`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, April 6, 2020

Kerajaan Perlu Tangani Isu Murtad Lebih Serius – Mufti Perak

(Berita Harian) – Isu murtad bukan bersifat peribadi atau semata-mata konflik kepercayaan, sebaliknya perlu dilihat dari sudut keselamatan, kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Beliau berkata tindakan menyenaraikan isu murtad atas dasar hak individu dan prinsip kebebasan beragama bakal menjejaskan usaha menanganinya secara kolektif.
Katanya, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab menangani isu murtad secara kolektif, walaupun sewaktu dilekakan dengan pelbagai isu besar seperti COVID-19, persengketaan politik dan kemelesetan ekonomi.
Menurutnya, kecemburuan masyarakat terhadap sesuatu nilai yang merosakkan agama dan dan kepercayaan hendaklah didahulukan tanpa menunggu angka yang banyak untuk bertindak.
“Kita bukan sekadar menghadapi krisis keruntuhan akhlak, konflik politik, perpecahan umat, kecuaian ibadah, kelemahan meninggikan syiar Islam dan pembudayaan songsang sebaliknya kekhuatiran utama yang perlu disedari adalah membabitkan permasalahan iman dan kufur.
“Sedarkah kita bahawa jika murtad hanya sekadar konflik kepercayaan peribadi, mengapa begitu agresif Saidina Abu Bakar memerangi golongan ini sewaktu pemerintahan beliau yang tidak lain menunjukkan betapa seriusnya kesalahan murtad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan klip video di media sosial mengenai pengakuan murtad seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu yang mengisytiharkan sebagai penganut Kristian berstatus Pastor.
Mengulas mengenai video terbabit, Harussani menyifatkan individu berkenaan gagal memahami mengenai Islam daripada sumber yang benar selain silauan mengenai kepercayaan anutan lain yang diambil tanpa ilmu dan kefahaman yang betul.
Harussani berkata, pengisytiharan itu begitu mengejutkan ketika individu berkenaan mengetahui kesan dan akibat daripadanya.
“Oleh itu saya menggesa masyarakat berhenti menyebarkan klip video berkenaan kerana ia secara tidak langsung mempromosikan individu di dalam video itu,” katanya.
Beliau berkata, seluruh lapisan masyarakat termasuk pemerintah dan pihak berkuasa harus sedar bahawa memelihara agama atau ‘hifz ad-din’ berada di carta terpenting berbanding maqasid syariah yang lain.
“Perlu diingat bahawa virus murtad ini terlalu bahaya yang tidak mungkin diletakkan (sekadar) sebagai isu peribadi dan konflik kepercayaan semata-mata di mana kecuaian dan sikap sambil lewa kita terhadapnya menyebabkan kelemahan dan kemunduran Islam di masa mendatang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.