`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, May 17, 2025

Tolong lebih dengan tak cukup tolong

 Keadaannya begini. Pada satu pihak dilihat lebih-lebih ‘manjakan’ orang Melayu. Pada pihak lain dituduh tunduk kepada orang bukan Melayu dan abaikan orang Melayu.

Mohsin AbdullahKata Yusri Ibrahim di Facebook dapatan tentang sokongan PH menjunam adalah sama dengan dapatan kajian Ilham Centre, di mana beliau adalah ketua penyelidiknya. Beliau merujuk dapatan ‘didedahkan’ Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tempoh hari.

Katanya menerusi satu lagi hantaran di Facebook: “Saya terkejut apabila ramai orang terkejut dengan perkongsian YB Rafizi bahawa sokongan orang Melayu terhadap PH bawah 30%.”

Kata aktivis media Fathi Aris Omar: “Bukan semua Melayu bersama PKR – hanya Melayu bandar, pinggir bandar dan (mungkin) lebih terbuka, lebih majmuk dan centrist yang nampak harapan bersama parti ini.”

Kembali kepada Yusri. Katanya lagi: “Saya juga terkejut apabila ramai orang terkejut dengan perkongsian beliau (Rafizi) bahawa sokongan etnik bukan Melayu terhadap PH semakin merosot.”

Yusri kemudian memberi sebab kemerosotan itu berlaku, khususnya
kemerosotan orang bukan Melayu kerana bukanlah rahsia besar mereka (atau majoritinya) telah memberi sokongan padu kepada Pakatan Harapan untuk sekian lama. Begitu juga pemerhati dan penganalisis politik lain termasuk Wong Chin Huat, Sivamurugan Pandian, Lee Kuok Tiung yang pandangan mereka diminta oleh media.

Tidak perlu saya ulangi apa dihuraikan mereka. Kesimpulannya mereka kurang gembira (meminjam kata-kata Yusri) dengan polisi ekonomi kerajaan perpaduan yang dikemudi PH yakni dasar berkaitan cukai dan subsidi. Tidak senang juga dengan apa yang dilihat perang lawan korupsi yang tidak berkesan dan tentunya reformasi yang tidak dilaksanakan. Banyak lagi huraian pakar. Google semua akan terbentang luas.

Saya rasa tidak mungkin kerajaan terutama PMX tidak tahu akan penurunan sokongan golongan bukan Melayu dan sebab-sebabnya ‘even before’ Rafizi mendedahkannya dan pakar pakar menghurai sebab. Persoalannya apa yang PH lakukan untuk menangani masalah ini?

Atau penasihat tidak bawa dapatan kepada kepada pimpinan? Jika ini berlaku ‘penasihat’ akan jadi ‘punahsihat. Atau pimpinan ‘tidak percaya’ dapatan yang dipersembahkan? Jika ini keadaannya elok PH dan kerajaan merenung peringatan Rafizi yakni ‘sebelum PRU14 Najib Razak terima 18 laporan kajian – 17 daripadanya kata dia akan menang’.

Apa pun yang ingin disampaikan dalam penulisan ini ialah satu lagi sebab golongan bukan Melayu tidak seghairah dulu terhadap PH – sebab selain soal polisi ekonomi, perang antikorupsi lesu, reformasi yang tidak direalisasi yang diketengahkan penganalisis politik disebut tadi.

Sebab yang saya maksudkan ialah golongan bukan Melayu menganggap kerajaan lebih memberi perhatian kepada orang Melayu dan mengabaikan kepentingan atau keperluan mereka.

Ini saya kata bukan berpandu hasil kaji selidik seperti dijalankan penganalisis politik dan ‘researches’. Ini berdasarkan dapatan saya menerusi perbualan dengan kenalan, komen ‘non Malays’ di portal berita serta platform sosial media (yang mungkin dibuat oleh orang biasa atau ‘cybertroopers’ parti politik tertentu saya tidak boleh pastikan) dan juga rungutan diluahkan dalam kalangan anggota kumpulan ‘celoteh’ WhatsApp.

Rata rata mereka percaya ‘the government is pandering to the Malays and pampering them’. Betul atau tidak begitulah persepsinya. Mereka tidak senang dengan peruntukan besar kepada Jakim dan kuasa diberi umpamanya. Kebimbangnya negara ini akan jadi negara Islam. Mereka kecewa apa yang mereka harapkan tidak terjadi. Walaupun akur akan hak keistimewaan orang Melayu mereka inginkan dasar meritokrasi dalam banyak hal.

Turut dikritik (sekadar menggunakan istilah lembut) ialah kencenderungan Malaysia terutama perdana menteri terhadap Palestin ‘at their expense’. Ada yang tuduh sinis Anwar Ibrahim mahu jadi presiden Palestin dan tidak memberi perhatian terhadap rakyat sendiri (baca masyarakat bukan Melayu). Kata-kata Anwar ‘do not spoof the Malays’ yang disuarakan semasa beliau belum jadi perdana menteri masih dihebahkan. Sehingga pada tahap apa yang PMX buat semua tak betul.

Tidak kurang juga dalam kalangan kenalan saya yang mahu sesuatu yang ideal. Cukup setakat itu kerana tentu anda tahu apa yang saya katakan ini.

Dalam pada itu ada pula dalam kalangan orang Melayu (yang mungkin orang biasa atau pro parti tertentu yang antikerajaan) tidak puas hati dengan kerajaan pimpinan PH dan mendakwa kepentingan Melayu semakin terhakis. Kerajaan dipimpin orang Melayu mereka tuduh dicucuk hidungnya oleh orang bukan Melayu. Lantas ‘favour’ orang bukan Melayu. Manakala naratif Islam terancam memang sering kita dengar. Sehingga pada tahap semua PMX buat tak betul.

Adakah kerajaan tidak tahu ini semua? Saya rasa kerajaan tahu. ‘So what are they doing about it?’

Keadaannya begini. Pada satu pihak dilihat lebih lebih ‘manjakan’ orang Melayu. Pada pihak lain dituduh tunduk kepada orang bukan Melayu dan abaikan orang Melayu.

‘The government is caught between a rock and a hard place’. Mereka ada dua tahun sebelum pilihan raya umum diadakan untuk ‘fix this mess’. Pejam celik pejam celik tahu-tahu dah dua tahun. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.