Kita berdepan cabaran. Segalanya sekarang di internet. Jika industri filem dan muzik sering digambarkan sedang muram, apakah ia semuram industri buku?

Hey! Tahukah kamu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 sedang berlangsung sejak 23 Mei hingga 1 Jun di Pusat Dagangan Dunia? Kamu tidak tahu? Sokonglah penerbit buku tempatan dan sokonglah penulis buku tempatan. Hargailah mereka! Kalau kita tak sokong, siapa lagi?
Maaf! Intro di atas seperti intro artis dan penggiat filem kita yang bersungut jika filem yang mereka buat sejuk sambutannya di pawagam. Bunyi mereka bunyi kecewa. Tetapi, mereka sedar tak ada Pesta Buku? Satu lagi ‘industri’ anak bangsa yang patut diraikan, dibanggakan dan diberikan sokongan?
Penyair lagenda, Pyanhabib ada bersungut dengan saya berkenaan hal itu. Arwah pernah menulis di Facebook bertarikh 18 April 2019, “kamu bikin filem, kamu mahu kami tengok kamu punya filem. Kami bikin buku adakah kamu tahu kami bikin buku?”.
Sebelum itu pada 3 April 2019, arwah mencatat di Facebook serba sedikit kenyataannya dalam satu wawancara di pentas Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada Pesta Buku tahun tersebut, “kamu bikin filem, kamu suruh kami tonton filem yang kamu bikin tetapi siapakah di antara kamu hadir ketika kami berdagang-berjual-beli buku sastera atau bukan sastera di pesta buku? Rajinkah kamu membaca buku sastera-budaya? Rajinkah kamu membeli buku kalau pun tidak di pesta buku sekadar datang buat ramai di pesta buku?”
Begitulah keluhan brader kami. Saya faham maksud Pyan, betapa dia mengharapkan agar kelompok seni harus saling bahu-membahu dan menyokong antara satu sama lain. Sebenarnya buku, filem, lukisan dan muzik saling berkait-rapat dan sama memerlukan. Mediumnya secara umum, saya kira sebagai seni tampak (visual). Imej tampak bukan setakat lukisan atau arca tetapi termasuk jugalah tulisan, imej pegun (fotografi) dan bergerak (filem) serta bunyi (muzik). Ya, bunyi boleh ‘dilihat’ tapi itu bab lain.
Amir Muhammad, seorang penerbit dan pembikin filem, juga seorang penerbit buku mandiri menyebut dalam sebuah forum di acara Pesta Buku Alternatif 2023, ketika dia menjadi panelis — “biasanya sutradara negara luar jika ditanya kepada mereka, pasti mereka ada sasterawan pujaan mereka sendiri dan mampu menyebut karya sastera para sasterawan ini”. Amir mungkin juga bermaksud, ‘kita’ di sini begitukah? Atau tak? Tak dinafikan, ada yang ada. Tapi, saya rasa Amir tahu apa yang dia katakan.
Seorang kenalan saya yang ada jugalah berlakon sipi-sipi dalam beberapa filem; berkata, “aku malas nak ke Pesta Buku sebab orang terlalu ramai, jalan sesak dan parking susah. Nanti-nantilah aku beli buku kau”.
“Tak apa,” jawab saya. “Aku pun tunggu filem lakonan kau main di Netflix saja nanti. Malas nak masuk shopping mall dan cari parking.”
Muka dia kelat. Tersinggung barangkali. Apa, saya tak ada perasaan macam diakah? Apa, kerja dia sahajakah yang penting dan paling besar sumbangan kepada bangsa dan negara? Orang lain pun buat kerja juga dan perlukan sokongan yang sama juga! Cuma, orang buku sungutnya kecil. Tak heboh sangat, dan tak dipetik oleh media sangat.
Maaf, bukanlah tulisan kali ini saya nak menghentam kelompok tertentu. Sekadar ingin mengkhabarkan setiap kali acara pesta buku terbesar ini berlangsung, tidak rugi jika kita semua dapat bertemu dan berbincang, sama berkongsi idea. Saya sekurang-kurangnya dua tiga kali dalam tempoh yang pendek itu pasti mencelah untuk bertemu kawan-kawan bagi mengutip idea, cerita, ilmu dan pengalaman tak kiralah daripada seniman tua begitu juga dengan anak muda. Dapat jugalah kita berkenalan dengan mereka dan mengenali kerenah mereka. Ada yang peramah dan tak lokek ilmu. Ada yang syok jika kita lambung mereka. Ha! Ha! Tak mengapa janji silaturahim terjalin. Boleh saya katakan, sejuta ilham kita boleh raih apabila berkumpul begitu. Dari situ kadang-kadang tercetusnya idea yang kecil dan kemudiannya ditampi dan diproses menjadi besar. Jadi atau tak jadi kenyataan apa yang dibualkan, itu cerita lain tetapi ia mampu menyuntik semangat dan azam untuk terus menghasilkan karya.
Kita berdepan cabaran. Segalanya sekarang di internet. Jika industri filem dan muzik sering digambarkan sedang muram, apakah ia semuram industri buku? Atau jika zaman internet memberikan kesan teruk sehingga filem dan muzik terjejas, adakah buku semakin merudum? Bagaimana pula jika yang berlaku semua ini boleh menjadi sebaliknya? Kecanggihan internet dan media sosial jika boleh kita fikirkan kaedah yang betul, entah-entah berupaya menaikkan semula muzik, filem dan buku tempatan. Siapa tahu? Daripada duduk sendiri-sendiri melengung ada baiknya kita singsing lengan bersama memikirkan cara untuk menyelesaikannya.
Seperti filem dan muzik — buku tetap mempunyai peminat sendiri. Saya gunakan perkataan ‘tetap’ bukan ‘masih’. Tak kisahlah apa genre sekalipun, buku yang cetak tetap disukai. Buku fizikal masih diberahikan oleh pencintanya. E-book kurang berjaya di sini. Pembaca buku tetap mahu rasa ‘ghairah’ memegang buku, mencium bau kertas dan dakwat, menyelak helaian muka surat. Pembaca buku akan hanyut dalam ‘zon syok’ ketika membaca. Sesuatu yang kita tak dapat apabila membaca melalui skrin telefon. Membaca di skrin, cepat penat. Sebab itu orang sudah malas membaca panjang. Di skrin, jika tulisan panjang sangat, orang akan skip. Penggemar buku lebih puas membaca buku fizikal. Seperti penggemar tulen wayang lebih syok menonton di panggung.
Seperti kita bersungut dengan muzik, lagu atau filem yang ringan dan bersifat picisan, buku pun ada juga macam itu. Tetapi ia bersifat subjektif. Selera manusia pelbagai. Jual buku pun tak sama macam jual kuih atau jual ikan di pasar. Penggemar buku lebih tahu apa buku yang mereka mahu cari. Di ceruk dan sudut manapun tersorok, dia pasti jumpa. Atau sesekali situasi jual buku boleh juga jadi sama macam jual ikan. Apabila pempamer atau jurujual berjaya meneriak dan menarik perhatian pembeli, macam orang jual ikan, orang akan singgah tengok dan beli. Dari situ pembaca satu-satu genre boleh berubah menggemari genre lain pula. Begitulah rondah-randih dan asam-garam suasana di Pesta Buku.
“Buku tak mati. Itu saya pasti!” kata seorang Mat Sastera muda yang suka baca sajak marah-marah tentang sistem, politik serta sakit mental generasi X.
“Mana kau tahu?” acah saya nak menengok sejauh mana dia berpegang dengan dakwaannya.
“Sebab mukjizat terakhir anugerah Tuhan kepada Rasul terakhir di dunia ini juga berbentuk buku. Al-Quran, adalah bahan bacaan kerana umat akhir zaman. Umat akhir zaman adalah umat yang pandai berfikir dan mengkaji. Ilmu dihimpun dalam bentuk buku dan memerlukan kita membaca. Ada juga Quran digital tapi sukar. Nak belajar mengaji masih menghadap guru dengan buku.”
Okey, munasabah. Bisik saya.
“Ayat Quran pertama pun bermaksud Bacalah! (Iqra’).” katanya lagi.
Saya macam ingin mengacah dia lagi terutama bab bacalah (Iqra’) itu. Saya mahu ajak masuk lebih dalam lagi tetapi biarlah dulu. Duduk di situ dahulu pun sudah sedap! Orang muda pun bukan suka kalau kita menekan-nekan macam kitalah yang pandai. Seeloknya kita bertukar-tukar pandangan dengan baik. Bila kedua pihak selesa baharulah proses pertukaran ilmu lancar.
Ayuh semua, pergi PBAKL! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.