PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye membidas Najib Razak berhubung kenyataan beliau mengenai wabak Covid-19 dengan berkata, bekas perdana menteri itu “tidak memahami” virus itu dan bagaimana ia menular di negara ini.
Ini susulan sindiran Najib terhadap Dzulkefly Ahmad yang meminta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba supaya bertanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kenapa beliau membenarkan himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Feb hingga 3 Mac itu diadakan.
Pada waktu itu Muhyiddin merupakan menteri dalam negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu Adham menyalahkan pentadbiran PH atas kegagalannya menyekat penularan awal wabak tersebut, terutama himpunan jemaah tabligh itu, yang kemudiannya muncul sebagai kluster terbesar Covid-19 di Malaysia.
Najib sebelum ini membalas kenyataan Dzulkefly, yang merupakan bekas menteri kesihatan, dengan merujuk laporan berita bertarikh 12 Februari yang menyaksikan beliau menolak keperluan untuk menangguhkan perhimpunan besar walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan langkah itu.
Bercakap kepada FMT, Lee berkata, terdapat perbezaan antara perhimpunan besar dalam kalangan komuniti tempatan dengan persidangan dengan orang yang berasal dari kawasan yang dijangkiti.
“Pada waktu itu tidak ada jangkitan dalam kalangan komuniti tempatan. Ini kita tahu kerana Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemantauan, jadi perhimpunan awam dalam kalangan rakyat Malaysia tiada masalah.”
Beliau berkata, penularan virus itu berpunca daripada peserta dari negara yang dijangkiti yang masuk ke Malaysia dan menjangkiti penduduk tempatan.
“Kita (KKM) tidak tahu adanya peserta dari luar negara yang menyertai himpunan itu. JIka tidak, kita pasti menghalangnya.
“Kita hanya tahu mengenai acara itu (dan peserta asing) selepas Brunei merekodkan kes Covid-19 yang pertama,” katanya, merujuk kepada pesakit dari negara itu yang turut menghadiri himpunan tersebut.
Lee berkata, sekiranya Adham membangkitkan isu itu sekarang, maka beliau harus melakukan dalam mesyuarat Kabinet yang melibatkan Muhyiddin dan juga Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
“Kenapa mereka benarkan individu dari negara dijangkiti masuk ke negara ini?”
Beliau berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak diperlukan sewaktu pentadbiran lepas menangani virus tersebut kerana tidak berlakunya jangkitan tempatan, selain kes import ketika itu mudah dikesan, diasingkan dan dirawat.
Sebaliknya oleh sebab jangkitan tempatan telah berlaku, maka PKP diperlukan.
Lee juga berkata, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob silap apabila beliau berkata, hanya individu yang menunjukkan simptom jangkitan perlu memakai topeng.
“Apabila berlakunya jangkitan tempatan, mana-mana orang yang keluar rumah perlu pakai topeng. Kita harus andaikan bahawa semua orang berpotensi menjadi sumber jangkitan,” katanya dengan menambah bahawa Ismail tidak memahami tujuan PKP.
“Bagaimana anda tahu individu yang tidak menunjukkan simptom tidak membawa virus itu kerana terdapat banyak kes tanpa simptom?
“Jadi kena pakai topeng,” katanya selain menambah orang ramai tidak perlu memakai topeng hanya selepas jangkitan tempatan dihapuskan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.