`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, September 9, 2025

Politik ala Netflix

Mungkin lebih baik kita letakkan politik pada tempatnya. Drama remeh-temeh itu cukup kita ambil tahu sekadar perlu sahaja di samping membuat penilaian.

ronasina

Saya pernah hidup 24 jam berpolitik. Tak habis-habis sembang politik. Celik mata, politik. Nak pejam mata pun politik. Semua hal nak dikaitkan dengan politik. Di majlis kenduri kahwin, kenduri arwah, ziarah rumah orang di Hari Raya – tak ada cerita lain, politik memanjang. Berborak tentang parti, cerita siapa naik siapa turun, siapa lompat siapa bersekongkol, siapa kawan siapa khianat. Itu sahaja dunia saya. Politik sahaja paling penting dalam dunia ini. Kawan-kawan yang kata dia tak minat politik siaplah saya hayun. Yang asyik dengan sukan, dengan muzik saya balun. Engkau orang semua ni tak sayang negara ke?

“Aku politik-politik ni tak mainlah, Ron. Tak campur,” kata seorang kawan.

Saya naik angin. “Apa nak jadi kamu ini kalau tak ambil tahu pasal politik? Kalau tak ada politik bagaimana negara hendak ditadbir, ekonomi hendak berjalan? Makan minum kau pun harganya ditentukan oleh politik. Minyak kereta kau pun politik. Apa makna hidup kalau tak ambil pusing hal politik.”

Dia senyum, kemudian menyambut dengan hujah lebih berapi. “Yelah, aku bukan tak mengundi. Masa pilihan raya aku jalan tanggungjawab aku. Tapi lepas itu, aku kena kerja. Aku nak jaga keluarga. Siapa yang naik, parti mana yang memerintah, itu dah ditentukan. Mereka yang dah dipilih buatlah kerja mereka, nak memekak pasal apa lagi? Nak rampas kerajaan tak habis-habis sampai mengganggu kestabilan? Jangan kacaulah! Aku nak buat kerja aku juga. Aku nak pastikan anak aku cukup makan, ada masa depan. Itu politik aku. Dalam keluarga akulah presiden, akulah menteri. Anak bini aku adalah rakyat untuk aku kasi makan. Mak bapak di kampung nak ditanggung. Anak buah aku yang dah yatim-piatu aku kena bantu.”

Terdiam saya. Macam pantun pula jawapannya. Tapi bila difikir balik, kawan saya bukan bengong politik. Dia cuma muak dengan kisah-kisah remeh politikus yang diangkat macam sesuatu yang besar. Baginya, tidak ada perkara besar yang perlu disandarkan harapan untuk berubah. Dari dulu sampai sekarang, pola tetap sama.

Katanya, “Kau tengok dunia ni. Mana ada harga barang makin turun, gaji makin naik mendadak. Negara maju pun orang kejar hidup sampai rumah tangga porak-peranda. Kita nak kejar apa sebenarnya?”

“Siapa saja yang memerintah kita akan dengar penyokong mereka berkata keadaan semakin baik, ekonomi semakin kukuh, pelabur ramai masuk. Di sebelah pembangkang pula sibuk dok kata hutang negara makin tinggi, negara bakal bankrap, rakyat makin terhimpit. Mana satu betul ni?” sergah dia lagi.

Saya cuba membantah, tetapi ada benarnya. Politik di Malaysia bagai drama bersiri di Netflix. Ada episod lompat parti, ada babak pemimpin disingkir tapi bangkit semula, ada watak antagonis yang tiba-tiba jadi hero. Ada juga ‘cliffhanger’ – apa jadi menteri yang letak jawatan tu? Dia nak duduk belah mana? Dan kita rakyat – mahu tak mahu kena jadi penonton sebab ceritanya bermain depan mata. Dan plotnya tak pernah tamat. Bila satu episod reda, muncul pula episod baru yang kita tak boleh klik ‘skip intro’. Kena tengok, walaupun bosan. Tak tengok pun kita terpaksa juga dengar orang berbual tentangnya di pejabat, di kedai kopi atau di tangga surau.

Kita maklum politik dunia pun begitu. Politik Amerika Syarikat pun sama. Di Britain, drama Brexit pun berlarutan dibualkan rakyat seperti ‘season drama’ yang tak habis-habis. Bahkan di Thailand, Myanmar, Filipina — politik sentiasa penuh konflik, tragedi, drama.

Di Indonesia pula, kita sekarang diperlihatkan dengan drama bagaimana mulut celupar seorang pemimpin politik telah mencetuskan amarah rakyat hingga si politikus terpaksa melarikan diri. Ia segera mengingatkan kita bahawa rakyat jangan sekali-kali diperolokkan. Rakyat memang selalunya nampak senyap tetapi apabila marah itu memuncak, tak mustahil ia mampu jadi gelombang yang tak terbendung.

Di Malaysia, mungkin agak sukar membayangkan senario begitu. Ukuran protes rakyat selalunya hanya pada persoalan cukup atau tidak cukup makan. Selagi kita masih boleh mengopi di kafe hipster sambil membebel tentang kesusahan hidup, ia belum memberi kesan sebenar. Perbualan akan tamat sebaik sahaja kopi sejuk. Tetapi jika sampai titik rakyat benar-benar lapar, kos meningkat mendadak, pengangguran bertambah maka sudah pasti kebangkitan itu tidak akan dapat ditahan lagi dengan janji manis atau slogan ‘hari ini menang, esok gaji naik’.

Politikus pula memang sentiasa mahukan publisiti supaya mereka kekal dilihat relevan. Walaupun publisiti itu negatif, mereka tak kisah. ‘Bad publicity is a good publicity’, bagi mereka. Maka lahirlah segala macam kerenah, drama murahan, kenyataan celupar. Mereka tak mahu dilupakan. Mereka mahu muka mereka sentiasa dilihat. Bukan pemimpin tertinggi sahaja yang bikin kecoh, ahli-ahli kecil ini pun mahukan perhatian daripada rakyat dan perhatian daripada pemimpin tertinggi mereka sendiri. Kekecohan ahli-ahli di perhimpunan agung parti adalah salah satu contohnya. Ahli kecil mahu pemimpin mereka lihat yang mereka juga wujud, ada suara dan ada kehendak. Manakala pemimpin tertinggi mestilah mahukan ‘penonton’ yang lebih luas dan ramai. Mereka buatlah kontroversi untuk rakyat terbanyak fokus ke arah mereka.

Tetapi sebaliknya jika kita, rakyat terbanyak ini dan media buat tak tahu saja, tak layan drama remeh yang mengada-ngada, barulah mereka menggelabah. Mulalah balik asal – buat kerja sebenar untuk menarik semula sokongan. Sepatutnya begitulah, rakyat harus berani ‘membiarkan’ mereka sehingga mereka dipaksa bekerja, bukan kita yang ramai ini dipaksa untuk melayan episod sensasi mereka. Takkan kita nak potong kad debit kita setiap bulan semata-mata hendak menonton Netflix politik mengada-ngada ini?

Kawan saya tadi mungkin betul. Hidupnya lebih tenang tanpa sibuk meneka episod seterusnya. Tak macam kita yang terus bergosip tentang menteri itu dan ini, lompat sana dan terjun sini. Tetapi itulah! Walaupun kita cuba lari daripada politik, politik tetap mengejar kita — dalam bil elektrik, tol, cukai, dan secawan kopi. Justeru, di sinilah letaknya cabaran kita sebagai rakyat biasa. Seeloknya tak usahlah sampai kita jadi terlalu taasub sehingga hilang kebebasan berfikir dan hilang nikmat bersuka-ria. Jangan pula juga sampai kita terlalu muak hingga menyerah bulat-bulat. Benar, hidup perlu diteruskan, kerja perlu dilakukan, keluarga perlu dibesarkan tetapi kita juga berperanan besar dalam menentukan nasib generasi dan anak bangsa kita melalui politik. Masa depan anak-cucu kita ada di tangan kita dalam menentukan hala tuju negara. Politik itulah kenderaannya. Ini memang sudah menjadi sistem dalam konsep dunia bernegara abad ini. Mungkin lebih baik kita letakkan politik pada tempatnya. Drama remeh-temeh itu cukup kita ambil tahu sekadar perlu sahaja di samping membuat penilaian. Apabila tiba waktu pilihan raya, pilih yang kita yakin. Beri isyarat kepada yang mengada-ngada ini supaya jangan ingat kamu istimewa. Buat kerja jangan asyik nak main sandiwara. Selebihnya dalam hidup kita ini ialah jalani ia sebaik mungkin. Laksanakan tanggungjawab kepada keluarga. Kita hanya perlu jadi penonton berkesedaran tinggi tanpa perlu menjadi taasub, tanpa juga jadi penonton yang pasif.

Anggap sahaja menteri letak jawatan dan kerajaan bertukar itu biasa. Macam kereta. Bila ‘oil filter’ sudah tak elok, tukar yang baharu. Kereta boleh bergerak dengan lebih lancar lagi. Sistem sudah dibentuk. Pentadbiran sentiasa sedia untuk terus berjalan. Itulah yang kita nampak di negara yang lebih maju. Kalau kita mengaku kita juga negara maju, ia tak menjadi hal. Drama gertak dan takut-menakut rakyat ini hanya taktik lama politikus yang sudah tak relevan lagi di zaman orang semakin sibuk hendak ke depan.

Kita kena jadi penonton yang lebih bijak daripada pelakon. Pelakon akan menggelabah jika penontonnya bijak-bijak. Silap berlakon nampak lebih bodoh daripada badut yang memalukan diri sendiri. Bila tak siapa mahu menonton, akhirnya pelakon-pelakon ini pula yang akan berlakon mengikut selera kita. Ya, biar kita jadi pengarahnya. Barulah berbaloi untuk kita tonton episod demi episod! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.