Pengerusi Mara berkata tindakan sekolah itu sebagai tak wajar dan tak berperikemanusiaan.

Beliau yang juga setiausaha agung Umno menegaskan tindakan pihak sekolah itu sebagai tidak wajar dan tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, pendekatan sedemikian tidak mencerminkan nilai ihsan serta pertimbangan akal yang sepatutnya menjadi asas dalam sistem pendidikan negara.
“Tidak perlulah sampai duit dan sijil kecemerlangan ditahan kerana tunggakan yuran PIBG.
“Hidup ini kena ada nilai ihsan dan kemunasabahan pertimbangan akal, barulah semua hidup dalam berkat dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan seorang pelajar cemerlang tidak menerima pengiktirafan sewajarnya ketika majlis penyampaian anugerah di sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan.
Menurut perkongsian seorang pengguna TikTok, pelajar berkenaan yang memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya menerima sampul kosong tanpa sijil rasmi.
Malah, wang ganjaran berjumlah RM250 yang sepatutnya diberikan kepada pelajar itu juga didakwa ditahan sementara oleh pihak sekolah kerana isu tunggakan yuran PIBG.
Perkongsian tersebut mencetuskan reaksi pelbagai pihak yang mempersoalkan kewajaran tindakan berkenaan, khususnya apabila melibatkan pelajar cemerlang yang sepatutnya diraikan atas pencapaian akademik mereka.
Bagaimanapun, semakan FMT mendapati video berkenaan telah dipadam daripada platform tersebut. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.