Julaihi Narawi berkata, syarikat minyak negara bebas jalan kegiatan yang tidak bertindih dengan peranan Petros di Sarawak.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi berkata, pengecualian sedemikian boleh dipertimbangkan, dengan syarat projek-projek itu tidak berkaitan dengan pembekalan, penjualan, peruncitan atau pengedaran dalam sektor gas, yang terletak di bawah bidang kuasa tunggal Petros.
“Kenyataan bersama (antara Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim) mengiktiraf Petros sebagai agregator gas yang dilantik oleh kerajaan Sarawak dalam melaksanakan kuasa eksekutifnya.
“Telah dinyatakan dengan jelas oleh premier dan perdana menteri bahawa lantikan ini wajib dipatuhi oleh setiap pihak yang menjalankan urus niaga pengedaran gas di negeri ini,” kata Julaihi pada sidang DUN Sarawak, lapor The Borneo Post.
Menurut Julaihi, sebarang bentuk perjanjian dan urusan melibatkan pembekalan dan penjualan gas asli di Sarawak mestilah berpandukan peranan Petros sebagai agregator gas, seperti yang telah ditetapkan dalam kenyataan bersama tersebut.
Beliau yakin, kenyataan bersama itu akan membawa faedah kepada Sarawak serta memelihara kepentingan negara dengan mengukuhkan kepercayaan pelabur, lebih-lebih lagi dalam kalangan syarikat luar negara dalam sektor pengedaran gas.
Antara kandungan dalam kenyataan bersama itu ialah persefahaman bahawa kesemua undang-undang persekutuan dan negeri Sarawak berhubung pengedaran gas di negeri itu hendaklah diguna pakai secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan kegiatan tersebut di Sarawak, termasuk Petronas dan Petros.
Petronas akan terus menjalankan fungsi, kegiatan, tanggungjawab serta kewajipannya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengannya.
Pada Khamis, Abang Johari berkata, Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak diwajibkan memperoleh lesen operasi daripada kerajaan Sarawak untuk beroperasi di negeri itu.
Katanya, meskipun Petros telah diiktiraf secara rasmi sebagai agregator gas tunggal di Sarawak, bidang kuasa untuk mengeluarkan lesen operasi masih terletak pada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
“Kementerian tersebut turut mempunyai kuasa untuk luluskan pengecualian. Mengambil kira status Petronas sebagai syarikat minyak negara, kementerian akan beri pengecualian yang bersesuaian.
“Kita akan beri pengecualian, cuma mereka kena mohon dulu,” katanya kepada pemberita. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.