`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, April 7, 2026

Generasi ‘art ringan’

 Apakah hari ini mereka tak larat memikirkan hal-hal serius? Kerana dunia hari ini segera tersedia.

ronasina

Apabila keputusan SPM keluar minggu lalu, saya teringat zaman saya dan memikirkan zaman anak remaja hari ini. Oleh kerana saya sudah tiada anak lagi, maka saya tak tahu apa anak remaja suka, kejar dan cari di zaman ini. Juga, apa dilema atau kepayahan mereka hari ini. Anak-anak perempuan saya jika pun masih hidup dan kini sudah berumur suku abad, keduanya OKU yang hanya terlantar. Keadaan itu pastinya tak akan dapat menjawab persoalan saya.

Bukan apa, saya teringat zaman generasi kami sebaik sahaja tamat SPM. Malah, sebelum keputusan SPM keluar pun kebanyakan kami semua sudah tinggalkan rumah untuk cari kerja. Itu ‘trend’ paling ‘cool’ waktu itu iaitu merantau cari peluang pekerjaan di Kuala Lumpur. Azam untuk merantau sudah tertanam semenjak Tingkatan 5 lagi. Kalau ada yang tak ke mana, hanya duduk menganggur di rumah selepas tamat Tingkatan 5 dikira sebagai anak manja dan lembik.

Lagu-lagu, komik dan filem juga selalu berkisar tentang anak muda pergi berhijrah ke Kuala Lumpur. Menyewa rumah bujang, naik bas mini pagi-pagi pergi kerja, bersuka-ria selepas waktu kerja – yang selalu ditonton di filem, itu semua membakar impian remaja kami. Amat ‘cool’ menjadi Mat KL. Pasar Budaya, Dayabumi, Kompleks Pertama dan Campbell yang sering didengar ketika di bangku sekolah memanggil-manggil kami untuk berpusat di situ.

‘Dari desa ku merantau
Ku memburu cita-cita
Walau apa rintangannya
Kucuba mencari bahagia’

Lagu Jamal Abdillah, Alleycats, Rahimah Rahim sering menyeru mengajak kami ke Kuala Lumpur. Watak ikonik si Bujang (lakonan M Nasir) dalam filem Kembara Seniman Jalanan menggambarkan anak muda zaman itu cuba mengabulkan cita-citanya di Kuala Lumpur. Lagu hari raya yang mengisahkan anak perantauan pulang beraya juga menyuntik semangat. Amat hebat di mata orang kampung agaknya apabila melihat kita berjalan pulang melalui celah-celah rumah dan ditegur oleh pak cik dan mak cik, “baru sampai dari KL ke?”. Seperti di dalam drama atau filem, di balik langsir jendela kita nampak anak gadis mereka mengintai. Saham kita anak bujang yang berani beradu nasib di kota besar tentunya melambung tinggi. Inilah perjuangan yang harus ditempuhi oleh anak muda angkatan kami.

Tahun 1990, dua minggu selepas SPM saya sudah angkat kaki ke Kuala Lumpur. Waktu ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah mencanangkan Wawasan 2020. Semua orang bercakap tentang Wawasan 2020. Seorang pak cik yang rumahnya sebaris dengan rumah saya pun menasihatkan kami untuk menyahut seruan kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju walaupun dia menyebutnya dengan istilah ‘yayasan 2020’. Janji, ada bunyi 2020!

Semenjak Tingkatan 4 dan 5 lagi, kami pelajar vokasional sudah menanam azam untuk mencari kerja di Lembah Klang. Industri kereta dan elektronik sedang rancak. Di Shah Alam ada kilang Proton Saga, tempat kami pelajar berjurusan automotif berangan untuk bekerja di situ di samping beberapa kilang pemasangan kereta dan motosikal lain yang turut juga menarik perhatian.

Sementara di Petaling Jaya dan Bangi, kilang elektronik ibarat cendawan tumbuh lepas hujan. Motorola, Hitachi, Sony bermain di bibir. Kawan-kawan di jurusan elektronik, yang pandai membaiki radio dan televisyen berangan untuk bekerja di sana. Semangat kami lebih terbakar ketika mengikuti rombongan sekolah ke kilang-kilang ini. Melihatkan suasana di dalam kilang membuatkan kami teruja. Alangkah seronoknya jika dapat bekerja di situ.

Iklan-iklan kerja kosong di kilang-kilang ini sering kami belek di surat khabar. Malaysia sedang maju, kata kami! Paling penting, masa depan kami untuk hidup menanggung keluarga dan mencari pasangan hidup berumahtangga dirasakan terjamin. Kami tak sabar untuk berjuang!

Akhirnya, kami semua dapat kerja. Kami bekerja sungguh-sungguh seolah akan berada di situ selama-lamanya. Tidak terfikir langsung tentang keputusan SPM yang bakal keluar. Tak kisah sangat bagaimana keputusannya kerana sudah dapat kerja. Percaturannya mudah, jika lulus dengan baik barulah difikirkan ke mana hendak dilanjutkan pelajaran. Politeknik, kolej, ITM (kini UiTM) atau universiti. Jika tidak baik, ‘Hey, jangan risau! Kita sudah ada kerja!’. Perjuangan cari kerja dah selesai. Kini kita ada perjuangan baru. Mencari harta dan mencari ‘makwe’ untuk dijadikan isteri.

Apabila berkumpul di masjid kampung selepas solat Aidilfitri, kami bercerita tentang kehidupan setahun selepas meninggalkan sekolah. Tentang kerja, syif atau makwe kilang. Tak kurang juga ada yang menayangkan motosikal RXZ baharu mereka. Masing-masing memuji-muji pencapaian masing-masing. Rambut panjang, kasut mahal, pakaian fesyen terkini adalah simbol kita sudah dewasa dan ada duit sendiri.

Apa yang saya ceritakan dengan panjang lebar di atas itu adalah azam dan perjuangan sebahagian anak muda generasi kami, misi utamanya adalah untuk melepaskan diri daripada tanggungan mak ayah. Mahu berdikari dan memulakan hidup sendiri sebagai orang dewasa.

Zaman terus berubah. Kepesatan pembangunan sangat pantas. Hari ini Menara Dayabumi dan Maybank yang suatu ketika dulu megah meninggi kini sudah ditewaskan oleh KL Tower, KLCC, Menara TRX dan lain-lain lagi. Hari ini generasi kami sudah masuk prapencen. Perjuangan mencari karier sudah lama berakhir, kini angkatan kami sedang perlahan-lahan hendak berlabuh. Pesta muda-mudi, lumba motor dan fesyen tinggal kenangan. Ramai sudah bergelar haji dan hajah. Keperitan dahulu kini menjadi bahan ketawa sahaja. Kini generasi baharu pula ambil alih kerusi-kerusi yang pernah kami duduki. Adat dunia begitulah!

Melihat hari ini, kemajuan telah menjalar ke seluruh negara. Di pekan-pekan kecil serata negeri juga telah wujud kilang-kilang, restoran dan kedai serbaneka francais menjadikan anak tempatan tak perlu lagi merantau mencari kerja. Masih boleh tinggal di rumah ibu bapa. Peluang pekerjaan di tempat sendiri banyak. Hidup semakin senang.

Peluang sambung belajar pun makin luas. Banyak pusat pengajian tinggi sama ada awam dan swasta, kolej-kolej sedia menyambut. Tempat merujuk pun banyak, abang-kakak dan pak cik-mak cik pun ramai yang boleh membimbing dan memberikan panduan ke mana nak pergi. Soal jodoh, lambat kahwin bukan lagi perkara yang sangat dirisaukan oleh orang tua zaman moden ini. Mereka beri kebebasan anak-anak membina kehidupan sendiri. Jadi, timbul persoalan di benak saya, apa dilema anak generasi hari ini dan apa perjuangan mereka?

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, saya tiada anak maka saya tak dapat memahami anak-anak generasi ini. Mak bapa saya dahulu cukup risau jika kami terjerumus ke lubang dadah kerana zaman kami zaman dadah berleluasa. Tidak sedikit kawan seangkatan kami mati ‘overdose’ atau dihinggapi kuman HIV. Hari ini, pengaruh dadah meskipun ada tapi tidak lagi menjadi musuh nombor satu. Habis tu, apa kesusahan anak muda ini? Apa dilema mereka? Saya terus bertanya.

Kata kawan saya seorang Gen Z, zaman ini anak-anak berperang dengan diri sendiri. Istilah depresi, sakit mental macam dah menjadi biasa. Menurutnya, ramai anak muda baya dirinya berdepan dengan kekacauan di dalam otak sendiri. Sungguh, saya sekali lagi tidak faham kerana saya tiada anak dewasa untuk membincangkannya. Apakah kerisauan kami dahulu sama sahaja dengan dilema yang membelenggu fikiran anak-anak muda sekarang cuma ketahanan menerima cabaran itu yang berbeza? Apakah generasi hari ini lembik?

Sejujurnya, saya tak berani menganggap mereka lembik dan manja. Tak adil memperkecilkan mereka sebegitu. Saya fikir, zaman mereka hari ini bentuk cabarannya lain. Cabaran kami, tak ada motosikal kami kerja cari duit dan dapatkan. Zaman ini, ibu bapa sudah sediakan. Mereka sudah ada semua itu, tak perlu fikir lagi. Telefon bimbit, komputer riba – semua sudah tersedia. Tak perlu susah lagi. Lalu mereka mencari apa lagi yang mereka perlu tapi mereka tak tahu hendak cari apa. Dahulu kita mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan. Hari ini mereka kekosongan walaupun sudah memiliki.

“Alamak! Itu ‘deep’ sangat tu, bang! Budak sekarang kata ‘Art berat’ bang,” kata kawan saya tadi.

Itulah dia yang saya maksudkan! ‘Art berat’. Apakah hari ini mereka tak larat memikirkan hal-hal serius? Kerana dunia hari ini segera tersedia. Makanan dan minuman segera, penghantaran segera, program realiti TV mencari artis dan selebriti agama segera, novel dan lagu yang ‘simple’ maka mereka sudah selesa hidup dengan idea yang ringkas dan mudah. Untuk melihat lebih serius, mereka tak tercapai. Timbullah istilah ‘art berat’ yang mula-mula sekadar ucapan, lama-lama menjadi satu alasan untuk tak bertindak.

Kalau apa yang dikatakan oleh kawan Gen Z saya tadi itu saya pakai, bermakna generasi kami pasti dinamakan ‘generasi art berat’ sementara mereka ‘generasi art ringan’. Gitu? Saya tak pasti, sebab saya sudah tidak ada anak lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.