`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, April 7, 2026

Catatan peribadi buat sahabat

 Wartawan alam sekitar terkenal Karam Singh Walia meninggal dunia semalam.

Mohsin Abdullah

Saya tidak berkesempatan memberi penghormatan terkahir kepada mendiang Karam Singh Walia. Tidak perlu saya huraikan mengapa. Saya akui kesal dan kesesalan itu akan saya bawa sampai bila-bila.

Saya juga tidak berkesempatan menziarahinya semasa hayatnya meskipun membuat rancangan berulang-kali. Rancangan tinggal rancangan. Ini juga sesalan yang akan saya pikul sentiasa.

Memang saya tersentak apabila menerima pesanan WhatsApp semalam daripada Jasbant Singh adiknya: “Mok, Karam passed away early this morning”.

Hanya minggu lalu Jasbant, saya dan beberapa kawan lain bercakap mengenai Karam. Mengenai kesihatannya yang ‘not too good’. Ketika itu berkata saya dalam hati – ‘mesti pergi tengok dia soon’. Hasrat tidak sampai. Seperti dikatakan tadi rancangan hanya tinggal rancangan.

Apa pun Karam dengan saya sering juga ‘berWhatsApp’ bertukar-tukar bahan lawak. Selalunya saya hantar kepadanya klip video lagu Hindi dan mendiang akan komen. Apabila saya hantar video mengenai ketangkasan pemain Sikh di gelanggang hoki, mendiang beri respons ‘don’t play2 with a Singh and his hockey stick’. Namun, 12 Mac lalu apabila saya hantar klip video terbaru Shah Rukh Khan menari di atas pentas tiada komen daripadanya.

Saya kenal Karam melalui Jasbant yang sememangnya kawan rapat saya. Kami berkawan sejak 1980-an ketika kami bertugas di agensi berita Bernama. Semasa Karam masih menuntut di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Jasbant sudah bekerja di TV3. Begitu juga saya.

Setiap Ahad yakni selepas ‘weekend break’ Karam akan singggah ke bilik berita TV3 di Jalan Liku Bangsar untuk menemui adiknya sebelum pergi menyambung ‘perjuangan’ di Serdang. Ini awal 1990-an.

Di situ saya diperkenalkan kepadanya, dan persahabatan kami terjalin berikutan pertemuan hampir setiap Ahad. Berbual-bual kosong, bergurau dan berjenaka.

Tidak lama kemudian Karam menyertai Jabatan Berita TV3. Jasbant ketika itu sudah ‘resign’ untuk kerja di organisasi lain. Di TV3 Karam mengukir nama sebagai wartawan unggul khususnya dengan liputan mengenai isu alam sekitar dan masalah rakyat. Tidak perlu saya ulang apa yang ramai sudah tulis akan kehebatannya terutama sehari dua ini setelah Karam meninggal dunia.

Namun, semasa hayatnya Karam memang dipuji. Cuma ingin saya nyatakan dalam pujian ada yang iri hati dan cemburu, termasuk dalam kalangan orang yang kami anggap kawan. Ini malangnya ‘a very unfortunate’ kelaziman dalam kalangan manusia.

Ada yang lempar tuduhan terhadapnya. Lebih tepat fitnah yang tidak ingin saya huraikan. Bukan Karam tidak tahu ini semua. Reaksinya ‘simple’, senyum dan ‘move on’. Terus buat kerja.

Sebelum menjadi wartawan, Karam pernah bertugas sebagai guru. Antara pelajarnya kata mendiang kepada saya semasa kami pada sesi borak-borak dulu Fauziah Latiff penyanyi popular tanah air.

Karam suka hoki. Pernah bermain bersama Jasbant dan kawan-kawan di padang Teluk Intan pada zaman mereka di bangku sekolah. Dan mendiang pernah menjadi jurulatih pasukan di sekolah ketika bertugas sebagai pendidik.

Mendiang bangga pasukan Sekolah Kebangsaan Serdang yang dilatihnya menjadi juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia pada 1994. Lebih membanggakannya pemain yang dibimbing semuanya budak Melayu yang tinggal di kawasan pinggir bandar yang sebelum ini tidak kenal hoki.

Setiap kali Karam menceritakan pencapaian ini (banyak kali juga mendiang cerita kepada saya) wajahnya memaparkan kebanggaan.

Pada 1995 anak saya Afiq yang waktu itu berusia enam tahun diserang demam denggi. Keadaan membimbangkan. Antara keadah perubatan yang dijalankan Dr Gwen Smith yang merawatnya ialah membuat ‘transfusion’ atau memasukkan apa yang dipanggil platelet darah ke dalam saluran darah anak saya.

Platelet darah atau trombosit ialah serpihan kecil yang tidak berwarna dalam darah. Ia penting untuk pembekuan darah dan penyembuhan luka. Platelet bertindak sebagai ‘pembalut semula jadi’ untuk menghentikan pendarahan.

Saya tidak ingat berapa beg platelet digunakan untuk anak saya. Yang saya ingat ia berkesan. Afiq sembuh dan pulih sepenuhnya. Alhamdulillah.

Mengikut peraturan hospital, pihak yang menerima atau menggunakan platelet mesti ‘menggantinya’ dengan menderma darah. Setahu saya daripada darah, ‘platelet will be extracted’.

Saya juga tidak ingat berapa pint yang diperlukan. Tampil Karam. Menawarkan diri secara sukarela untuk menderma darah supaya darahnya diberi untuk menggantikan platelet yang digunakan untuk anak saya.

‘I cant thank him enough’. Dan sumbangan itu saya dan keluarga tidak pernah lupa dan kami bawa selama-lamanya. Tanda penghargaan kami kepada mendiang.

Anak saya Afiq sekarang sudah berusia 37 tahun. Namun, beliau tidak ada di Kuala Lumpur semasa Karam pergi meninggalkan kita. Lalu Afiq seperti saya tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Tidak seperti Karam, saya tidak pandai mencipta pantun. Lantas tiada pantun yang dapat saya persembahkan untuk mengiringi pemergiannya. Yang mampu saya lakukan sekadar berkata ‘good bye dear friend. May you rest in peace’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.