Dalam kehangatan kempen calon timbalan presiden, Rafizi mungkin secara tidak sengaja turut menangkan Ramanan.

Kebetulan kedua-duanya memiliki singkatan nama serupa ‘RR’ — Rafizi Ramli dan Ramanan Ramakrishnan — sama seperti satu jenama automotif yang melambangkan prestij dan keunggulan tapi persamaannya terhenti setakat itu.
Dalam hiruk-pikuk pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) 23 Mei ini yang lebih tertumpu kepada perebutan jawatan nombor dua yang dipertahankan Rafizi, tidak semena-mena ialah Ramanan turut ikut popular.
Andai menang, calon naib presiden buat kali pertama itu mungkin harus turut berterima kasih kepada ahli pengasas PKR Rafizi kerana bantu mempopularkannya meski kedua-duanya bertanding dalam pasukan berlawanan.
Betapa tidak kerana dalam siri Jelajah Hiruk — baru dua peringkat di Seremban dan Kulim pada Ahad dan Isnin, rehat pada Selasa sebelum bersambung di Mentakab malam tadi dan Kota Bharu pada 16 Mei — nama Ramanan tidak lekang dari bibir Rafizi, salah satunya kerana beliau dilihat antara jurucakap tidak rasmi kem Nurul Izzah Anwar.
Didahului oleh kenyataannya pada 9 Mei bahawa seramai 201 atau 90.5% daripada 222 ketua cabang PKR dari seluruh negara secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Izzah, tidak perlu dipersoal kecondongan timbalan ketua penerangan itu kepada calon mana satu untuk timbalan presiden.
Namun, seperti ditekankannya, hanya ada satu kem dalam PKR, iaitu kem Presiden Anwar Ibrahim sambil menolak kewujudan ‘Kem Rafizi’, seolah-olah pertembungan satu lawan satu dengan Izzah ialah pertandingan proksi menentang Anwar yang boleh menyumbang kepada perpecahan dan salah faham di peringkat akar umbi.
Tapi semua orang pun tahu bukan itu yang mengundang reaksi Rafizi melainkan kritikan kononnnya rata-rata akar umbi meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pimpinan atasan yang dahulunya mesra dan mudah dihubungi, namun berubah selepas mendapat jawatan tinggi.
Ramanan sebenarnya tidak menamakan sesiapa, namun kerana tegurannya itu dibuat dalam kehangatan perebutan jawatan nombor dua dalam parti, Ahli Parlimen Pandan itu harus tidak tersilap jika berasa ia ditujukan kepadanya.
“Saya tidak mahu sembunyikan hal ini. Ini adalah maklum balas yang sangat jelas daripada ahli di bawah. Mereka kata dulu pemimpin angkat telefon. Sekarang dah ada driver, ada bodyguard, jadi susah nak dekati mereka,” kata Ramanan yang boleh turut diandaikan kepada dua lagi menteri — Chang Lih Kang (sains, teknologi dan inovasi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (sumber asli dan kelestarian alam).
“Mesej itu berulang kali diungkapkan oleh akar umbi semasa saya turun ke negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan akar umbi zon utara di Seberang Jaya pada Jumaat lepas.
Dalam respons sinisnya kepada Ramanan pula, Rafizi mengakui mengakui dia tidak menjaga ahli akar umbi dengan cara dimaksudkan oleh timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu.
“Ia sebahagian naratif (menentang Rafizi) yang cuba dibina. Saya tidak boleh nak salahkan Ramanan, mungkin dia baru dalam parti ini. Masa kita lawan Najib (Razak) dengan 1MDB tahun 2015, dia bendahari MIC pun. Dia masuk parti tahun 2020, maksudnya selepas MIC kalah tahun 2018 dia masih lagi dengan MIC. Dia mungkin terkeliru budaya akar umbi dalam Keadilan dengan daripada parti lama dia.
“Kalau jaga akar umbi seperti Ramanan sibuk beritahu semua itu maksudnya turun senyap-senyap bagi lima ribu, 10 ribu kepada orang supaya kau sokong aku, memang saya mengaku la saya tak jaga macam itu. Kalau jaga akar umbi ini maksudnya hantar hamper Deepavali, raya, kalau nak kata saya tak jaga akar umbi oleh kerana benda-benda macam itu memang saya mengaku la sebab kita ni parti reformis. Kalau kita nak buat macam itu, baik saya masuk parti lain, senang la. Tak payahlah nak keluar lokap. Pergi demonstrasi semua.
“Ramanan tak pernah rasa kena pukul (di) demonstrasi. Kita pernah merasa kena sembur air semua ni. Jadi kebelakangan ini memang la dah menang, dah jadi kerajaan, banyaklah watak-watak mana dari parti mana yang masuk. Mungkin dia berlaku jujur, dia rasa ini (Rafizi) memang seorang timbalan presiden yang tidak baik, yang tak menjaga akar umbi. Tapi budaya kita dalam PKR, menjaga akar umbi ni lain.
“Kita turun ke bawah kuatkan kawan kita untuk dihormati di kawasan Parlimen dia, kita tak boleh hulurkan wang kerana kita pun tidak ada duit,” tambahnya sambil mendakwa ada calon bertanding jawatan ketua Wanita PKR membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membeli tudung, dipercayai diagihkan kepada perwakilan.
“Kita mana pernah bertanding dengan bagi tudung. Kita bertanding menguatkan cabang dengan bawa agenda rakyat yang menggamit sokongan rakyat biasa. Kita bina keyakinan mereka bahawa parti ini layak untuk memerintah mereka, boleh bawa keadaan yang lebih baik kerana kita lebih jujur, rancangan ekonomi untuk rakyat itu lebih baik, kita dilihat membawa budaya politik lebih telus dan lebih dipercayai oleh rakyat.
“Itu tanggungjawab pimpinan pusat seperti saya. Yang itulah menjaga akar umbi, bukannya tabur duit. Kalau nak ikutkan rekod saya bab itu saya tak adalah kata hebat tapi lebih baik daripada Ramanan la kut,” katanya lagi.
Sekarang kita tahu bagaimana hubungan Rafizi dengan Ramanan yang mempunyai ceritanya sendiri sejak pemilihan calon PKR untuk kawasan Parlimen Sungai Buloh menjelang PRU15 lagi.
Satu laporan Bernama pada 3 Nov 2022 memetik Rafizi sebagai berkata perbincangan mengenai calon paling sesuai bertanding di Parlimen Sungai Buloh adalah antara yang paling panjang dan rumit.
Pengarah pilihan raya PKR itu lebih cenderung kepada penyandang Sivarasa Rasiah dikekalkan tetapi Anwar mahu menampilkan Ramanan untuk berdepan Khairy Jamaluddin yang mewakili Barisan Nasional (BN).
“Saya sampaikan sekali lagi mengikut maklum balas pengundi (di Sungai Buloh) supaya dipertimbangkan balik calon (Ramanan) tetapi saya hormat keputusan presiden yang merasakan lebih baik mengekalkan calon supaya kempen yang sedang berjalan dapat diteruskan,” katanya ketika itu. Kesudahannya Ramanan menang dengan majoriti 2,693 undi.
Kemudian, dalam pertemuan khas dengan ketua-ketua cabang di Ipoh pada Isnin, Ramanan berkata khidmat Izzah sebagai ‘panglima perang’ diperlukan berdasarkan rekod parti yang berjaya merebut banyak kerusi dalam PRU14 ketika puteri sulung perdana menteri itu bertindak sebagai pengarah pilihan raya PKR.
“Kita memerlukan beliau sebagai pengarah pilihan raya pada PRU akan datang untuk menggunakan formula yang pernah digunakan pada PRU14, menyaksikan parti telah memenangi 47 kerusi. Kalau kali ini saudari Nurul Izzah (menjadi) timbalan presiden dan pengarah pilihan raya, saya ingat mungkin 70 kerusi Parlimen pun boleh (menang) atau 80 kerusi boleh,” katanya.
Bagaimanapun, hujahnya itu dipertikaikan di media sosial kerana ramai yang mempersoalkan bagaimana beliau tahu kerana ketika itu masih bersama MIC.
Ia akan menarik untuk menantikan apa yang akan diulas oleh Rafizi mengenai perkara itu, dengan Ramanan pasti tidak akan terlepas daripada apa yang bakal dikatakannya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.