Permohonan penilaian kesan alam sekitar bagi projek itu tidak ditolak dan masih berada dalam proses semakan standard Jabatan Alam Sekitar.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir, berkata bertentangan spekulasi yang tular, permohonan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi projek itu tidak ditolak dan masih berada dalam proses semakan standard JAS.
Katanya, maklum balas rasmi daripada JAS serta Environmental Impact Assessment Technical Review Committee (EIATRC) setakat ini tidak menunjukkan sebarang kebimbangan asas berkaitan reka bentuk cadangan projek atau kesesuaian lokasi pembangunan.
“Semakan pentadbiran yang sedang dilaksanakan merupakan sebahagian daripada proses kawal selia biasa bagi projek infrastruktur berskala besar.
“Sebahagian besar proses ini melibatkan penambahbaikan dokumentasi dan penyusunan maklum balas daripada sesi libat urus awam yang telah dilaksanakan sepanjang dua tahun lalu, yang menerima lebih 12,000 maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, cadangan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah adalah komponen penting dalam strategi jangka panjang Selangor untuk memodenkan sistem pengurusan sisa pepejal serta mengurangkan kebergantungan terhadap kapasiti tapak pelupusan sisa yang semakin terhad.
“Melalui penggunaan teknologi Waste-to-Energy (WtE) yang telah terbukti dan digunakan secara meluas di peringkat global sebagai kaedah selamat, terkawal dan mampan dalam pengurusan sisa pepejal, kemudahan ini berpotensi menjana tenaga boleh diperbaharui di samping menguruskan sisa domestik secara lebih cekap.
“Apabila beroperasi kelak, loji ini akan dilengkapi dengan sistem kawalan pelepasan yang ketat serta pemantauan alam sekitar secara berterusan bagi memastikan perlindungan kesihatan awam dan kelestarian ekosistem di kawasan sekitarnya sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurutnya, KDEBWM komited terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, pakar teknikal serta masyarakat dalam memastikan pembangunan penyelesaian pengurusan sisa yang mampan dan berdaya tahan untuk Selangor dalam jangka panjang. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.