`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Wednesday, July 1, 2026

Siapa jaga bukan Islam dan Bangsa Johor?

 Kempen ‘Jaga Johor’ PAS bercanggah dengan konsep Bangsa Johor yang meraikan sumbangan pelbagai kaum.

tajuddin

Presiden PAS Hadi Awang telah menyeru penyokongnya dan umat Melayu untuk ‘Jaga Johor’ dan mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam.

Ini adalah slogan dan kempen yang boleh merosakkan dasar dan prinsip negara Malaysia diasaskan.

Memang PAS dan Umno kini bersekongkol dalam ikhtiar menjadi kerajaan bersama. PAS kini nampak macam bergerak solo untuk menjadi kerajaan dengan Umno tanpa Bersatu, MIPP, Gerakan dan Pejuang.

PAS dilihat terkeluar dari mandat Perikatan Nasional (PN) dengan suara Hadi dan bukannya ‘pengerusi boneka’ Ahmad Samsuri Mokhtar.

Saya ada beberapa persoalan untuk PAS dengan slogan ini.

Soalan pertama saya bagaimana dengan 40.3% rakyat bukan Melayu dan bukan Islam di Johor? PAS sedarkah Johor bukan Kelantan atau Terengganu? Johor adalah umpama Malaysia yang mempunyai imbangan pelbagai kaum dan ugama.

Dengan melaungkan Melayu dan Islam, PAS telah mengingkari konsep dan citarasa lagu dan slogan muhibbah di Malaysia.

Saya harap pengundi semua yang bukan Melayu teliti betul-betul implikasi besar laungan slogan Jaga Johor bagi mengekalkan pemerintahan Melayu-Islam.

Soalan kedua, apa halnya pula dengan konsep Bangsa Johor yang selau disebutkan oleh kerabat Diraja Johor. Mungkin saya boleh sekolahkan Hadi Awang dengan kenyataan Sultan Johor dalam suatu terbitan media seperti berikut:

Menjawab soalan tentang teguran keras baginda terhadap kritikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai ‘Bangsa Johor’, Sultan Ibrahim bertitah, seseorang yang tidak tahu mengenai sejarah atau latar belakang sesuatu perkara, usahlah bercakap mengenainya.

Ketika menjawab soalan hadirin mengenai ‘Bangsa Johor’ pada satu majlis baru-baru ini, Dr Mahathir mengkritik perkara itu dengan berkata trend memberi penekanan tentang “kewarganegaraan negeri” boleh meruntuhkan perpaduan rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah, sejarah konsep ‘Bangsa Johor’ bermula pada kira-kira tahun 1920 apabila nenda baginda, Sultan Sir Ibrahim mendapatinya perlunya mensyukuri dan menyatukan pelbagai kaum yang sama-sama menyumbang ke arah pembukaan Johor.

“Orang Cina, India dan Jawa semuanya dipelawa menyertai orang Melayu pada sekitar tahun 1800 oleh ayahanda baginda, Sultan Sir Abu Bakar, dan nenda baginda, Temenggung Daeng Ibrahim, untuk mencari rezeki di Johor. Mereka bekerja keras memugar tanah dan membina Johor yang dipenuhi hutan belantara dan mempunyai jumlah penduduk yang amat kecil ketika itu,” titah baginda.

Saya tak perlu cakap banyak tentang perkara ini dan semoga Hadi boleh bersemuka dengan baginda Sultan untuk jelaskan sendiri prinsip Assabiyah pemerintahan yang diamalkan oleh PAS sekarang.

Soalan ketiga saya adalah apakah kini PAS bergerak solo dari PN. Sepatutnya strategi dan slogan perlu datang daripada Samsuri sebagai ‘boss PN’. Namun demikian yang kita dengar adalah daripada Tuan Ibrahim Tuan Man menyuruh penyokong PAS undi Umno dan Hadi yang berpesan untuk mengekalkan pemerintahan Melayu Islam.

Adakah ini bermakna PAS ‘menjual diri’ untuk menjadi kerajaan dengan Umno? Lantaklah Bersatu dan lantaklah MIPP, mungkin penyokong PAS akan mengundi Umno juga?

Soalan keempat adakah dengan melaungkan bahawa Umno dan PAS sebagai contoh terbaik politik Melayu-Islam, maka itu gabungan yang lain seperti Pakatan Harapan serta parti lain seperti Muda dan Parti Bersama Malaysia adalah anti Melayu-Islam. Adakah parti-parti lain sebagai ‘musuh’ dalam negeri Johor bagi orang Melayu-Islam? Is that it?

Akhir sekali adalah PAS yang dahulukala melaungkan politik Islam tanpa perasaan Assabiyah atau memenangkan kaum atau suku sendiri. Islam tidak kenal kaum cuma orang yang baik dari semua kaum. There is no racism of Arabism, Melayu-Islam or any other race based Islam. Islam adalah untuk semua manusia. Kalau nak laung, laungkan saja politik Islam dan bukan Melayu Islam.

Namun demikian Allahyarham Siddiq Fadzil, sebagai tokoh pejuang politik Islam menyebut tentang kepentingan kepelbagaian kaum dan juga perlantikan orang bukan Islam dalam pemerintahan Islam sendiri.

Saya, sebagai rakyat Malaysia, umat Islam dan pengundi di Skudai Johor berasa cukup tersinggung dengan kenyataan seorang tokoh yang dikatakan seorang ‘ulama’ Islam.

Bagi saya slogan dan laungan sebegini tiada tempat dalam mana-mana negeri sekalipun waima di Kelantan atau Terengganu kerana kita semua dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak kita semua rakyat Malaysia.

Saya akhiri dengan lirik lagu Malaysia berjaya dan dedikasinya untuk pengundi PAS semua:

Malaysia kita sudah berjaya
Aman makmur bahagia
Malaysia abadi selamanya
Berjaya dan berjaya

Berbagai kaum sudah berikrar
Menuju cita-cita
Satu bangsa satu negara

Malaysia berjaya

Dari Perlis sampailah ke Sabah
Kita sudah merdeka
Negara makmur rakyat mewah
Kita sudah berjaya

Dengan semboyan kita berjaya
Menuju di angkasa
Satu bangsa satu negara
Malaysia berjaya

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.