`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, May 25, 2025

WTE ubah sampah jadi ‘pendapatan’, kata ahli akademik

 Namun Azil Bahari Alias menjelaskan objektif loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) hanya boleh dipenuhi jika peraturan ketat diikuti.

Kerajaan kenal pasti 18 tapak loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) bagi perkemas pengurusan sampah, kurangkan pencemaran.
PETALING JAYA:
 Loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) mampu menjana pendapatan dan mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar selain mengatasi masalah tapak pelupusan sanitari semakin terhad, kata ahli akademik.

Azil Bahari Alias dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pendapatan itu merujuk hasil penjualan semula tenaga boleh diperbaharui dalam bentuk elektrik, haba atau bahan api dijana daripada pembakaran sampah secara sistematik.

Azil Bahari Alias.

Katanya, WTE juga mendorong kepada pelaburan swasta termasuk teknologi, pengangkutan dan pengurusan sisa seterusnya menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan, operasi loji, pengurusan alam sekitar serta penyelidikan.

“Tak perlu lihat luar negara, WTE pertama di Negeri Sembilan telah menjana tenaga yang memanfaatkan puluhan ribu isi rumah sekitarnya dan mendapat pulangan pendapatan.

“Pasaran global WTE dijangka berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 2023-2030, ini didorong kekurangan tanah untuk tapak pelupusan, tekanan alam sekitar untuk mengurangkan pelepasan rumah hijau serta dasar sifar sisa,” katanya kepada FMT.

Mei tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberitahu kerajaan mengenal pasti 18 lokasi bagi pembangunan WTE di seluruh negara yang menjadi hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal menggunakan teknologi canggih dan terkini.

Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dilaporkan menggesa kerajaan membatalkan cadangan itu dengan mendakwanya menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan kesihatan kerana pelepasan bahan pencemar berbahaya seperti dioksin, furan, logam berat dan partikel halus.

Kurang pencemaran

Azil yang juga dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM memberitahu teknologi WTE yang semakin berkembang pesat sebenarnya mengurangkan pencemaran dan pelepasan bahan berbahaya dengan adanya pemantauan ketat.

“China yang mempunyai WTE terbanyak di dunia dengan 400 loji pada 2024 memfokuskan kepada proses pembakaran moden dengan sistem tapisan udara terkini canggih bagi tujuan memenuhi kehendak kawalan pelepasan udara ketat di seluruh dunia termasuk Malaysia,” katanya.

Azil memberi amaran kebergantungan kepada tapak pelupusan sanitari boleh mendedahkan kepada pencemaran seperti pelepasan gas rumah hijau antaranya metana (CH4) yang 25 kali lebih kuat berbanding karbon dioksida (CO2).

“Cecair larut resapan (leachate) terhasil daripada aktiviti penguraian bahan organik oleh bakteria serta jumlah taburan hujan tinggi meresap dalam timbunan sisa jika tidak dirawat dengan baik boleh mencemarkan air bawah tanah serta sungai berhampiran, ia merosakkan ekosistem akuatik dan membahayakan sumber air.

“Penduduk berhampiran juga berisiko terdedah penyakit saluran pernafasan, kulit serta alahan, selain penyakit bawaan tikus dan makhluk perosak lain.

“Selain itu, ia juga boleh mengakibatkan peningkatan penyakit berkaitan mental akibat menghirup bau busuk dan berasid berpanjangan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu juga dibimbangi akan memberi gangguan sosial serta ekonomi seperti pengurangan nilai hartanah.

“Namun, aspek paling penting tidak banyak tanah ada untuk memperbesarkan tapak pelupusan, pada 2023 Malaysia dianggarkan menghasilkan lebih 38,000 tan sisa pepejal sehari dan 80% daripadanya berakhir di tapak pelupusan.

“WTE mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan hingga 90%, hanya meninggalkan abu tak organik (residu) yang jauh lebih kecil,” katanya menjelaskan bahan itu kemudian boleh diproses semula sebagai simen.

Rancang, kendali secara profesional

Namun Azil mengingatkan manfaat WTE hanya boleh dicapai jika loji dirancang, direka dan dikendalikan secara profesional selain mengikuti SOP Jabatan Alam Sekitar seperti zon penampan.

Katanya, ia terkandung dalam garis panduan ‘Penempatan dan Zon Industri dan Kawasan Kediaman (Oktober, 2012)’ dan ‘Keperluan Alam Sekitar Untuk Tapak Perindustrian di Malaysia, EESIM (Oktober, 2017)’.

“Syarikat pembangunan juga perlu membabitkan penduduk dari awal selain memaparkan data pelepasan secara terbuka dan mendapatkan pandangan pakar bebas dalam penilaian impak alam sekitar,” katanya.

Hanafiah Zainal Abidin.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM, Hanafiah Zainal Abidin, berkata aspek kesedaran perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat untuk mengelakkan sebarang salah faham berhubung pembinaan kemudahan tersebut.

“Pandangan penduduk terhadap projek itu juga perlu diambil kira dan dihormati kerana mereka yang akan terkesan apabila loji terbabit mula beroperasi.”

“Namun, dari sudut akademik melihat WTE dapat memanfaatkan kehidupan, tetapi dengan syarat operasinya mengikut peraturan,” katanya sambil menjelaskan persepsi itu mungkin disebabkan pelaksanaan ‘kurang berjaya’ sebelum ini.

Menurut Hanafiah, ada persepsi penggunaan teknologi dalam menguruskan sisa pepejal seperti insinerator di beberapa lokasi tertentu gagal selepas melihat gambar timbunan sampah disebarkan, seolah-olah kemudahan itu tidak beroperasi.

“Sebenarnya bukan tidak berfungsi tetapi adakala sampah untuk dilupuskan tidak mencukupi, contohnya insinerator di Pulau Pangkor mempunyai kapasiti 20 tan sehari tetapi jumlah kutipan harian yang perlu dilupuskan tak sampai.

“Sebab itu ada persepsi penggunaan teknologi tidak dapat uruskan sisa atau sampah, jadi perlu ada penjelasan berterusan untuk beri kesedaran,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.