Andai Rafizi tidak terlajak kata dan tindakan, pertandingan jawatan timbalan presiden PKR akan sama sekali berbeza.

Mungkinkah gelombang penolakan terhadap Rafizi Ramli akan sehebat yang digambarkan ketika ini andai Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail yang jadi lawannya untuk jawatan nombor dua parti seperti diramal dari awal, dan bukan puteri sulung perdana menteri Nurul Izzah Anwar?
Meski ia satu hipotesis yang tiada kaitan pada peringkat ini – dengan pemilihan akan berlangsung cuma dua hari lagi – barangkali perdebatan mengenainya akan menunjukkan penyandang timbalan presiden itu masih diraikan sebilangan besar ahli dan pimpinan PKR dan bukan sebaliknya.
Dalam pemilihan terakhir di IDCC Shah Alam pada 25 Jun 2022, Rafizi meraih 59,678 undi, mengalahkan Saifuddin yang mendapat 43,010 undi, dengan majoriti 16,668.
Apa yang berbeza keadaannya ketika itu?
Rafizi ketika itu bertanding selaku calon yang kalah kepada Azmin Ali pada pemilihan 2018 dengan keputusan 68,730 undi berbanding 71,635 undi atau majoriti setipis 2,905 – hanya 2% daripada 140,365 undi keseluruhan.
Lawannya Saifuddin Nasution bukan pun dalam kalangan 12 calon bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan penggal sebelumnya sehingga dilihat memberi kelebihan besar kepada Rafizi – seorang pemimpin lantang yang dibahasakannya sendiri sebagai ‘berani mati’, keras kepala dan ‘tak makan saman’.
Andai pertembungan Rafizi-Saifuddin berulang seperti diura-urakan, mungkin tidak silap untuk mengandaikan beliau kekal selaku calon ‘favourite’ sekali lagi – ditambah pula Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR secara terbuka menyuarakan agar Rafizi diberi laluan mudah.
Ini bersandarkan kepada PKR sedang menumpukan kepada agenda lebih penting, iaitu berkhidmat kepada rakyat sebagai kerajaan di samping bersiap sedia untuk PRU seterusnya, lantas perebutan yang boleh membawa bibit-bibit perpecahan sepatutnya dihindarkan.
“Biar Rafizi diberi laluan mudah,” kata perdana menteri pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PKR cabang Selangor pada 28 Feb, yang bagaimanapun menambah, beliau tidak mahu campur tangan dan menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi akan dipertandingkan atau sebaliknya.
Penganalisis termasuk Mohd Izani Mohd Zain daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Aziz Azizam daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika itu sependapat bahawa ia langkah diplomasi untuk memperkukuh perpaduan dalam parti, mengelak pertembungan selain mengurangkan risiko perpecahan dalaman.
Semuanya seakan-akan meniti landasan dicitakan hinggalah selesai pemilihan peringkat cabang dari 11-20 April yang menimbulkan fenomena ‘kepala tanpa badan’ (ketua cabang dimenangi individu dari satu kumpulan tetapi keseluruhan ahli jawatankuasanya terdiri dari orang kumpulan berlainan) secara meluas.
Gara-garanya, Rafizi memohon cuti sebulan yang dipendekkannya kepada empat hari untuk menyelesaikan sungutan mengenai fenomena ‘kepala tanpa badan’ itu.
Dalam penjelasannya melalui Facebook, Rafizi turut berkongsi bahawa beliau ada menyatakan kepada Anwar dan Saifuddin kesediaannya tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR, dan sedia memberi laluan kepada menteri dalam negeri itu pada pemilihan parti serta meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri.
Sejak itulah gambarannya berubah 360 darjah hingga Ketua Cabang Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman mencadangkan agar Rafizi memberi laluan mudah kepada Saifuddin menjawat jawatan nombor dua.
Spekulasi peletakan jawatan Rafizi sebagai timbalan presiden dan percutian daripada tugas menteri didakwanya sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam kalangan anggota parti khususnya, dan kerajaan perpaduan.
Seterusnya, sokongan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada Izzah – dijulang sebagai permulaan kepada kebangkitan baharu parti dalam menghadapi cabaran semasa, di samping memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan – turut dibaca sebagai sudah mendapat ‘petunjuk’ dari atas.
Serentak dengan itu, kepimpinan di dua negeri – Perak dan Melaka – mula mencanangkan nama Izzah untuk bergandingan dengan bapanya bagi jawatan timbalan presiden – mencetuskan tsunami sokongan yang menular dengan meluas sehingga 200 cabang.
Tidak ditinggalkan sebarang pilihan, Rafizi memilih pendirian ‘lawan tetap lawan’ melalui Jelajah Hiruk bersama pasukan kecilnya yang tidak pun membeza-bezakan antara menyinggung pimpinan, menyerang rakan tertentu dalam parti sehinggalah mendedahkan kepincangan PKR sendiri yang membawa risiko ia terdedah kepada serangan pembangkang.
“Isyarat itu telah jelas, keseluruhan parti telah digerakkan agar saya kalah dengan Nurul Izzah … memang jelaslah, tak ada masalah. Saya datang (Sarawak) bukan nak kata tolonglah bagi saya menang, itu hak masing-masing. Saya masuk (pemilihan), saya menerima hakikat kalau saya menang, dunia akan kiamat,” katanya di Jelajah Hiruk Sarawak di Kuching pada Sabtu, sambil menganggap pertembungan dengan Izzah berlangsung di atas padang yang tidak sama rata.
“Saya ingat awal itu, isyarat yang digerakkan supaya saya kononnya patah hati, tak apalah saya tak bertanding, jadi (Izzah) menang tanpa bertanding. Masalahnya, saya keras kepala. Saya tahu masuk pertandingan ini berani mati, tak ubah macam saudara saudari di Sarawak. Masuk bertanding, menang belum tentu, kalah ‘confirm’.”
Satu rumusan bahawa kerenggangan hubungan antara Anwar dengan Rafizi sudah sampai ke kemuncaknya sehingga presiden PKR itu sanggup menghadapi reaksi keras dari luar dengan menyokong desakan agar Izzah bertanding pada saat-saat akhir mungkin tidak pun tersasar, sebaliknya menjadi punca utama apa yang sedang berlaku.
Seperti dikongsi Shamsul Iskandar dalam kolum Joceline Tan dalam akhbar The Star pada Sabtu lalu, Rafizi bukan sekadar seseorang yang sukar bekerja dalam satu pasukan, malah didakwa tidak memainkan peranan sebagai timbalan presiden dan tidak dilihat membantu presiden.
Pemimpin PKR dikatakan turut sedar tentang pelbagai detik ketegangan antara kedua-dua pemimpin tertinggi serta bahasa kurang hormat yang digunakan oleh Rafizi – sesuatu yang pernah dikongsi oleh pensyarah dan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming dalam satu episod audio siar Keluar Sekejap – sehingga tidak ramai yang mahu bertegang leher dengannya.
“Anda tidak akan menang jika bertekak dengannya kerana beliau akan sentiasa sedia dengan jawapan,” katanya.
Jika direnungkan balik, alangkah baiknya jika Rafizi tidak ‘mengamuk’ dan mengambil cuti tergesa-gesa pada akhir April lalu, di samping tidak menawarkan kesediaan tidak bertanding jawatan timbalan presiden dan berundur sebagai menteri ekonomi – atas apa pun niatnya untuk memperbaiki parti dan mengekalkan idealisme reformasi.
Tentu lebih baik juga jika Saifuddin awal-awal lagi menyatakan kesediaan bertanding yang mungkin menutup ruang untuk Izzah dijulang pada saat-saat akhir.
Jika dua kemungkinan itu yang terjadi, barangkali pendedahan memburuk-burukkan Rafizi juga tidak akan timbul pada saat ini, tetapi itu bukan lagi pilihan yang ada padanya, melainkan terima saja ketentuan ke atasnya. - FMT
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.