`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, May 27, 2025

Ramanan dan Rafizi

 Naib presiden baharu PKR umpama kalis serangan tapi kini pikul beban besar selepas lonjakan jawatannya.

hishamuddin-aun

Jika diamati tajuk di atas sudah berkalih. Jika tajuk kolum ini 15 Mei lalu memaparkan “Rafizi dan Ramanan”, kali ini ia berkalih hanya kerana kedua-duanya sudah berubah kedudukan – Ramanan berada dalam kepimpinan tertinggi parti manakala Rafizi pula duduk di luar.

“Apa ‘ilmu’ yang Ramanan pakai?” sejujurnya itulah yang terlintas di fikiran saya sejurus namanya diumumkan antara pemenang jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada malam Jumaat lalu. Sesungguhnya politik sarat dengan ketidaktentuan hingga apa saja berkemungkinan.

Terbabit dalam perebutan 12 calon bagi empat slot naib presiden, Ramanan, 44, calon kali pertama bukan sekadar menolak keluar salah seorang penyandang Nik Nazmi Nik Ahmad, malah meraih undi kedua tertinggi (5,895) di belakang Amirudin Shari (7,955) selain mengatasi Aminuddin Harun (5,889) dan Chang Lih Kang (5,757) — kedua-duanya penyandang.

Malah, sudah ada pengamat politik PKR yang meramalkan Ramanan mungkin dinaikkan ke menteri penuh — dengan kekosongan ditinggalkan Nik Nazmi yang sekadar menduduki tangga kelima dalam pemilihan naib presiden dengan 5,656 undi.

Mereka yang mengikuti siri jelajah Hiruk Rafizi — didahului oleh podcast ‘Yang Bakar Menteri’ secara langsung di Seri Kembangan sebagai pembuka tirai kempennya pada 10 Mei — harus tahu nama ketua penerangan 1 PKR itu tidak lekang dari bibir bekas timbalan presiden itu atas pelbagai sindiran dan kiasan.

Didorong oleh satu kenyataan Ramanan bahawa terdapat sentimen semakin meningkat dalam PKR yang menyebabkan ramai ahli akar umbi kecewa dengan segelintir pemimpin atasan yang kini sukar dihubungi selepas mendapat kuasa, Rafizi menyerang balas.

“Saya tidak boleh salahkan Ramanan sebab dia baru, masa kita lawan Najib (Razak) dengan 1MDB dia bendahari MIC. Dia masuk parti tahun 2020, lepas MIC kalah, dia masih dalam MIC. Dia mungkin terkeliru dengan budaya parti lama dia dengan parti kita. Jaga akar umbi seperti Ramanan cakap itu, itulah politik wang, saya tidak jaga parti macam itu. Kalau nak kata saya tidak jaga akar umbi (seperti itu) saya mengakulah sebab PKR ini parti reformasi,” katanya.

Daripada dikatakan membawa pengertian songsang bagaimana menjaga akar umbi dalam PKR, menormalisasikan budaya beratur panjang untuk mencium tangan pemimpin hinggalah kepada masuk parti kerana tidak sabar-sabar untuk dapatkan jawatan, Ramanan menelan saja semuanya.

Lagipun, rintangan bukan baru buatnya dalam komponen Pakatan Harapan (PH) itu apabila pencalonannya untuk kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 mulanya mendapat tentangan Rafizi yang lebih cenderung untuk mengekalkan Sivarasa Rasiah sepenggal lagi tapi kata putus presiden parti Anwar Ibrahim menyelamatkannya.

Selebihnya adalah sejarah kerana Ramanan (50,943) mengukir antara kemenangan paling bermakna apabila mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin (48,250) dalam pertandingan tujuh penjuru ketika itu dengan majoriti 2,693 undi. Susulan itu, beliau diangkat sebagai timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi pada 12 Dis 2023.

Barangkali bukanlah menghairankan siapa pilihannya antara ‘kem Nurul Izzah’ dan ‘kem Rafizi’ ketika menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden pada 24 Mac yang dikatakannya selepas berbincang dengan Anwar, kalangan pimpinan, sahabat seperjuangan dan anggota PKR di seluruh negara yang sempat ditemuinya. Ini selepas beliau pada pada 18 Mac mengumumkan menang tanpa bertanding ketua cabang Sungai Buloh.

Tanpa berlengah Ramanan antara terawal mencanangkan pada 8 Mei bahawa Izzah mendapat gelombang sokongan besar akar umbi dari lebih 150 cabang — lebih 2/3 daripada 222 cabang di seluruh negara — untuk mencabar Rafizi bagi jawatan nombor dua.

Selang beberapa hari, Ramanan ‘membakar’ penyokong kem Rafizi lagi dengan berkata khidmat Izzah sebagai ‘panglima perang’ diperlukan berdasarkan rekod parti yang berjaya merebut banyak kerusi dalam PRU14 ketika menjadi pengarah pilihan raya PKR.

“Kalau kali ini saudari Nurul Izzah timbalan presiden dan pengarah pilihan raya, saya ingat mungkin 70 kerusi Parlimen pun boleh (menang) atau 80 kerusi boleh,” katanya.

Kepada Rafizi, congakan itu umpama ‘bola tanggung’ dengan lipat gulungnya: “Dia (Ramanan) ni kira tak berapa kerusi kita bertanding dalam PRU15? Kita bertanding 72 kerusi Parlimen di Semenanjung, 12 di Sabah dan 16 di Sarawak, maknanya 100 kerusi… PH lawan BN dan PN, tidak ada kerusi bertindih.

“Kalau kita masuk (PRU16) sebagai kerajaan perpaduan, kita kena bahagi kerusi. PH kena rundingkan kerusi dengan BN. Mustahil kita boleh bertanding di semua 72 kerusi itu (seperti PRU15),” katanya.

“Kalau ikut formula yang ada, kita ada 45 kerusi yang boleh kita letak calon (dalam PRU16) di Semenanjung. Dari mana datangnya (kemungkinan) kita boleh menang 80 kerusi?” soalnya.

Kali ini, Ramanan tidak berdiam diri. Sambil menegaskan beliau bukan ‘raja formula’, Ramanan mempertahankan beliau berpandukan fakta dalam meletakkan sasaran untuk memenangi sehingga 80 kerusi.

Mengingatkan ahli politik agar tidak hanya beretorik tanpa mendengar pandangan orang lain, beliau turut memulangkan sindiran kepada Rafizi: “Ahli politik bila kita bagi mikrofon, dia tidak akan berhenti bercakap dan tidak mahu mendengar, sebaliknya kena buka telinga. Kalau tidak, saya boleh tolong beri alat pendengaran.”

Di kemuncak pertelagahan kedua-duanya, tular satu klip video berdurasi 34 saat memaparkan Ramanan memberikan wang kepada individu lain di hadapan sebuah premis sebelum beredar. Ia bagaimanapun disangkalnya sebagai satu video lama fitnah yang sengaja ditimbulkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab menjelang musim pemilihan parti berkenaan.

Rafizi turut mempertikaikan pencalonan Ramanan untuk naib presiden dengan mempersoalkan apa yang dilihatnya sebagai layanan istimewa terhadap bekas ahli MIC itu yang dicalonkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh dan naik pangkat dengan pantas selepas menang.

Menyeru akar umbi untuk menamatkan kuasa khas presiden PKR bagi memberi pengecualian kepada mana-mana ahli baharu untuk bertanding dalam pemilihan parti atau pilihan raya — merujuk kepada Ramanan — sekali lagi Anwar tampil sebagai penyelamat dengan menyatakan ia dibuat oleh ibu pejabat parti.

“Kalau kamu (MPP) bawa pada saya, saya tak mahu tapis. Kalau tapis nanti jadi masalah. Jadi semua yang bawa permohonan, ikut undang-undang parti, dan diproses oleh ibu-pejabat, saya luluskan semua,” katanya.

Kini tiba ke bab paling sukar.

Rafizi dalam Jelajah Hiruk peringkat Negeri Sembilan dan Melaka pada 11 Mei lalu mendedahkan sokongan Melayu terhadap PH berada pada kadar 27% setakat April lalu — meningkat sedikit daripada 20% pada Ogos 2020 — manakala sokongan pengundi Cina dan India merosot dengan mendadak.

Di sinilah Ramanan — didedahkan menyumbang lebih RM580,000 daripada keseluruhan gaji dan elaunnya kepada hampir 100 rumah ibadat termasuk surau dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh sejak Disember 2022 — akan ditagih peranan besarnya untuk membantu Izzah yang dijulangnya selaku ‘jeneral perang’ yang lebih dipercayai. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.