`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, April 19, 2026

Hamzah umum parti baharu bulan depan, dakwa ada ratusan ribu ahli

 Bekas timbalan presiden Bersatu itu berkata perincian mengenai entiti itu masih dirahsiakan memandangkan nama rasmi parti belum dimuktamadkan.

HAMZAH ZAINUDIN
Hamzah Zainudin berkata pihaknya sedang giat berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi pastikan semua prosedur dipatuhi bagi mengelakkan sebarang isu teknikal atau perundangan pada masa hadapan.
PETALING JAYA:
 Bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin akan mengumumkan parti baharunya bulan depan, yang didakwanya sudah pun mempunyai kekuatan ratusan ribu ahli.

Hamzah berkata, perincian mengenai entiti itu masih dirahsiakan memandangkan nama rasmi parti berkenaan belum dimuktamadkan.

“Rumah baharu ini bakal mempunyai kekuatan besar dengan keahlian mencecah ratusan ribu orang,” katanya yang dipetik Harian Metro sebagai berkata di satu majlis rumah terbuka di Larut.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang giat berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi pastikan semua prosedur dipatuhi bagi mengelakkan sebarang isu teknikal atau perundangan pada masa hadapan.

Tambahnya, persediaan di peringkat akar umbi menunjukkan perkembangan positif di mana lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan.

Hamzah yang dipecat 13 Feb lalu daripada Bersatu telah memulakan gerakan ‘Reset’ dan dalam rancangan untuk mengetuai sebuah parti baharu.

Namun Ahli Parlimen Larut itu turut tidak menolak untuk menganggotai parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang selain Bersatu turut terdiri PAS, Gerakan dan MIPP.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang adalah ia berkaitan kedudukannya selepas dipecat daripada Bersatu sebelum ini.

Katanya, jawatan tersebut bukanlah hak mutlak mana-mana individu, sebaliknya bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen blok pembangkang yang terdiri daripada tiga kelompok utama iaitu PAS, Bersatu dan bebas.

“Ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok inilah yang akan menentukan siapa ketua pembangkang seterusnya sebelum parlimen bersidang,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.