
Ketika menerima sumbangan Aidilfitri kepada skuad Kedah Darul Aman (KDA FC) 25 Mac lalu, terdengar seorang pemain memberitahu Saifuddin Nasution Ismail agar mengambil alih pasukan yang sedang berhadapan masalah kewangan kronik itu.
“Hat tu kita bincang lain,” jawab menteri dalam negeri itu yang menyatakan dirinya penyokong setia kelab berkenaan dan mahu kegemilangannya dikembalikan.
Saifuddin – seorang daripada penggerak utama bersama tiga NGO melancarkan Tabung Aidilfitri Pemain Bolasepak Kedah pada 20 Mac lalu — tidak menolak beliau ada satu rancangan besar membantu kelangsungan KDA FC yang bagaimanapun hanya akan diumumkan kemudian.
Pada waktu itu, keutamaannya hanya bekerjasama dengan Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (Rada), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (Suara), dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (Adam) menghimpun sumbangan derma kilat bagi membantu pemain-pemain KDA FC – yang sudah jenuh bergolok-bergadai kerana ketiadaan gaji – dapat membuat persiapan menyambut hari raya seperti orang lain.
“Kami NGO Anak-Anak Kedah melihat isu ini sangat serius kerana membabitkan periuk nasi dan kebajikan pemain. Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, kami mengambil inisiatif melancarkan tabung sumbangan Aidilfitri untuk meringankan beban pemain,” kata Pengerusi Rada Romli Ishak.
Dalam masa kurang lima hari, RM200,000 dapat dikutip dan disampaikan kepada 40 pemain dan jurulatih KDA FC dengan masing-masing menerima RM5,000 agar tidak berasa terpinggir dalam kemeriahan Aidilfitri.
Terdahulu, ketika berucap di awal majlis pada 25 Mac itu, Saifuddin yang juga ketua Pakatan Harapan (PH) Kedah memberi kata-kata semangat kepada pemain-pemain KDA FC yang tidak menerima gaji selama 11 bulan – dari mula mereka berlatih ketika pramusim, membawa kepada perlawanan pertama Liga Malaysia musim 2024/2025 menentang PDRM FC pada 11 Mei 2024 hingga ketika ini – agar tidak patah semangat.
“Majlis hari ini kita nak raikan pemain-pemain. Kita nak bagi satu mesej saja – keadaan yang anda semua lalui mendapat perhatian, simpati dan sokongan yang kuat daripada rakyat negeri Kedah. Yang tu kita nak anda semua maklum. Saya yakin kalau kita buat kerja dengan baik, niat baik, tujuan pun elok, rezeki itu tuhan datangkan dalam banyak cara yang kita tak jangka.
“Ini (sumbangan Aidilfitri) adalah simbol kepada sokongan kuat yang sebelum ni kita tak gerakkan. Dr Ismail (Salleh dari salah satu NGO), dan kawan-kawan cetuskan idea ini dan saya mulanya pesimis – takkan la lima hari nak raya ni kita boleh (kutip sumbangan besar). Saya tengok sokongan itu cukup besar, cukup kuat. Kedah punya sejarah bola sepak yang gilang-gemilang. Keadaan harmoni macam itulah yang kita nak wujudkan balik,” katanya.
Ditemui wartawan yang mengulangi soalan mengenai rancangan besarnya selepas selesai majlis di Hotel Raia, Alor Setar itu, Saifuddin mengesahkan ada perbincangan dengan pemegang saham majoriti KDA FC Mohd Daud Bakar dalam memastikan kelangsungan kelab itu dalam Liga Malaysia.
“Saya tak mahu buat apa-apa kesimpulan lagi kerana perlu tahu kedudukan kita di mana. Daripada segi pemilikan pasukan, kita tahu KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) dan juga Tan Sri Daud telah menubuhkan KDA FC dengan sekian-sekian pegangan saham.
“Saya diasuh dengan nilai-nilai (bila) ada masalah jangan cari alasan, berikan penyelesaian. Masalah tak akan selesai kalau kita hanya menuding jari, mengata kat orang. Masalah di hadapan kita adalah pemain dan pengurusan yang bergelut meneruskan kehidupan. Bantu mereka, sokong mereka, dorong mereka. Sisa-sisa semangat mereka di hujung musim…tinggal empat perlawanan dan kita di nombor 11.
“Untuk Kedah, insya-Allah saya ada satu rancangan besar, kita umum nanti,” katanya.
Belum pun lama kenyataannya itu, reaksi di TikTok mungkin sama banyaknya antara simpati dan marah.
Simpati kerana pemain-pemain bola sepak Kedah tidak dilayani sebagai profesional. Marah pula kerana pihak-pihak yang dirasakan peminat patut membantu, sebaliknya didakwa mengabaikan tanggungjawab mereka.
Tidak ketinggalan juga ada yang menuduh Saifuddin cuba mengaut laba politik dengan menampilkan diri sebagai ‘hero’ sambil segelintir melihatnya sebagai mengambil kesempatan untuk Menteri Besar Kedah Sanusi Nor diperburukkan konon kerana hanya berpeluk tubuh, di samping tidak hadir ketika penyampaian sumbangan kepada pemain dilakukan.
“Penyokong Sanusi tak payah menggelupur sangatlah kata Saifuddin Nasution sengaja nak memburukkan nama Sanusi, sebab tu lah dia ambil kesempatan pergi tolong pemain bola Kedah ni. Dah pemimpin kau sendiri tak nak tolong pemain bola ni, biarlah Saifuddin tolong, apa isunya.
“Betapa gembiranya mereka dapat sedikit sumbangan. Tak banyak pun tapi adalah sedikit duit untuk beli barang persiapan raya, bolehlah beli baju raya untuk anak bini. Ada maklumat daripada pemain Kedah sendiri sampai hari ini tak ada seorang pun pimpinan kerajaan negeri Kedah yang datang tanya khabar, yang ajak pemain berbincang,” kata seorang pengomen di media sosial.
Saifuddin sebagai seorang ahli politik harus tidak ambil kisah pun dengan polemik sedemikian asalkan niatnya untuk membantu adalah jelas, tetapi tentunya bukan tuduhan keterlaluan sebagaimana berikut:
“Aku dengar kata RM5 juta tabung tu yang boleh dikutip. Pi mana lagi RM4.8 juta? Semenjak berkawan dengan penyamun kaki sakau ni, hangpa pun dah pandai nak menyakau ni haa Pudin. Pada hal Pudin tu yang mai hantaq SPRM, LHDN mai selongkaq KDA FC (sebetulnya KFA) tu. Agensi-agensi tu kan bawah dia sampai lari habis penaja. Penaja pun kena siasat,” dakwa seorang pengguna TikTok atas akaun Tam Jebat.
Susulan itu, Saifuddin melalui peguamnya S N Nair & Partners sudah menyerahkan surat tuntutan guaman (LOD) kepada pemilik akaun TikTok berkenaan yang nama sebenarnya Muhammad Zubair Ismail untuk memohon maaf.
LOD itu turut menyatakan fitnah itu telah menyebabkan kekeliruan dan salah tanggapan orang ramai terutama peminat sukan bola sepak terhadap Saifuddin.
Penyerahan LOD itu turut dikongsikan seorang pengguna TikTok atas nama YazidNoor dalam videonya dengan komen:
“Ish hangpa bayang ah tengah dok syok beraya terima LOD bukan melalui pos tapi dengan tangan. Pegawai menteri sendiri mai hantaq LOD sampai ke tangan sampai ke rumah. Walaupun baru LOD belum keputusan lagi tapi hang bayang la terima LOD daripada menteri dalam negeri, makan tak habis bai…”
Dalam keadaan fitnah dan caci-maki semakin menjadi-jadi, tindakan guaman oleh Saifuddin tidak harus dilihat keterlaluan, sebaliknya bertepatan sebagai pengajaran.
Bersendirian ketika membuat tuduhan sedemikian, kita lihat nanti sama ada pengguna TikTok berkenaan akan mendapat pertolongan mereka yang sama pendirian dengannya atau dibiarkan berseorangan menghadapi pengadilan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.