`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, April 26, 2020

Banyak alasan untuk Umno terus sokong Muhyiddin, PN

Saya ingin merujuk kenyataan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang mengandaikan Perikatan Nasional (PN) tidak akan dapat bertahan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) 2 atau 3 tahun lagi.
Seperti dilaporkan beberapa portal berita, pemimpin DAP itu antara lain berhujah, Umno tidak akan membiarkan PPBM mengepalai kerajaan PN dan hanya akan bertahan dalam “gabungan tidak selesa” itu sehingga PRU kan datang.
Tegasnya lagi, apa juga bentuk kerjasama antara 2 parti itu akan berakhir sebaik Parlimen dibubarkan.
Beliau bersandarkan alasan, Umno tidak gembira memainkan peranan sebagai parti ke-2 kepada PPBM dalam kerajaan, sedangkan ia menyumbang jumlah kerusi paling banyak di Dewan Rakyat.
Alasan lain kerana beberapa pemimpin kanan Umno diketepikan daripada jawatan dalam Kabinet dibentuk Muhyiddin Yassin 2 bulan lalu.
Ini pula hujah saya sebagai bekas ahli Umno di Ipoh dan kini bersama PPBM.
Keputusan Umno menjalin kerjasama politik dengan PPBM langkah terbaik untuk parti diterajui Ahmad Zahid Hamidi itu.
Saya berkata ia keputusan yang baik ketika ini kerana langkah itu membolehkan Umno mempunyai suara dalam kerajaan.
Ia juga keputusan yang baik kerana membolehkan pemimpin Umno berada dalam senarai hirarki kuasa dan dilantik memegang jawatan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jika bukan kerjasama dengan PPBM yang mempunyai DNA sama, parti mana lagi yang paling sesuai untuk Umno menjalin pakatan. Adakah dengan DAP?
Umno tidak akan sesekali memilih DAP sebagai rakan kerjasama, juga bermakna tidak mungkin Umno akan menyertai Pakatan Harapan (PH) yang ada DAP sebagai sekutu teras.
Saya percaya pendirian DAP pun begitu juga, tidak mungkin akan bekerjasama dengan Umno.
Lalu, apa pilihan terbaik untuk Umno memastikan survival politiknya? Tidak lain tidak bukan bekerjasama dengan PPBM. Dalam erti kata lain, PPBM talian hayat Umno ketika ini.
Saya juga percaya, jika diberi pilihan, Umno pasti mahu meneruskan kerjasama dengan PPBM bawah PN sehingga PRU akan datang dan mungkin melangkau sehingga selepas itu.
Persoalan seterusnya, adakah wujud kemungkinan PPBM kembali ke pangkuan Pakatan Harapan (PH) – mengambil kira bagaimana parti itu keluar daripada pakatan berkenaan – andai Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin?
Jawapan saya, mungkin tidak selagi Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri dan mengemudi bahtera Putrajaya.
Atas sebab itu, saya melihat langkah yang baik untuk Umno kekal menyokong perdana menteri, memastikan kubu kem presiden PPBM tidak runtuh dirempuh Dr Mahathir Mohamad yang masih memegang jawatan pengerusi parti serpihan Umno itu.
Umno juga pastinya mahu menghalang sebarang percubaan oleh mana-mana ahli Parlimen PPBM yang dikaitkan dengan Muhyiddin daripada menyertai kem Mahathir.
Ini bermakna, ada alasan yang banyak untuk Umno terus menyokong Muhyiddin berbanding membiarkan parti itu dan PN hilang kuasa pada PRU-15 nanti.
Andai Putrajaya berjaya dikuasai semula oleh PH, pemimpin Umno dan parti itu akan kembali menjadi “buruan” kerajaan ditunjangi DAP seperti yang sudah terbukti sepanjang 22 bulan PH memegang kuasa.
Yang pasti, tiada siapa tahu apa akan berlaku selepas PRU-15 nanti, tetapi buat masa ini, kerjasama PPBM-Umno mempunyai asas yang kukuh walaupun masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.
Abdullah Yunos adalah pembaca FMT.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.