`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, May 25, 2025

Rafizi bukan hati tisu

 Beliau akan tampil semula apabila tiba masanya dan khidmatnya dirasakan perlu untuk bantu parti.

hishamuddin-aun

Lazimnya seorang timbalan presiden harus sampai dahulu di tempat duduknya sebelum ketibaan presiden tapi Rafizi Ramli tiba untuk Kongres Nasional PKR malam kelmarin ketika Anwar Ibrahim sudah sedia menunggu. Mungkin bukan disengajakannya tetapi sebab-sebabnya harus difahami.

Sebelum itu langkah solonya menuju ke dewan persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru dilaporkan disambut laungan “Reformasi” pada waktu beliau sudah pun tahu keputusan tidak rasmi tersebar mengenai kekalahannya dalam perebutan jawatan nombor dua parti bagi penggal 2025-2028.

Dengan Anwar siap berdiri menghulurkan tangan, Rafizi acuh tak acuh menyambutnya dan seperti mengelak daripada bertentang mata. Apa yang ingin ditunjukkannya ialah tindakannya itu konsisten dengan teguran dalam siri ceramahnya.

Kemudian dilihat canggung untuk mengambil tempat duduknya di sebelah Anwar buat kali terakhir, Rafizi lebih dahulu hampir bertukar kerusi dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu di atas pentas – jauh daripada keyakinan yang sentiasa ditunjukkannya dalam lapan peringkat Jelajah Hiruk dari Seremban hingga ke Johor Bahru bermula 11 Mei lalu.

Ini baru kali pertama Rafizi mengalami kekalahan bagi jawatan timbalan presiden selepas mengalahkan Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan 2022 – kali kedua jika diambil kira kekalahannya kepada Azmin Ali pada2018 — lantas beliau memerlukan masa untuk memprosesnya, apatah lagi 3,866 undi yang diraihnya bebeza kira-kira 6,000 dengan lawannya.

Meski dari awal siri kempennya, Rafizi mengulangi akan kalah kepada Nurul Izzah – puteri sulung perdana menteri selaku calon yang ‘ditunjuk-tunjuk’ hingga mendapat gelombang sokongan besar-besaran akar umbi — namun apabila ia benar-benar berlaku, keputusan itu tetap berat hati untuk diterimanya.

Andai ditolak ke tepi kecacatan sistem pengundian hingga timbul fenomena ‘kepala tanpa badan’ dalam pemilihan peringkat cabang bulan lalu, Rafizi harus menduga-duga di mana silapnya hingga kalah sebesar itu tatkala peraduan di pentas ceramah terang-terang dimenanginya.

Tindakannya tidak menghadiri kongres semalam dan sebaliknya memilih pulang ke Kuala Lumpur dengan membiarkan barisan kepimpinan dan perwakilan tertanya-tanya akan ketiadaannya, menceritakan kekecewaan yang bukan sedikit ditanggungnya, malah lebih daripada itu turut merasa dikhianati.

Sekental mana pun jiwa seorang reformis yang lebih dua dekad menyubur dalam susuknya, Rafizi juga manusia biasa yang punya perasaan dan kelemahan – gembira apabila matlamat tercapai dan berduka apabila apa yang diharapkan lebur di penghujungnya.

“Kita memerlukan masa untuk pulih daripada perasaan seolah-olah segala usaha dan dedikasi bertahun-tahun kepada idealisme PKR telah sia-sia. Saya juga manusia biasa, tidak terkecuali daripada rasa yang sama walaupun seketika. Hampir separuh usia dewasa saya, lebih tepat hampir 27 tahun, telah saya curahkan kepada perjuangan ini. Jujurnya, saya tidak langsung kecewa, malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan daripada sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi,” tulisnya di Facebook semalam.

Ramai yang berteka-teki mengenai tindakan lanjutnya selepas ini. Apakah beliau akan meletakkan jawatan menteri ekonomi seperti dijanjikannya jika kalah, apakah beliau akan menolak sebarang jawatan lantikan dalam parti dan apakah beliau akan membataskan peranannya kepada kehadiran di pentas ceramah sahaja apabila diperlukan?

Bayangan awal sudah dinyatakan Rafizi dalam hantaran Facebooknya pada Jumaat apabila beliau menolak ‘rayuan’ Nurul Izzah untuk membantunya selepas pemilihan parti selesai.

Barangkali ada dua sebab – satu, Nurul Izzah belum pun diumumkan menang ketika itu dan permintaannya tentunya mendahului waktu dan dua, Nurul Izzah bertanding dengan sokongan menyeluruh pasukan dari pelbagai peringkat kepimpinan yang menjulangnya – dari akar umbi hingga ke pemimpin tertinggi. Jadi apa perlunya beliau minta pertolongan seseorang yang kekalahannya sudah hampir pasti?

“Nurul Izzah sekali lagi merayu kepada saya untuk membantunya selepas pemilihan parti. Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada presiden dan parti. Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat, rekod, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti.

“Jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka, dia sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan timbalan presiden. Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baru PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti,” katanya.

Saifuddin, rakan karib dan setiausaha agung Pakatan Harapan (PH), turut berkongsi kebimbangan serupa terhadap kehilangan Rafizi dalam PKR, didorong rasa terlalu kecewanya ditolak akar umbi selepas menghabiskan sebahagian besar usianya mengabdikan diri kepada perjuangan reformasi.

“Saya menemani saudara Rafizi turun pentas, saya hantar ke kereta, berpeluk dan saling minta maaf dan saya akui saya takut kehilangan beliau dalam parti kita,” kata bekas setiausaha agung PKR itu ketika berucap sambil menahan sebak dalam kongres semalam.

“Kalau orang luar tanya apa YB dah buat, kenapa YB jadi macam ini, kenapa mereka maki YB? Saya tiada salah yang lain. Salah saya hanya kerana saya menjadi batu penghalang kepada satu budaya yang kita memang tak setuju dari dulu

“Kalau lepas ni Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan presiden, kalau Rafizi tidak dihalang sekarang, jangan bagi laluan mudah untuk dia jadi presiden parti lepas ni. Sebab kalau dia jadi presiden mampus kita. Itu saja,” kata Rafizi dalam ucapannya di Jelajah Hiruk Johor pada Selasa sebagai sorotan.

Anwar, dalam ucapan dasar presiden sempena kongres parti itu pada Jumaat, mengingatkan akar umbi untuk menjaga adab dalam memberi teguran kepada Rafizi dan Nurul Izzah kerana pengorbanan dan perjuangan mereka terhadap parti sangat mendalam dan sukar ditandingi. Dalam pada itu, tidak sukar mengagak nama siapa yang jadi pilihannya ketika mengundi.

Saintis politik dari Universiti Sunway Wong Chin Huat, dalam menjangkakan Rafizi akan berundur daripada jawatan menteri ekonomi, berpandangan bahawa mantan timbalan presiden itu akan lantang bersuara untuk mengkritik kelemahan dan memupuk reformasi dalam tatakelola kerajaan.

“Ini akan menyemarakkan sebahagian penyokong PKR dan PH yang merasakan parti dan gabungan ini telah lupa reformasi dalam kerajaan,” katanya sambil menambah Rafizi ahli strategis dan pemidato berkarisma akan membawa impak lebih besar hingga mungkin menyinggung menteri-menteri dan tidak terkecuali perdana menteri.

Sama seperti selepas kekalahannya kepada Azmin apabila beliau bercuti daripada politik dan kemudian kembali pada 2022 dan memenangi semula jawatan nombor dua, Rafizi dijangka mengambil langkah serupa selepas ini dan harus menyasarkan jawatan tertinggi dalam pemilihan pada 2028.

Untuk meredakan keresahan penyokongnya, Rafizi semalam menegaskan tidak berniat untuk berputus asa atau meninggalkan perjuangan idealismenya.

“Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan sambil merayu agar saya tidak meninggalkan PKR. Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik,” katanya yang dengan sendiri menolak sebarang tanggapan beliau berhati tisu – sama seperti diharapkannya daripada ahli parti apabila mendapat tegurannya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.