`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Wednesday, July 1, 2026

Kancil dan babi

 Lazimnya apa yang diyakin betul dan ideal tidak sama dengan realiti politik.

Mohsin Abdullah

Mulanya Rafizi Ramli pertahan tindakan calon partinya, Boo Wei Han. Malah memuji Boo yang katanya berani membangkitkan isu mencabar yang benar-benar penting bagi pengundi. Saya setuju apa yang dikatakan beliau.

Boo ialah calon Bersama PRN Johor bagi kerusi Perling. Malam Ahad lalu, berucap pada satu ceramah (baca: berkempen), Boo menyentuh mengenai bantahan terhadap penternakan babi. Beliau mengetengahkan secara ringkas akan kesan terhadap penternak babi.

“Mereka sudah 30 tahun, 40 tahun bela babi. Ada orang matikah (kerana) tinggal sebelah (ladang) babi atau kena penyakit?” tanya Boo yang dilapor Malaysiakini. Katanya lagi: “Saya harap boleh ada U-turn”. Ini membawa maksud beliau berharap pengharaman ke atas ladang ternakan babi boleh ditarik balik atau dibatalkan.

“Saya pun kesianlah dia (penternak) semua hidup dua tiga generasi semua bela babi. Tiba-tiba kamu suruh dia tutup semua,” beliau dipetik berkata pada ucapan sulungnya.

Jelas beliau bercakap mengenai masalah mata pencarian atau sumber pendapatan penternak terjejas. Mengambil kira aspek ini memang ada logiknya. Pun begitu saya kira istilah ‘kamu’ dalam ungkapan “kamu suruh dia tutup semua” ditujukan atau membidas kerajaan negeri Selangor.

Semua orang tahu isu ladang babi ialah masalah di Selangor, padahal Boo bertanding pilihan raya di Johor. Mungkin beliau tidak mahu terikat dengan hanya isu Johor. Penternakan babi setahu saya bukan isu di Johor (Menurut Malaysiakini, Johor dikategorikan sebagai antara pengeluar utama babi di Semenanjung). Sebaliknya, Boo mahu bawa isu membabitkan rakyat walau di mana mereka berada. Ini bagus. Inilah yang Rafizi maksudkan “isu mencabar yang benar-benar penting bagi pengundi” yang dinyatakan pada permulaan penulisan ini. Bagaimanapun perlu dijelaskan larangan atau pengharaman ladang ternakan babi di Selangor adalah atas titah Sultan Selangor.

Sebelum bercakap lanjut isu babi, perlu dinyatakan juga Boo pada ceramah yang sama turut membangkitkan soal ketinggian bangunan rumah ibadat bukan Islam. Juga di Selangor. Beliau akui isu itu sudah selesai. Saya tak dapat elak tanya jika tahu ia sudah diatasi, why bring it up in the first place? Di Johor pula.

Berbalik soal babi yang disebut tadi. Semasa Rafizi memuji Boo kerana berani membawa isu penting membabitkan pengundi, beliau beritahu ada menerima teks pesanan ‘amaran’, atau menurut saya peringatan, bahawa potensi berlakunya tindak balas negatif. Tidak diberitahu siapa yang memberi ‘amaran’.

Bagi Rafizi inilah contoh terbaik mengapa beliau mahu rakyat biasa bertanding pilihan raya yakni mereka tidak menapis isu kehidupan demi kepentingan politik.

“Tadi yang cakap tadi (Boo) memanglah tak ada skrip. Saya tak tahulah keluar cerita ke tidak lepas ini (merujuk liputan media) tapi jawapan saya atas pentas akan sama dengan jawapan saya kalau saya ditanya media atau siapa-siapa,” kata beliau.

Menurut Rafizi, Bersama tidak menyediakan teks ucapan untuk calon mereka kerana beliau mahu mereka bercakap dari hati. Ertinya Ikhlas, honest from the heart, tak ada censor. Say what and how you feel.

Sehari kemudian Rafizi mengumumkan beliau sudah megeluarkan garis panduan kempen untuk semua 15 calon Bersama. Do’s and don’ts gamaknya. Apa boleh cakap, apa tak boleh cakap, apa boleh buat, apa tak boleh.

Malaysiakini memetik Rafizi berkata begini: “Saya datang ke sini ( Larkin ) malam ini (Isnin 29 Jun) dengan harapan perkara seperti malam tadi (Ahad 28 Jun) tidak akan berlaku lagi. Susah saya nak jawab nanti”. Merujuk ucapan Boo malam Ahad lalu.

Sememangnya Bersama dikecam keras oleh sesetengah orang Melayu kerana apa yang diucapkan oleh Boo. Tidak tergamak saya ulangi apa yang dilemparkan kepada Bersama. Ada grafik di media sosial yang memaparkan lambang baharu Bersama. Tidak perlulah saya perincikan Kancil diganti dengan apa.

Hakikatnya ‘amaran’ yang Rafizi kata beliau terima selepas ucapan Boo (yang beliau tidak hiraukan) menjadi kenyataan. Dengan adanya garis panduan kepada calon Bersama, adakah bermakna Rafizi mengaku calonnya sudah tersalah langkah? Juga dengan adanya do’s and don’ts, apa jadi dengan pendirian bahawa calon Bersama tidak perlu tapis-tapis dan mesti bercakap dari hati?

Melihat serangan ke atas Bersama melalui media sosial, Bersama kerugian undi Melayu. Namun sejak awal Bersama memang tahu sokongan untuknya ialah daripada sebilangan kecil Melayu ‘berfikiran terbuka’, yang ramainya daripada masyarakat bukan Melayu di kawasan bandar khususnya orang Cina. Namun oleh kerana Melayu majoriti di negara ini, semua parti politik termasuk yang multiracial mesti layan tuntutan Melayu. Like it or not that’s the reality.

Jelas apa yang diketengahkan oleh Boo Ahad lalu menjurus untuk dapat sokongan pengundi Cina. Begitu juga Rafizi ketika mempertahan Boo, sambil berkata isu ternakan babi memang dekat dengan hati pengundi Cina — “Kita tak suruh orang Melayu makan babi. Kita tak suruh pun semua orang meraikan, ‘jom kita makan babi’ ke. Kita tak suruh.”

Come to think of it, kata-kata Rafizi juga menyakiti sesetengah golongan orang Melayu dan Muslim bukan Melayu, seperti Ridhuan Tee.

Calon Bersama di PRN Johor rata-rata tidak pernah menjadi ahli parti politik dan ini kali pertama menyertai pilihan raya. Green horn tetapi saya tidak mahu label mereka naif. Cuma ingin saya nyatakan lazimnya apa yang diyakin betul dan ideal tidak sama dengan realiti politik.

Kata Rafizi, ahli politik tidak sepatutnya takut untuk menangani isu penting orang Melayu hanya kerana takut kehilangan undi masyarakat Cina. Tak kisahlah beliau perli siapa. Kata saya pula, dalam konteks yang sama ahli politik juga tidak sepatutnya takut tangani isu penting orang Cina hanya kerana takut hilang undi Melayu. Tak begitu? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.