Polis berkata sindiket itu dipercayai menjadikan rumah teres sebagai stor penyimpanan rokok seludup sebelum mengedarkannya.

Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Zaki Ashar, berkata lima suspek berusia 30 hingga 40-an, termasuk seorang penyelia ditahan.
“Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam disimpan di beberapa bahagian premis, termasuk ruang tamu, bilik utama, bilik kedua, ruang stor dan rehat.
“Semua rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan diedarkan ke luar negara,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, sebanyak 5,111 karton rokok pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah RM1.02 juta dirampas, dengan keseluruhan nilai termasuk cukai dianggarkan mencecah RM1.28 juta.
Katanya, sindiket itu dipercayai menjadikan rumah teres sebagai stor penyimpanan sebelum mengedarkan rokok terbabit.
“Operasi ini berjaya mematahkan rangkaian sindiket penyimpanan, pengedaran dan penjualan rokok tanpa cukai kastam di sekitar Lembah Klang,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.