Ketua PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata Rafizi Ramli perlu berjiwa besar terima apa saja pilihan akar umbi berbanding terus serang parti dari dalam.

Menyifatkan Ahli Parlimen Pandan tiga penggal itu aset parti, Ketua PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata Rafizi perlu berjiwa besar menerima apa saja pilihan akar umbi, berbanding terus menyerang parti dari dalam.
“Rafizi ini aset kepada parti, kita tak mahu kehilangan pemimpin macam dia yang boleh bantu perkuatkan parti. Kita mahu dia terus bantu parti (walaupun tewas).
“Saya harap lepas perlawanan (pemilihan) ini, kita bertaut semula. Semua jadi sejuk kembali. Dia (Rafizi) masih muda, masanya akan sampai,” katanya kepada FMT, mengulas pertembungan satu lawan satu Rafizi dan Nurul Izzah Anwar.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa pertembungan antaranya dengan Nurul Izzah bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR berlaku atas padang yang tidak sama rata.
Menteri ekonomi itu juga secara sinis menyatakan ‘dunia akan kiamat’ jika beliau menang pertandingan, ketika dalam keadaan segalanya disusun bagi memenangkan anak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Jawatan itu dimenangi Rafizi ketika pemilihan parti pada 2022, dan Nurul Izzah yang tidak bertanding ketika itu dilantik sebagai naib presiden.
Mengulas cadangan Rafizi supaya hanya individu dengan keahlian sekurang-kurangnya lima tahun dibenarkan bertanding pemilihan parti, Azman yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri menyifatkan ia tindakan menutup ruang untuk parti ‘lebih membesar’.
“Agak keterlaluan kalau nak tunggu sampai lima tahun, mungkin dua tahun (syarat minimum) berpandukan kepada nasihat presiden,” kata ketua cabang PKR Bandar Tun Razak itu.
Beliau juga mencadangkan satu jawatankuasa peringkat pusat diwujudkan bagi membolehkan mana-mana individu ditapis terlebih dahulu jika mahu menjadi ahli.
“Jawatankuasa ini akan menilai latar belakang dia sebelum kita terima menyertai parti, atau kita boleh letakkan syarat ‘cooling period’ selama dua tahun sebelum dia bertanding.
“Apa pun kita boleh bincang dengan presiden, tapi nak hapuskan kuasa presiden terus itu agak keras bagi saya,” katanya, mengulas desakan Rafizi supaya parti membatalkan sistem membenarkan ahli baharu bertanding di peringkat kepimpinan pusat dengan kuasa pelepasan presiden. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.