`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, March 12, 2026

Hari raya atau Hari al-Quds

 Hari al-Quds tidak begitu mendapat sambutan di Malaysia malah selalunya Hari al-Quds itu tenggelam dengan sambutan hari raya.

faisal tehrani

Ada orang bertanya kepada saya mengapa Hari al-Quds tidak begitu mendapat sambutan di Malaysia malah selalunya Hari al-Quds itu tenggelam dengan sambutan hari raya. Bahkan, dalam banyak keadaan ada anggota masyarakat kita tidak pernah mendengar pun Hari al-Quds.

Hari al-Quds disambut pada setiap hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan. Tokoh yang mengasaskan Hari al-Quds ini adalah pendiri Republik Islam Iran, iaitu Ruhollah Khomeini, dan berdasarkan namanya, ia untuk mengenang Palestin. Khomeini menyuntikkan semangat anti-imperialis pada Hari Al-Quds agar terdapat kesedaran untuk melawan dalam kalangan umat Islam.

Untuk rekod, komuniti Syiah telah lama mempunyai rekod sokongan terhadap perjuangan Palestin serta penentangan terhadap Zionisme. Seawal tahun 1947, ulama Syiah terkemuka, Mohammed Emami-Kashani, memberi amaran tentang apa yang beliau sifatkan sebagai ‘bahaya gerakan Zionis’, dengan membingkainya sebagai isu utama dalam perjuangan menentang pengaruh imperialis United Kingdom di rantau tersebut.

Orientasi ini berterusan pada dekad-dekad berikutnya, dengan Iran dan rangkaian Syiah memberikan bantuan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai saluran, serta berinteraksi dengan pelbagai kumpulan dan gerakan, sama ada yang bercorak nasionalis mahupun Islamis.

Akan tetapi Iran sangat berhati-hati menyalakan Hari al-Quds ini. Ia bukan hari untuk membenci Yahudi. Dalam satu pertemuan dengan anggota komuniti Yahudi Iran pada 14 Mei 1979, Khomeini menegaskan Republik Islam tidak mempunyai permusuhan terhadap orang Yahudi sebagai sebuah komuniti agama yang hidup secara aman di Iran. Sebaliknya, penentangan ditujukan kepada Zionisme, yang beliau gambarkan sebagai suatu ideologi politik yang secara asasnya berbeza daripada identiti agama Yahudi.

Dengan membuat perbezaan ini, Khomeini berusaha menjelaskan bahawa pertentangan ideologi negara revolusioner itu disasarkan kepada projek politik Zionis, bukannya kepada agama Yahudi atau bangsa Yahudi secara keseluruhan.

Atas sebab inilah Khomeini melancarkan Hari al-Quds. Ini inisiatif simbolik di mana penginstitusian Yawm al-Quds (Hari Baitulmaqdis) dirangka menjadi platform mobilisasi tahunan untuk memperjuangkan pengembalian Baitul Maqdis kepada umat Islam. Niat Khomeini ini menyeru satu hari peringatan atas nama al-Quds sambil membayangkannya sebagai suatu platform simbolik dan mobilisasi; yang melaluinya satu memori kolektif dan kesedaran politik dapat dipupuk.

Bukanlah sulit membayangkan Hari al-Quds adalah bertujuan untuk mengekalkan kesedaran global tentang status Baitul Maqdis serta membangkitkan tekad moral dalam kalangan umat Islam untuk memerdekakan Palestin daripada cengkaman Israel.

Seperti saya nyatakan, Hari al-Quds disambut pada hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan dan diperingati setiap tahun di banyak bahagian dunia Islam. Namun di Malaysia, kesedaran mengenai Hari al-Quds secara sejarahnya agak terhad dan sering dilihat sebagai suatu sambutan yang berkait dengan komuniti Syiah. Tambahan pula, rentak budaya masyarakat Islam Malaysia lazimnya memberi tumpuan kepada persiapan menyambut Syawal yang sering menenggelamkan peringatan terhadap peristiwa ini.

Bagaimanapun, saya percaya tahun ini sedikit berbeza. Iran dan Israel sedang beperang, dan Palestin antara faktornya. Serangan keras Iran ke atas Israel nampaknya meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan Hari al-Quds serta menghidupkan semula wacana mengenai persoalan Palestin.

Terdapat sebuah buku karya Syed Jaafar Al-Sagoff, seorang rakyat Malaysia yang berpeluang menyaksikan Revolusi Iran secara langsung. Dalam bukunya ‘Imam Khomeini: The Inspirational Force of Islam’, beliau memberikan huraian yang mencerahkan mengenai motivasi intelektual dan politik di sebalik penginstitusian hari peringatan tersebut:

“Imam Khomeini memilih Hari Quds daripada hari-hari yang paling bertuah dalam setahun. Hari Jumaat ialah hari perhimpunan mingguan terbesar umat Islam, dan perhimpunan ini adalah untuk solat berjemaah, khutbah mengenai kesucian, perpaduan dan jihad serta untuk mencari penyelesaian kepada masalah sosial. Hari Quds berada dalam bulan Ramadan, bulan doa, bulan pengabdian dan bulan jihad. Malam Qadr juga berada dalam bulan Ramadan. Perlu diperhatikan bahawa malam Qadr tidak tetap tarikhnya, tetapi menjadi kepercayaan umum umat Islam bahawa ia berada dalam salah satu daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan yang mulia. Hari Quds juga termasuk dalam sepuluh hari terakhir bulan ini dan oleh itu dianggap sebagai salah satu hari suci tersebut. Tambahan pula, bulan Ramadan merupakan inspirasi kemenangan bagi umat Islam kerana ia mengingatkan mereka kepada Perang Badar perang pertama Nabi menentang orang-orang yang tidak beriman—yang berakhir dengan kemenangan umat Islam. Imam Khomeini seterusnya berkata: Diharapkan bahawa pada Hari Quds semua umat Islam di seluruh dunia akan dibebaskan daripada pemerintahan zalim ‘Great Satan’ dan kuasa-kuasa besar yang lain.”

Petikan ini memperlihatkan bagaimana Khomeini secara strategik mengaitkan isu Palestin yang sarat emosi dengan unsur-unsur kuat memori sejarah dan spiritualiti Islam. Secara khusus, beliau menghubungkan perjuangan Palestin dengan Perang Badar satu episod pembentukan penting dalam sejarah awal Islam pada zaman Nabi Muhammad, serta meletakkan peringatan tersebut dalam malam-malam terakhir Ramadan, suatu tempoh yang dimuliakan oleh umat Islam kerana kehadiran Laylat al-Qadr, malam yang dipercayai dipenuhi rahmat ilahi dan makbulnya doa.

Dengan menggabungkan isu politik kontemporari, memori kolektif peristiwa asas dalam sejarah Islam, serta perlambangan kerohanian yang berkait dengan malam-malam akhir Ramadan, Khomeini memberikan Hari al-Quds suatu watak mobilisasi yang kuat. Dalam konfigurasi ini, sambutan Hari al-Quds melangkaui protes politik, sebaliknya menjadi suatu ekspresi solidariti yang diritualkan dan sarat dengan makna simbolik yang secara retoriknya mampu menzahirkan penentangan terhadap kuasa-kuasa yang dianggap sebagai musuh, khususnya Amerika Syarikat dan Israel.

Pendekatan doktrinal ini mencetuskan kerjasama berterusan antara rangkaian Syiah transnasional dengan gerakan penentangan Palestin, pada peringkat awal melalui Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), dan kemudian melalui Hamas di Palestin serta Hezbollah di Lubnan.

Sehubungan itu, tidak menghairankan dalam mana-mana rundingan diplomatik di mana kuasa Barat menuntut Iran mengurangkan sokongan kewangan atau strategik terhadap gerakan-gerakan tersebut, hampir pasti tuntutan sedemikian ditolak. Malah khabarnya Iran menjadikan syarat agar Israel kembali ke garis sempadan sebelum 7 Oktober sebagai syarat mengalah atau gencatan senjata.

Di Malaysia, keikhlasan kita dalam memperjuangkan Palestin sebenarnya teruji setiap kali Hari al-Quds. Ini kerana memandangkan ia jatuh pada hari Jumaat terakhir Ramadan, ia juga selalunya tenggelam karam dek persiapan sambutan hari raya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.