Selama ini ramai lihat Ahmad Samsuri Mokhtar lembut orangnya. Boleh tahan garang Dr Sam rupanya.

Boleh tahan garang Dr Sam rupanya. Selama ini ramai lihat Ahmad Samsuri Mokhtar, si pengerusi Perikatan Nasional lembut orangnya. “Gaya bicaranya tenang dan diplomasi tinggi,” menurut seorang pemerhati politik.
Mungkin sekarang semua kena reassess pendapat masing-masing terutama setelah melihat reaksi Samsuri terhadap kenyataan Muhyiddin Yassin tempoh hari mengenai pengerusi PN dan poster boy PN. “Samsuri dah tunjuk belang pada Muhyiddin, bro,” kata kawan lama saya yang minat politik.
Walaupun umum dah tahu apa kata Samsuri dan apa kata Muhyiddin, saya ulangi juga untuk konteks penulisan ini bermula dengan Muhyiddin. Kata presiden Bersatu itu, pelantikan Samsuri sebagai pengerusi tidak bermakna beliau secara automatik akan diangkat sebagai calon perdana menteri bagi gabungan itu.
Ada lagi. Menurutnya, pelantikan jawatan tertinggi PN dan penentuan calon “nakhoda kerajaan bagi PRU16 adalah dua perkara berbeza”.
Selama ini persepsi umum atau ramai difahamkan pengerusi PN juga poster boy PN apabila pilihan raya diadakan. Menurut Muhyiddin, setakat ini komponen PN belum memulakan sebarang perbincangan rasmi mengenai calon PM untuk PN.
Ini reaksi Samsuri yang diluah menerusi Facebook: “Saya mendapat banyak pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Muhyiddin Yassin bahawa ‘Dr Sam adalah pengerusi PN dan bukan calon PM’. Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan PN dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.”
Kata-kata yang konsisten dengan gaya dan cara yang umum kaitkan dengan beliau, tetapi Dr Sam mengakhiri kenyataan dengan apa yang saya sifatkan sebagai a big blow to Muhyiddin, apabila berkata: “Yang pasti TSMY (Muhyiddin) juga bukan lagi calon PM”.
Itu sekali gus tutup ketat apa jua impian, harapan atau peluang Muhyiddin untuk jadi perdana menteri kali kedua, jika itu yang beliau idamkan.
Adakah Samsuri bercakap atas kapasiti pengerusi gabungan atau pandangan peribadi? Yang jelas beliau tidak senang dengan kata-kata Muhyiddin.
Untuk berlaku adil kepada Muhyiddin, perlu dinyatakan orang pertama bercakap senada itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man, timbalan presiden parti Samsuri.
Imbau laporan media 24 Februari lalu. Tuan Ibrahim dipetik berkata pelantikan Samsuri sebagai pengerusi PN bukan bermatlamat untuk dijadikan poster boy sekali gus calon perdana menteri, sebaliknya untuk memperkasa PN dengan membina semula kekuatan akar umbi.
Menurut Tuan Ibrahim, ketika nama Samsuri dicalonkan PAS sebagai pengerusi, pertimbangannya tidak melibatkan beliau jadi calon PM.
“Pengerusi PN perlu diisi terlebih dahulu dan semua komponen PN telah menerima beliau. Buat masa ini kami fokus untuk memperkasakan PN di seluruh negara. Soal poster boy untuk calon perdana menteri itu bukan pertimbangan PAS,” Tuan Ibrahim dipetik berkata.
Jadi maksudnya apa? Samsuri sekadar untuk beri imej kepelbagaian dan moderat kepada wajah keras PN untuk memikat pengundi bukan Melayu khususnya — itu sahaja?
Bukan mahu menuduh tetapi I cant help but wonder adakah ini berkaitan ketidaksenangan geng ustaz dalam PAS terhadap pelantikan Samsuri?
Atau mungkinkah ada kaitan dengan sesuatu yang kita semua tidak tahu berhubung peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu?
Paling penting — adakah Samsuri tahu atau sudah dimaklumkan bahawa pengerusi PN bukan automatik poster boy PN?
Imbau 2 Disember 2023. Pilihan Raya Kecil Kemaman. Samsuri calon PN pada PRK itu. Pada satu sidang media waktu berkempen, diadakan pada 27 November 2023, Muhyiddin selaku pengerusi PN tidak menafikan pencalonan Samsuri dalam PRK Kemaman adalah langkah mengetengahkan beliau sebagai calon perdana menteri masa depan.
Ini kata Muhyiddin langkah strategik PN sekali gus beri gambaran gabungan itu punya ramai tokoh untuk diketengahkan. Itu kata Muhyiddin pada 2023. Dulu lain sekarang lain, obviously. Akan tetapi Tuan Ibrahim agak konsisten. Laporan Malaysiakini 5 Disember 2023, empat hari setelah Samsuri menang PRK Kemaman, memetik Tuan Ibrahim sebagai berkata kenyataan Muhyiddin mengenai Samsuri jadi calon PM masa depan sekadar cara pembangkang melihat sokongan pengundi.
Tuan Ibrahim dilapor berkata, “perkara itu disebut Muhyiddin dalam kempen, itu hasrat (Muhyiddin) untuk melihat sokongan (kepada PN) sajalah.”
Kata beliau lagi, “soal siapa jadi PM ramai dalam parti yang ada kemampuan. Cuma peluang tidak pernah diberikan”. Saya tidak bercadang ulas apa yang Tuan Ibrahim cakap tiga tahun lalu.
Berbalik tahun ini, berdasarkan reaksi Samsuri ke atas kenyataan Muhyiddin, bolehkah disimpulkan Samsuri berminat jadi poster boy PN pada PRU akan datang?
Sudahkah beliau dimaklumkan oleh pimpinan tertinggi bahawa beliau akan dijadikan calan PM untuk PN, atau paling tidak diberi impression ke arah itu?
Saya rujuk artikel tulisan Amin Ishak, pengarang Meja Berita Bahasa Malaysia FMT bertajuk ‘Kerusi Muhyiddin yang telepas, dipertahan dan ingin diduduki lagi’.
Amin menyimpulkan bahawa oleh kerana dalam politik, semua tidak mustahil dan Muhyiddin pula mahir selok-belok politik, mungkinkah dengan harapan itu beliau masih mahu duduk kerusi perdana menteri sekali lagi?
Kata kawan saya: “jangan berlunjur dulu sebelum duduk, kata orang tua-tua”. Saya kira kata-kata itu si kawan tujukan pada Samsuri dan Muhyiddin. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.