Salam Rakyat Malaysia,
Kita wajib bersama-sama memastikan negara mengelakkan keadaan di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke-2 terpaksa dilaksanakan beberapa minggu atau bulan selepas tamatnya PKP pertama yang sedang disambung ini.
Wabak Covid-19 menyebabkan semua negara menghadapi situasi ekonomi yang sama; di mana banyak perniagaan yang terjejas dan lingkup, aliran tunai yang tersekat, pertambahan penggangguran secara mendadak dan hidup rakyat menjadi susah.
Oleh itu, negara mana yang dapat menyelesaikan masalah Covid-19 dulu akan berpeluang menjadi negara yang memulihkan ekonominya dulu dan meraih potensi berkembang yang paling besar.
“Menyelesaikan” di sini bermaksud wabak Covid-19 tidak berpeluang untuk merebak secara berleluasa lagi selepas tamat segala inisiatif kerajaan untuk memastikan rantaian jangkitan Covid-19 terputus.
Saban hari, angka jangkitan Malaysia walaupun kelihatan di paras stabil, tapi hakikatnya jangkitan masih berlaku setiap hari, dan ada kematian hampir setiap hari sepanjang PKP dijalankan.
Angka yang stabil tidak bermakna Covid-19 sudah ditewaskan. Ia belum ditewaskan, malah ia boleh kembali mengganas kembali jika kita tidak berhati-hati.
Covid-19 hanya memerlukan salah seorang antara kita yang leka untuk kembali mengganas. Bayangkan Covid-19 berjangkit kepada seorang yang imunitinya kuat tapi cuai. Dia bakal mewujudkan kluster baru tanpa sedar kerana padanya tiada sebarang simptom dia terkena jangkitan Covid-19.
Oleh itu, jangan cepat ambil mudah dan mula leka terutama syarikat dan mereka yang tergesa-gesa ingin kembali bekerja kerana tekanan ekonomi dan kewangan. Kerajaan dan pemilik bisnes perlu memastikan segala kelengkapan dan garis panduan Kementerian Kesihatan dapat dipatuhi di pejabat sebelum operasi syarikat bermula kembali.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Cuti sekolah sempena sambutan Hari Raya tahun ini minggu paling kritikal buat negara. Jika PKP tamat sebelum cuti sekolah sempena Hari Raya, sudah tentu rakyat akan kembali bersesak di jalan kerana sudah menjadi tradisi kita untuk meraikan perayaan dan cuti sekolah ini bersama-sama keluarga. Namun, cuti ini berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan rantaian jangkitan Covid-19 bersambung kembali sehingga memungkinkan kerajaan terpaksa melaksanakan PKP yang ke-2 selepas Hari Raya.
Demi memastikan rantaian Covid-19 kekal terputus, rakyat dan kerajaan perlu saling memahami dan membuat keputusan yang terbaik menghadapi isu yang sensitif ini. Antara cadangan yang boleh diberi pertimbangan ialah menundakan cuti sempena Hari Raya bulan depan ke akhir tahun.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Kita sedang membayar kos yang sangat tinggi untuk PKP demi nyawa kita dengan harapan ia dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan menghalang jangkitan itu merebak secara exponen sehingga melumpuhkan sistem kesihatan negara. Setiap rakyat sedang berkorban duit, pekerjaan dan kelumpuhan ekonomi demi menyelamatkan nyawa.
Tidak dapat dinafikan lagi, PKP ini menjadi medan pertempuran terpenting bagi rakyat, kerajaan dan negara kita di dalam sejarah. Dan kita tidak boleh gagal. Ya, pertempuran ini sangat perit, dan kesakitan ekonomi pada setiap rakyat tidak boleh dielakkan. Namun, kita boleh saling bergading bahu, bekerjasama dan kita jaga kita agar kita dapat meredakan kesakitan (cushion the pain) ini bersama.
Persoalan yang perlu dijawab secara ikhlas oleh semua rakyat ialah bilakah masa yang selamat untuk menamatkan PKP fasa 1 yang kini disambung ke 28 April? Bukan masa yang sesuai, tapi masa yang selamat.
Masa yang selamat untuk menamatkan PKP ialah masa di mana pihak pakar benar-benar yakin Covid-19 yang rantaiannya terputus tidak akan bergabung kembali. Ketika itu juga, kita yakin segala mekanisme dan inisiatif diambil untuk memastikan pintu masuk negara tidak terbolos oleh kemasukan Covid-19 kali ke-2, terutamanya dari negara jiran Indonesia yang dijangkakan jangkitannya hanya akan memuncak pada Mei.
Jika terpaksa berlakunya PKP ke-2 selepas tidak beberapa lama tamatnya PKP pertama, kita akan rugi 2 kali. Masa itu, kita akan jauh ketinggalan berbanding negara lain kerana ketika itu kebanyakan negara sudah memasuki fasa pemulihan.
Oleh itu, biar PKP ini hanya dilaksanakan sekali, biarkan ia mengambil masa yang perlu untuk memastikan ia efektif. Alang-alang dah sakit, biar sakit sekali gus. Jangan selepas kita berkorban duit, pekerjaan, makanan pada PKP pertama, tiba-tiba Covid-19 kembali mengganas. Itu dipanggil mati katak.
Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk mencapai hasrat ini. Kita perlu saling memainkan peranan dan membantu kerajaan memastikan negara dan rakyat mengelakkan PKP yang kedua.
Katakan TIDAK kepada PKP ke-2. Malaysia Boleh! - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.