`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 7, 2020

Majlis Setiausaha PH kesal pemecatan jawatan dalam agensi, GLC

Majlis Setiausaha PH berkata pemecatan beberapa jawatan dalam GLC dan agensi kerajaan memperkecilkan kredibiliti dan integriti penjawat awam.
PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan terkini berkaitan pemecatan beberapa jawatan dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dalam satu kenyataan ia berkata tindakan kerajaan memecat jawatan lantikan kerajaan sebelum ini daripada golongan profesional adalah tidak wajar dan bukan keutamaan.
“Kami berpandangan kerajaan tidak seharusnya bertindak melulu ketika negara sedang berhadapan dengan bencana wabak Covid-19.
“Kerajaan perlu menumpukan segala daya usaha dalam memerangi wabak ini dengan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama dan bukannya bermain agenda politik,” katanya.
Kenyataan bersama itu dibuat Shamsul Iskandar Mohd Akin dari PKR, Hatta Ramli (Amanah) dan Liew Chin Tong (DAP).
Majlis Setiausaha PH mengambil maklum tindakan kerajaan menarik balik kebenaran kepada beberapa syarikat penjualan arak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksana.
“Namun demikian tindakan kerajaan yang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada ketua setiausaha kementerian terbabit adalah satu penghinaan terhadap kakitangan awam.
“Menteri terbabit seharusnya mengambil tanggungjawab berdepan dengan masyarakat dan menyatakan kesilapan, bukannya berdiam diri atau menuding jari ke pihak lain.
“Adalah jelas kuasa untuk meluluskan perkara dasar yang bukan pentadbiran terletak kepada menteri yang terlibat terutamanya dalam PKP ini,” katanya.
Majlis Setiausaha PH berkata tindakan seperti itu bukan sahaja memperkecilkan kredibiliti dan integriti penjawat awam tetapi menjatuhkan semangat mereka yang setia berkhidmat dalam tempoh PKP ini.
“Oleh itu, kami mengharapkan perdana menteri dan kerajaan dapat memberikan komitmen penuh dalam meneruskan usaha reformasi institusi pentadbiran dan politik.
“Ini termasuklah memperkasakan perkhidmatan awam dengan memberi penghormatan yang sewajarnya kepada penjawat awam agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab dengan profesional tanpa tekanan atau ancaman,” katanya.
Majlis Setiausaha PH berharap tadbir urus bagi agensi dan GLC terus bebas daripada cengkaman parti politik dengan memastikan lantikan pengerusi dan ahli lembaga adalah dari kalangan profesional yang berpengalaman dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.
Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob semalam mengesahkan Putrajaya membatalkan kelulusan yang diberikan kepada kilang arak Heineken dan Carlsberg untuk meneruskan operasi ketika PKP.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
FMT melaporkan kelulusan “operasi terhad” diberikan kepada kilang arak itu menerusi surat bertarikh 31 Mac lalu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Hasnol Zam Zam Ahmad atas alasan ia memenuhi kriteria pembekal makanan dan boleh terus beroperasi ketika PKP.
Kelulusan itu juga didakwa tanpa pengetahun menteri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.