRN tahun lalu. Jawi pula kawasan DAP.

Setiap kali PRK diadakan ungkapan lazim ialah keputusan tidak akan mengubah apa-apa. Baik kerajaan pusat atau kerajaan negeri. Status quo. Samalah PRK Sungai Bakap. Namun seperti PRK sebelumnya, orang (baca: penganalisis dan pemerhati politik) akan menyimpulkan keputusan kelak satu referendum. Di Sungai Bakap ia dilihat satu referendum terhadap PH dan PN.

Buat PH ia membabit persoalan sama ada usaha yang dijalankan sejak tewas tahun lalu cukup untuk memikat semula hati pengundi khususnya orang Melayu? Untuk PN persoalannya adakah mampu mengekalkan momentum Gelombang Hijau?

Isu yang dimainkan (orang politik alergik dengan istilah ‘mainkan’ lalu guna ‘bangkitkan’) pada setiap PRK ialah local issue yakni masalah setempat. Namun isu nasional ditimbulkan juga terutama oleh pembangkang.

Di Sungai Bakap begitu juga ceritanya. Isu setempat pasti mendapat tempat tetapi PN selaku pembangkang tidak melepaskan peluang membangkitkan isu nasional seperti subsidi diesel bersasar, kos sara hidup, dan kenaikan harga barang.

Walaupun berbuih mulut pemimpin kerajaan termasuk PMX memberi penjelasan, pembangkang pasti menggunakan isu yang disebut tadi sebagai modal berkempen. Jujur saya katakan jika saya ahli parti pembangkang saya juga akan mainkan isu tersebut sebab ia menarik perhatian umum dan cara mudah pancing undi.

Walaupun kerajaan kata penyasaran subsidi diesel penting dan baik untuk negara in the long run dan pembangkang dalam diam setuju, ia akan ditonjolkan. Hakikatnya apa sahaja harga yang naik tidak disenangi rakyat, walau apa pun justifikasi dan logiknya.

Sebelum Yusri turun ke lapangan, saya menghubungi beberapa pemerhati politik bertanya sama ada isu BlackRock dimainkan di Sungai Bakap memandangkan ia kawasan separa bandar. Umum sudah tahu apa kontroversi BlackRock oleh itu tidak perlu saya ulangi.

PMX saban hari membuat penjelasan dan menangkis pelbagai tuduhan namun ia tidak mereda apa lagi menghentikan serangan pembangkang. Saya kira bagi pembangkang its too good an issue to ignore.

Di Sungai Bakap, menurut seorang pemerhati, PAS tidak atau belum menggunakan isu ini secara terbuka. Mungkin secara tidak terbuka, katanya.

Seorang lagi pemerhati memberitahu BlackRock ada dijadikan modal dalam kempen ceramah kelompok tetapi isu ini tidak berapa berkesan. Namun kata beliau “untuk penyokong PN mungkin berkesan lah. Naratif Malaysia dah jual lapangan terbang kat Israel. Kalau PN push lagi masa berbaki ada ruang.”

Katanya lagi, “psyche Melayu mudah termakan dalam bab ini. Tambahan media perpaduan kaput“. Saya ulangi pandangan itu berdasarkan apa yang beliau lihat beberapa hari lalu. Kita tahu keadaan dalam mana-mana pilihan raya memang fluid yakni berubah-ubah.

Berbalik kepada pengamatan Yusri, “sehingga kini persaingan kekal sengit, masing-masing memiliki peluang seimbang untuk keluar sebagai pemenang.”

Saya ulangi tajuk artikel ini — buck up untuk Bakap. Tingkatkan usaha untuk menang Sungai Bakap. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.