Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Nik Dir Nik Wan Ku beri amaran Amanah perlu pastikan ia ada jentera dan sokongan yang kuat.

Timbalan Pengerusinya, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, jika Pakatan Harapan (PH) termasuk Amanah merasakan mereka mempunyai kekuatan jentera dan sokongan yang kuat untuk memenangi mana-mana kerusi, mereka boleh bertanding di kawasan tersebut.
“Dalam konteks kerjasama Barisan Nasional (BN)-PH jika ia berlaku pada PRU16, kita tak ada masalah untuk Amanah, PKR mahu bertanding di kerusi mana-mana pun.
“Kalau PH yakin boleh menang tak ada masalah nak tanding termasuk di Kemaman, kita pun bukan tamak kerusi dalam keadaan (tahap sokongan Umno) sekarang ini,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Amanah Terengganu Zamir Ghazali yang yakin mampu mencabar Samsuri di Parlimen Kemaman ‘susulan kejayaan’ mengekalkan deposit apabila bertanding di kubu kuat PAS.
Zamir merujuk ‘pencapaiannya’ meraih 6,099 undi pada pertembungan dengan Khalil Hadi, iaitu anak Presiden PAS Hadi Awang di DUN Batu Buruk yang menang dengan majoriti 17,668 undi pada PRN 2023.
Bagaimanapun, Nik Dir beri peringatan kepada PH supaya cermin diri dan melihat kemampuan gabungan itu di Terengganu sebelum memutuskan untuk bertanding di mana-mana kerusi.
Katanya, melihat kepada pencapaian lalu, tahap sokongan PH lebih lemah berbanding Umno kerana gabungan itu tidak mempunyai akar umbi yang kuat selain jumlah ahli yang rendah.
“Umno BN sebelum letak calon kita tengok kekuatan kita, jumlah ahli dan jentera kita, tapi PH yang tak ada kekuatan akar umbi awal-awal lagi susahlah (nak menang).
“Jika dibandingkan kekuatan akar umbi BN dan PH, BN lebih kuat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada PH supaya fokus kepada kekuatan sokongan akar umbi terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk bertanding mana-mana kerusi di negeri itu.
Pada PRK Kemaman pada 2023, Samsuri yang membawa cabaran PN dan PAS menang dengan majoriti 37,220, menewaskan bekas panglima angkatan tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada BN.
BN masih belum mampu tawan Terengganu
Sementara itu, Nik Dir mengakui dengan kekuatan semasa Umno di Terengganu, gabungan itu masih belum mampu menawan kembali negeri itu.
Katanya, menyedari hakikat itu Umno memberi fokus di empat kawasan parlimen iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman sebagai persediaan berdepan PRU16.
“Manakala untuk DUN pula, setakat ini kita lihat kekuatan yang ada Umno berpotensi menang dalam tujuh, lapan kerusi sahaja. Itu sasaran kita,” katanya.
Pada PRN Terengganu 2023, PN diketuai PAS menang semua 32 kerusi DUN selain menyapu bersih lapan Parlimen setahun sebelumnya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.