`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 14, 2019

CAMERON HIGHLANDS – ANTARA SIAPA BOLEH MENANG DAN SIAPA PATUT MENANG

Pertanyaan paling kerap didengar ketika ini ialah siapa boleh menang di Cameron Highland?
Secara umum, meskipun berdepan cabaran agak sengit, Pakatan Harapan dilihat masih mampu untuk menang dalam pilihanraya kecil pada 26 Januari depan.
Ini kerana, di sebalik adanya cabaran untuk meraih undi Melayu dan Orang Asli yang  lebih tinggi berbanding BN yang meletakkan calon Melayu, kelebihan utama Pakatan Harapan ialah kini merupakan pemegang kuasa sebagai kerajaan Persekutuan.
Dengan kedudukan sebagai kerajaan itu, Pakatan Harapan mempunyai kelebihan berbanding BN, malah atas kedudukan sebagai kerajaan jugalah yang memberi banyak kelebihan kepada BN mampu memang di Cameron Highlands sebelum ini.

Hari ini, dengan BN bukan lagi sebagai kerajaan, pengundi Cameron Highlands pasti lebih terdorong untuk mengundi Pakatan Harapan berbanding BN yang sudah kehilangan kuasa dan hanya berkuasa di peringkat negeri Pahang semata-mata.
Apatah lagi, pemimpin-pemimpin yang ada jawatan dalam kerajaan, meskipun fasa kempen masih di peringkat awal, tetapi sudah mula membanjiri  Cameron Highlands untuk berkempen dan menemui pelbagai kelompok pengundi.
Maka itu, tidak mustahil Pakatan Harapan mampu merampas kerusi milik BN itu pada pilihanraya 26 Januari depan nanti.
Tetapi, jika persoalan siapa patut menang yang ditanyakan, barangkali ramai yang tidak ragu-ragu dan merasakan bahawa BN seharusnya dikekalkan kemenangannya di Cameron Highlands ini.
Isu pokok yang membelenggu Pakatan Harapan ketika ini ialah masih banyak janji-janji dalam manifesto PRU14 yang bukan saja gagal ditunaikan, bahkan seperti tidak mahu dilaksanakan sama sekali.
Berkaitan janji melunaskan hutang-hutang tidak wajar bagi peneroka Felda saja misalnya, meskipun ia dijanjikan akan diselesaikan dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kerajaan, malangnya selepas lapan bulan berlalu pun ia masih lagi gagal ditunaikan.
Begitu juga dengan banyak janji lain seperti untuk menurunkan kos sara hidup dan memastikan tiada kenaikan harga barang atau kenaikannya dalam keadaan terkawal, semuanya ternampak tiada beza dengan ketika era BN dahulu.
Akibat situasi itu, jika dulu BN dimomokkan dengan ungkapan “Barang Naik”, sudah kedengaran ada yang memomokkan PH sekarang ini sebagai “Price Hike” pula.
Oleh kerana tempoh pilihanraya seterusnya masih ada kira-kira selama 4 tahun 4 bulan daripada sekarang, rakyat dalam hal  ini berhak menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan berhubung perlaksanaan janji-janji tersebut.
Terus memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan, mungkin akan menyebabkan kerajaan terus melengah-lengahkan atau mengabaikan sama sekali janji-janji yang pernah mereka lafazkan sebelum ini.
Namun, dengan memberikan kemenangan kepada pembangkang di Cameron Highlands ini, mungkin perlu disusuli pula di Semenyih selepas ini, ia akan menjadikan kerajaan tiada pilihan lain selain berusaha lebih keras menunaikan segala janjinya kepada pengundi jika tidak mahu kehilangan kuasa dalam PRU15 akan datang.
Dalam perkara ini, rakyat mesti bijak menggunakan undi mereka dan jangan sesekali mensia-siakan undi yang ada itu.
Antara siapa boleh menang dan siapa patut menang, tidaklah sukar memilih yang mana lebih kebaikannya.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.