Adun Sura berkata rasionalisasi subsidi dikhuatiri bawa kesan berantai kepada harga barang keperluan dan perkhidmatan harian.

“Subsidi bukan sekadar angka dalam belanjawan, ia adalah benteng terakhir rakyat terhadap gelombang inflasi dan kos sara hidup yang mencengkam.
“Kenaikan harga minyak bukan soal 10 atau 20 sen. Ia akan membawa kesan berantai daripada harga barang dapur hingga perkhidmatan asas harian,” kata Adun Sura, Tengku Muhammad Fakhruddin Md Fauzi dalam kenyataan.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan rasionalisasi subsidi RON95 akan mula dilaksanakan separuh kedua ini menggunakan mekanisme MyKad.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, dilaporkan berkata mekanisme MyKad itu mengambil kira keberkesanan bantuan tunai menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang menurutnya lebih ‘berkesan dan inklusif’ kerana semua rakyat Malaysia memiliki kad pengenalan.
Fakhruddin berkata, kerajaan perlu menyelesaikan masalah utama penyaluran subsidi terlebih dahulu, iaitu ketirisan, pembaziran dan kelemahan penguatkuasaan di pintu sempadan negara.
“Jika sempadan terus longgar dan sistem kawalan lemah, tidak kira berapa banyak subsidi diberikan, ia tetap akan lesap kepada pihak tidak berhak,” katanya sambil meminta kerajaan mengkaji semula sistem pengkelasan mengikut pendapatan – B40, M40 dan T20 yang menurutnya tidak tepat berdasarkan realiti hidup.
Menurutnya, sumber negara cukup sekiranya mengadaptasi prinsip ekonomi Islam menekankan keadilan sosial, amanah dan keberkatan dalam pengurusan ekonomi.
Beliau mencadangkan cukai kekayaan atau wakaf dimobilisasi sebagai dana tambahan untuk kebajikan rakyat, yang menurutnya berjaya dilaksanakan di kebanyakan negara mengadaptasi instrumen Islam dalam dasar fiskalnya.
“Jika hasil Petronas dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) diurus dengan telus, keuntungannya sudah cukup untuk membiayai subsidi tanpa beban tambahan kepada rakyat.”
Beliau turut menyeru kerajaan kembali kepada dasar berteraskan nilai dan prinsip, bukan berasaskan angka semata-mata.
“Rakyat tidak menolak perubahan, tetapi mereka mahukan kejujuran, ketelusan dan dasar yang membela, bukan menekan.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.