PETALING JAYA: Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menjangkakan wabak Covid-19 yang mengorbankan 86 individu tidak akan berakhir sehingga sambutan Aidilfitri.
Adham berkata, beliau juga sukar membuat keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu akan dihentikan sewaktu Hari Raya yang dijangka berlangsung pada pertengahan Mei ini.
“Sukar untuk buat keputusan kerana ini adalah bentuk pandemik. Kita lihat ada 3 negara di dunia yang sebelum ini keluar dari PKP tetapi ada kajian, ada naik balik kes Covid-19 dan mereka sudah mula amalkan PKP.
“Sekarang ini tugas kita adalah untuk mendatarkan lekuk Covid-19 ini, nampaknya sudah berhasil. Saya jangka Covid-19 ini tidak akan berakhir sehingga bulan puasa, bahkan bulan raya,” katanya sewaktu mengadakan tele-sidang bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Adham berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Zahid yang ingin mengetahui apakah PKP ini akan dilanjutkan sehingga ke Hari Raya, memandangkan Umno dihujani pelbagai pertanyaan dari rakyat berhubung perkara ini.
Beliau turut memaklumkan, keberkesanan PKP ini dapat dilihat apabila semakin banyak kawasan di seluruh negara kembali ke zon hijau berbanding sebelumnya dan tidak menolak kemungkinan aktiviti PKP akan dilonggarkan di kawasan berkenaan.
“Kawasan hijau sudah meningkat dengan banyak dan bermakna kawasan hijau ini boleh kita longgarkan PKP ini. Bagaimanapun, kita tidak boleh benarkan satu Covid-19 berada di Malaysia ini,” katanya.
Setakat ini, menerusi infografik Kementerian Kesihatan, jumlah zon merah Covid-19 di seluruh negara meningkat kepada 29 daerah selepas Kulai merekodkan 41 kes positif virus itu.
Bahkan, sehingga ke hari ini, KKM mencatatkan 86 kematian dan 5,251 kes positif Covid-19 dicatatkan seluruh negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.