Mazlan Ali kata Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin mempunyai reputasi dan banyak menyumbang kepada parti.

Mazlan Ali berpandangan tokoh seperti bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, dan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, sememangnya mempunyai reputasi dan banyak menyumbang kepada parti.
“Tidak salah pemimpin seperti Hishammuddin dan Khairy diberi sedikit keistimewaan sebagai langkah menghormati dan menghargai mereka,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia itu kepada FMT.
“Umno boleh bagi kredit kepada mereka ini dalam bentuk penghormatan… cuma tidak sampai kepada Umno perlu merayu kepada mereka ini.”
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata tidak memberikan layanan istimewa wajar untuk kestabilan parti menjelang PRU16.
“Pendekatan itu boleh mewujudkan situasi ‘menang-menang’ dan pada masa sama meredakan ketegangan dalam parti,” katanya.
Susulan pengumuman Presiden Umno Zahid Hamidi membuka pintu tanpa syarat kepada bekas ahli dan ahli digantung, beberapa pemimpin akar umbi menegaskan mereka yang mahu kembali supaya tidak mengharapkan layanan istimewa.
Setiausaha Umno Johor, Abdul Halim Suleiman, berkata pihaknya tidak akan sediakan ‘karpet merah’ atau memujuk mereka.
Ketua Umno Tampin, Isam Isa, pula meminta bekas pemimpin yang ingin sertai semula tidak meletakkan sebarang syarat, mengatakan langkah berkenaan seharusnya bukan didorong oleh jawatan.
Kelmarin, Hishammuddin berkata beliau akan ‘kembali’ berjuang dalam Umno sekiranya pucuk pimpinan menarik balik penggantungannya.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun, pada 2023.
Sementara itu, Khairy yang dipecat memberi maklum balas positif, dan menyatakan kesediaan menghantar permohonan menyertai Umno. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.