`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, April 18, 2020

Taman rama-rama Melaka lupus lebih 3,000 beluncas untuk jimat kos ketika PKP

Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka membiakkan lebih 200,000 rama-rama setiap tahun. (Gambar Bernama)
MELAKA: Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka (MBRS) terpaksa melupuskan lebih 3,000 beluncas daripada pelbagai spesies rama-rama bagi tujuan penjimatan kos sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
Eksekutif Hidupan Liar MBRS, Qurratu A’in Rohaminordin, berkata ia bagi mengehadkan kuantiti beluncas dan meminimumkan penggunaan pokok perumah sekali gus mengurangkan bilangan pekerja makmal pembiakan di taman itu.
“Ada yang dibiakkan sejak lebih 10 tahun lalu, namun terpaksa dihapuskan dan tidak dilepaskan kerana semuanya adalah hasil pembiakan di dalam makmal sepenuhnya yang mungkin akan memberi kesan sampingan kepada kawasan persekitaran sekiranya dilepaskan.
“Beluncas bagi setiap spesies juga memerlukan pokok perumah yang berbeza dan seandainya ia dilepaskan, peluang untuk terus hidup dan menjadi rama-rama amat rendah memandangkan pokok perumah sangat terhad dan sukar dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh PKP, taman itu tidak menerima pengunjung seperti biasa sehingga menyebabkan kekurangan pendapatan sedangkan sumber pendapatan utama taman itu adalah bergantung kepada tiket pelawat dalam dan luar negara.
Qurratu A’in berkata kesan daripada itu, bilangan penjaga hidupan liar di taman itu juga terpaksa dikurangkan, manakala penjaga hidupan liar bekerja secara bergiliran.
“Perkara ini sangatlah perlu memandangkan sejak PKP, MBRS kehilangan sumber pendapatan sehingga mencecah sifar keuntungan, malah taman ini juga menghadapi kerugian sehingga RM300,000.
“Namun, terima kasih kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kerana sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan secara konsisten kepada taman ini,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin memberi bantuan dan merasai sendiri pengalaman menyaksikan proses rama-rama keluar daripada kepompong, boleh membuat pembelian kepompong sebenar yang dibiakkan di makmal pembiakan dengan melayari www.butterflyreptile.com atau hubungi 06-2320033.

MBRS ditubuhkan pada 1991, merupakan taman zoologi swasta yang berperanan menyelidik dan membiakkan lebih 100 spesies rama-rama dan serangga. Taman itu juga berjaya membiakkan lebih 200,000 rama-rama setiap tahun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.