`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, March 5, 2026

Shah Mat Trump, Khamenei telah menang

 Semua jalan keluar untuk AS tertutup. Trump fikir dia berjaya dengan membunuh Khamenei. Dia salah. Dalam Syiah, kesyahidan adalah rukun hidup dan agama mereka.

faisal tehrani

Semalam, Senator Elizabeth Warren dari Massachusetts, Amerika Syarikat pulang dari satu taklimat tertutup di Rumah Putih untuk mendapat penerangan jelas mengenai apa yang berlaku di Asia Barat dan bagaimana AS akan menghadapinya. Sepulang dari taklimat rahsia itu, beliau merakam satu video pendek di pejabatnya dan mengepos bahan tersebut ke platform X. Warren dalam video itu memberitahu, AS iaitu Donald Trump nampaknya tiada sebarang pelan dan strategi keluar dari perang ini dan apa yang disangkakan permulaan yang buruk untuk AS sebenarnya adalah lebih teruk dan dahsyat.

Pembunuhan beratus orang kanak-kanak sekolah rendah di Minab, Iran bersekali dengan pembunuhan terhadap pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei mencetuskan perang serantau saat ini. AS dan negara Teluk sedang menggelupur saat ini. Jika perang ini berterusan, bukan sahaja mereka akan kerugian, mereka juga akan berdepan kehancuran.

Bagaimana Profesor Jiang Xueqin, sejarawan Kanada-China yang memperkenalkan ‘predictive history’ membaca keadaan sekarang? Beliau menggunakan sejarah peradaban dan pendekatan geostrategi untuk membaca masa depan, dan ramalan beliau dalam tahun 2024 bahawa Donald Trump akan kembali dan perang akan berlaku antara AS-Israel dengan Iran, nampaknya betul terjadi.

Bagaimana pula beliau membaca keadaan sekarang? Saya fikir dapatan beliau itu sedikit lebih kurang dengan dapatan Elizabeth Warren. AS tiada jalan keluar setelah termasuk dalam kancah bahaya ini.

Negara Teluk menurut Jiang akan runtuh bersama. Bahrain, UAE/Dubai-Abu Dhabi, Qatar, Kuwait, Arab Saudi semuanya adalah negara palsu, tanpa sejarah, tiada tradisi intelektual bahkan dicipta kuasa kolonial. Ia adalah negara atas minyak dan gas asli iaitu ‘artificial petro-states’ yang dibina atas pasir. Makanan, dan air bersihnya datang dari luar, diimport. Padang gersang ditukar menjadi kondominium dan bangunan tinggi, mereka yang menghuninya adalah ekspatriat dan rakyatnya yang sedikit tiada langsung semangat melawan. Buruh di sini semua dari India, Pakistan, Bangladesh dan Filipina.

Ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan Iran, yang bukan sahaja besar malah bergunung-ganang, tanah pamah subur, sejarah yang lama dan peradaban ribuan tahun dengan tradisi intelektual yang kaya; Iran adalah negara yang ‘real’. Rakyatnya majoriti Syiah yang mana semangat melawan mereka adalah luar biasa. Sekatan ekonomi tidak melumpuhkan mereka kerana sebagai orang Islam mereka biasa berlapar waktu Ramadan, mengebom tidak mematikan mereka kerana mereka adalah Syiah yang terbiasa ditindas, dibunuh dan menjadikan syahid sebagai matlamat. Iran juga punya Selat Hormuz, laluan strategik untuk pelayaran kapal, tempat lalu-lalang 20% minyak sejagat.

Kekuatan senjata Iran juga tidak akan dapat dialahkan. Dron Iran dicipta murah, mereka tiada alatan canggih kerana ekonomi disekat. Sebutir peluru berpandu AS dan penampannya pula memakan harga juta dolar. Iran dikatakan punya lebih 450,000 senjata dron dan peluru berpandu yang mereka bikin setiap hari sejak 1980-an. Simpanan senjata mereka berlambak. Ia tidak habis. Satu dron Iran yang mengena akan menyebabkan negara Teluk huru-hara, mengganggu bekalan air bersih, internet (justeru perbankan) dan tentu sahaja lapangan terbangnya. Kalau tidak kena pun tak apa, sebab murah.

Di Lapangan Terbang Doha sahaja sudah lebih 8,000 orang dari seluruh dunia terperangkap tidak boleh pulang. Dubai sedang mengalami hal yang sama. Dari segi masa depan ekonomi, pelabur tidak akan muncul kembali, dan semua kegirangan di sana akan berakhir. Jiang juga meramalkan keruntuhan kerajaan monarki negara Teluk yang selama ini menjadi sekutu kuasa imperialis. Bahrain, sebuah negara baru yang diperintah pendatang akan jatuh kerana rakyat tempatannya yang majoriti adalah bermazhab Syiah.

Semua penganut Syiah Imamiyyah sedang marah kerana Rahbar iaitu pemimpin spiritual mereka, Khamenei dibunuh. Mazhab Syiah berbeza dengan Sunni, Rahbar mempunyai posisi politik dan rohani. As-Syahid Ali Khamenei adalah rujukan fikah dan spiritual mereka. Kita Sunni tiada seorang pemimpin besar. Jadi kita bercempera. Rahbar berperanan menyatukan. Sebagai bandingan, membunuh Pope untuk masyarakat Katolik pasti mengundang kemarahan Vatican. Akan tetapi itulah yang telah berlaku, seluruh dunia masyarakat Syiah sedang marah.

Gerakan Wahabi sedar mereka juga akan turut tenggelam dalam permainan ini. Maka untuk menyelamatkan diri, mereka mulai kembali berkempen memburukkan mazhab Syiah, lihat sahaja kempen mengkafirkan Syiah telah kembali semula. Mereka berusaha keras mencipta macam-macam fitnah, kononnya pernah belajar di Iran dan Iran itu membenci Ahlus Sunnah dan lain. Bukan sahaja taktik ini lemah dan menyedihkan, tetapi ia malah ditertawakan. Hatta Mufti Menk dengan pengikut 10 juta orang di X sedang diserang kerana memuat naik satu pos motivasi mengenai iri hati akan kejayaan orang. Seolah-olah Menk ini tuli dengan apa yang sedang menimpa umat.

Tetapi pada masa sama, ramai Sunni, dan malah umat bukan Islam sedang melihat pengaruh dan kenekadan Syiah. Mereka sedang tertarik, dan kalaupun penganut Sunni ini tidak menukar mazhab menjadi Syiah, ia akan mendorong kepada perpaduan mazhab yang sangat ditakuti Barat. Jika Sunni dan Syiah bergabung, makanya permainan Zionis akan menemui jalan buntu. Satu lagi kebodohan Trump ialah apabila tenteranya mengebom bandar dan kota di Iran. Penghuni kota dan bandar inilah pusat gerakan anti-Ali Khamenei. Sekarang mereka ini sedang dibunuh. Manakala, di kawasan desa dan pedalaman yang menjadi dasar dan tunjang Khamenei pula, sokongan kekal dan merebak. Meskipun Mossad dan CIA akan menggerakkan kumpulan Kurdish di Iran untuk melakukan onar, ia tetap sukar dilakukan. Ia hanya berupa langau biasa yang boleh diuruskan.

Setelah pembunuhan Khamenei, Iran serta-merta melakukan desentralisasi kuasa. Kini, ada banyak pihak yang boleh membuat keputusan langsung berpandukan akidah mereka. Ia sukar dihentikan. Dalam satu temuramah televisyen, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menyatakan, nasi sudah menjadi bubur. Kesyahidan Khamenei menyebabkan wewenang terselerak dan boleh dimanfaatkan oleh kumpulan tertentu seperti katakan tentera. Maka tentera yang berdisiplin dan mendambakan syahid tidak akan mengalah berundur. Tiada lagi kuasa politik atau seorang ketua berpengaruh yang menahankan apa perlu dilakukan. Dalam erti kata lain perang tidak akan berakhir mudah.

Strategi perang Iran memberi perhatian kepada pembinaan dron dan peluru berpandu. AS pula memberi perhatian kepada kemajuan tentera udara, kerana itulah yang biasa mereka lakukan, mengebom dari jauh kemudian turun padang dan menguasai. Di Iran itu tidak mudah dilakukan. Negaranya besar, dan orangnya berani. Sejak Khamenei terbunuh, berjuta rakyat Iran keluar ke dataran dan jalan raya dan tidak pulang ke rumah. Bayangkan orang kita beramai turun ke Dataran Merdeka misalnya dan enggan pulang rumah. Kelihatan seperti mereka menadah kematian, tetapi itu bila dilakukan secara kolektif adalah satu cabaran, satu perpaduan, satu kenekadan; dan dalam perang ketakutan awal adalah satu kekalahan. Tetapi nampaknya rakyat Iran tidak takut, dan itu tanda menang.

Ada satu terma ketika permainan catur; ‘checkmate’. Ia disebut apabila pemain catur berjaya menguasai permainan dan menamatkannya. Tidak ramai orang tahu istilah ‘checkmate’ berasal dari bahasa Parsi, Shah Mat. Shah itu raja, mat itu binasa. Orang Iran suka bermain catur. Mereka boleh duduk berjam di taman bermain catur. Catur adalah permainan yang memerlukan fokus, dan kesabaran tinggi. Iran sudah terbiasa dengan itu.

Semua jalan keluar untuk AS telah tertutup. Trump fikir dia telah berjaya dengan membunuh Khamenei. Dia salah. Dalam Syiah, kesyahidan adalah rukun hidup dan agama mereka. Khamenei sudah 86 tahun. Semua sahabatnya telah tiada. Dia sangat bimbang mati dalam keadaan demam. Dia memang mahu mati begini. Mati berjuang. Mati syahid.

Dan ia menjadi satu pertunjukan dan teladan yang hebat. Dengan syahid dia bukan mati, malah terus hidup untuk beberapa abad lagi. Wang dolar mengalir sepanjang perang ini. AS merasakan ia akan berakhir segera. Tetapi mereka lupa bahawa perang adalah seni catur yang memerlukan ketabahan, bukan ketergesaan. Shah Mat. Betul-betul Shah Mat. - FMT

 Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.