`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, May 20, 2025

Kiasnya tajam menghiris

 Rafizi Ramli luahkan peri pentingnya PKR tidak lari daripada idealisme asal penubuhannya.

hishamuddin-aun

Menghampiri penghujung siri Jelajah Hiruk dalam kempennya mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR pada Jumaat ini, Rafizi Ramli terus banyak berkias dengan membiarkan kepada pimpinan dan ahli parti jika ada yang patut terasa.

Sambil berterima kasih kepada orang ramai yang hadir Jelajah Hiruk Perak di Dewan Cempaka, Taman Komuniti Ipoh pada Ahad malam, Rafizi menyindir dengan sangkaannya hanya akan berceramah di dewan yang kosong kerana mendakwa ramai yang ditakut-takutkan kononnya foto mereka akan diambil untuk disampaikan ke pihak atasan.

“Saya ingat mula-mula akan bercakap dengan kerusi je lah malam ni. Dari minggu lepas di mana-mana negeri kita pergi (Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Kelantan, Sabah, dan Sarawak), satu dua hari sebelum itu mesti ketua cabang ke dapat mesej dan telefon (supaya) jangan hadir. Tapi hari ini di Perak pecah panggung, ramai yang berdiri kat belakang,” katanya ketika memulakan ucapannya.

Tidak terlepas daripada pengamatannya ialah sindiran kalau pun ramai yang hadir ceramahnya sebelum ini, mereka sebenarnya adalah himpunan geng kalah pemilihan peringkat cabang 11-20 April lalu yang didakwa berlaku fenomena ‘kepala tanpa badan’ yang terus dipertikaikan hingga ke hari ini.

Namun, katanya PKR sebagai sebuah parti reformis perlukan bukan hanya orang yang menang, tetapi juga orang kalah dalam pertandingan atas semangat demokrasi.

“Kadang-kadang orang lupa sejarah kita. Kita ni baru menang sekali tau, kita kalah dah 20 tahun lebih. Sebenarnya, kita perlukan ramai orang yang kalah untuk tetap setia dengan kita kerana dia ada naik dan turun.

“Dia tak sedar bila ada pertandingan di peringkat cabang, menang bukan menang semua kalah bukan kalah semua. Jadi bukan hanya orang yang menang itu melayakkan dia untuk bercakap bagi pihak semua anggota parti. Kalau begitu tak adalah demokrasi,” katanya sambil mengingatkan sebilangan mereka masih lagi boleh mengundi untuk pimpinan pusat.

Rafizi juga menegur geng yang menang pemilihan peringkat cabang agar tidak terus terbawa-bawa dengan kemenangan mereka dan memandang rendah kepada lawan mereka yang dikalahkan.

“Kalau orang kata yang ramai ini adalah geng-geng yang kalah…eh hati-hati tau. Kalau geng-geng yang kalah ni semua tarik ‘handbrake’ semua sedih, mampus korang masuk pilihan raya nanti (tak dapat undi daripada mereka),” katanya.

Rafizi turut berkongsi kisah berkempen di Perak pada masa lalu yang menghasilkan lebih banyak kalah daripada menang, termasuk seorang sahabat lama yang digelarnya arwah Ustaz Zul yang tidak pernah menang walaupun berkali-kali bertanding.

“Tapi, ia tidak pernah mematahkan semangat dia bukan saja untuk masuk bertanding apa pun pandangan kita kepada arwah. Dia tak pernah patah semangat untuk bertanding dan untuk ukhuwah bersama kawan-kawan lama.

“Setiap kali masuk pemilihan parti dia mesti bersemangat. Saya kadang-kadang nak bagitau arwah Ustaz Zul dulu ‘Ustaz tak payah kut nanti kalah lagi’ (tapi) kita parti yang meraikan persaingan, kita parti yang meraikan semua suara. Kita parti yang tidak tersusun dengan perkara-perkara yang besar.

“Sebab itu kalau saya datang pemilihan parti, kalau saya tengok yang datang tu tak pakai baju sama semua, kalau yang datang tu baju macam-macam, kain pelikat pun ada selipar pun ada, saya tahu ini adalah orang ramai yang lebih baik kerana ini adalah suara sebenar akar umbi, bukan yang disusun atau dihantar,” tambahnya.

Membandingkan dengan dirinya yang mempertahankan jawatan nombor dua parti, Rafizi tidak dapat menghindarkan diri daripada menyindir pelbagai peringkat pimpinan dalam parti apabila puteri sulung perdana menteri, Nurul Izzah Anwar tiba-tiba dilonjakkan mencabarnya beberapa hari sebelum pencalonan ditutup.

Daripada Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Shamsul Iskandar Md Akin, seterusnya disambut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, Ketua Pemuda Adam Adli Abd Halim, Ketua Wanita Fadhlina Sidek hinggalah kepada Timbalan Ketua Penerangan 1 R Ramanan, semuanya berlumba mengeluarkan kenyataan media menyokong Izzah.

Malah, Hassan menjulang Izzah sebagai ‘penyelamat’ PKR daripada mendapat seorang timbalan presiden yang ‘tidak sesuai’ tapi kemudian mengubah pendirian kepada ‘dua-duanya bagus’ selepas Rafizi mendedahkan peranannya menampilkan bekas ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu hingga menang selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Shamsul Iskandar pula dilapor mendedahkan bahawa Rafizi seorang yang sukar bekerja dalam satu pasukan hingga pemilihan kali ini bukan sekadar soal kepimpinan, tetapi soal keserasian menerajui parti.

“Rafizi tidak memainkan peranan sebagai timbalan presiden dan tidak dilihat membantu presiden. Saya percaya itu salah satu sebab mengapa orang dalam parti mahu melihat perubahan,” katanya kepada kolumnis The Star, Joceline Tan.

“Semua berlumba-lumba untuk mengeluarkan kenyataan media. Ketua sana ketua sini, saya baca banyaknya ketua dalam parti kita ni kan,” kata Rafizi yang ditemani hanya dua menteri – Nik Nazmi Nik Ahmad dan Chang Lih Kang – dan seorang timbalan menteri, Akmal Nasir selain Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dalam kempennya.

Dalam pada itu, tambahnya, PKR tidak lahir di jalanan pada 1998 dengan ketumbukan anggota yang ramai, mewah atau tersusun, sebaliknya digerakkan oleh orang biasa sepertinya yang tidak pernah pun meminati politik.

“Cuma saya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku tahun 1998 itu. Bagi saya, kalau pun pimpinan di atas berbeza pandangan politik atau pun ada percaturan kuasa di atas, jangan sampai gunakan keseluruhan sistem kerajaan untuk mematikan lawan politik,” katanya.

Rafizi turut berkongsi kerap ditanya mengenai sikap keras kepalanya dan ‘tak makan saman’ hingga ada pimpinan Umno yang menyoal sama ada beliau mahu masuk penjara.

“Kita harus dan wajib dipandu oleh nilai kita. Dalam mana-mana agama ada satu nilai yang cukup penting, meletakkan perkara di tempat yang betul. Kalau contohnya nampak ada sesuatu yang tidak adil, maka kita kena bersuara. Kalau pun kita tak berani, paling kurang kita jangan berbondong-bondong keluarkan surat sokongan.

“Paling kurang janganlah kita menyertai sesuatu yang menyebabkan kita letakkan perkara hingga jadi tidak adil.

“Nilai lain, contohnya adalah lebih baik untuk kita bercakap dan membela orang yang lemah daripada kita berbondong-bondong membodek dan mengangkat orang yang lebih kuat. Kita diajar untuk membela orang yang lemah.

“Sebab itu ramai-ramai rakyat ni dulu, 1998 sampai ke sudah, kita tak takut gas pemedih mata, tak takut lokap, kena pukul berdarah sebab kita melihat bahawa Anwar Ibrahim, Kak Wan (Azizah), anak dia Nurul Izzah, ini adalah golongan lemah yang telah ditindas atas semangat kita kena bela orang yang lemah itu. Sebab itu kita akhirnya jadi sebuah parti, jangan kita lupa,” katanya.

Sesuai dengan tema kempennya ‘Hidupkan idealisme reformasi dalam ujian kuasa’ (Hiruk), Rafizi menekankan agar jangan dilupakan orang yang lemah termasuk dalam parti di sebalik PKR dilihat kuat setelah menjadi kerajaan.

“Jadi apa pilihan saya, tak kan saya tiba-tiba 20 tahun lebih berpegang kepada kita mesti bercakap dan menjadi suara kepada orang yang lemah, tiba-tiba mentang-mentang dah jadi kerajaan, kamu dah lupa orang yang kat bawah ini.

“Sebab itu juga, selain nilai-nilai agama tadi, sebagai sebuah organisasi sebuah gerakan dalam masyarakat, sebagai orang politik kita kena dipandu juga dengan adab. Kena ada adab di organisasi, kena ada adab dengan yang lebih tua walaupun tak setuju macam mana pun. Hanya dengan cara itu baru boleh kita kekal keharmonian dalam organisasi kita,” katanya lagi.

Jelajah Hiruk akan berakhir di Hotel New York, Johor Bahru malam ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.