`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 17, 2020

Sepetang di Jakarta bersama bekas pengganas Jemaah Islamiyah

Pagi itu saya mendapat pesanan ringkas dari teman saya, David untuk mengingatkan temujanji petang nanti di Face Bar, Menteng. Setelah menjawab pesanan ringkas tersebut saya menyambung kembali tugas saya yang berbaki beberapa hari lagi di Jakarta. Sudah hampir sebulan saya di Jakarta mewawancara responden dan menyiapkan laporan bertulis tentang trend beragama golongan kelas menengah di Jakarta Selatan.
Selesai tugas mewawancara, saya langsung ke masjid di Blok M, Jakarta Selatan yang tidak berapa jauh dari bilik sewa saya untuk solat Zohor dan makan siang. Sepanjang saya di Jakarta hampir setiap hujung minggu saya akan ke masjid yang terletak di lantai 7 pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk rakyat Malaysia yang bercuti ke Jakarta ini untuk mendengar sendiri pengajian dan bertemu dengan responden yang bersedia untuk diwawancarai.
Hampir semua yang saya temui adalah dari kelas menengah dan mempunyai status kewangan yang stabil, mendapat pendidikan moden, dan tidak pernah ke pondok pesantren atau madrasah serta tidak boleh berbahasa Arab dan membaca kitab kuning. Tetapi aneh mereka sangat ekstrim dalam berpendapat seperti mengharamkan pembedahan Caesarean, feminisme, demokrasi, pilihan raya, dan amalan tradisi keagamaan yang lama diamalkan di Nusantara. Mereka ini lebih dikenali sebagai “komuniti hijrah”.
Tidak jarang juga mereka ini menjadi simpatisan dan penderma kepada organisasi pengganas seperti IS.
Jam 5 saya berangkat dengan Ojek (teksi motosikal) dari bilik sewa saya di Jalan Cipete Raya ke Menteng. Saya tiba di Menteng lebih kurang 5:45 petang dan saya disapa David di pintu masuk restoran dan diperkenalkan dengan Nasir Abas. Beliau berjabat tangan dengan saya dan bertanya, “Afiq, orang Malaysia?”, dan saya mengiyakan. Kami berbual sementara menanti 2 orang teman lagi. Nasir atau lebih akrab disapa Pak Nasir nama penting dalam Jemaah Islamiyah (JI) dan merupakan warganegara Malaysia berasal dari Johor Bahru.
Pak Nasir pertama kali mendengar perkataan mujahidin dan jihad seawal usia 15 tahun sewaktu membaca laporan berita tantang peperangan di Afghanistan yang diterbitkan Berita Harian yang sering dibeli bapanya. Katanya ada semacam perasaan yang membangkitkan emosi dan simpati apabila membaca berita saudara seagama diperangi dan dizalimi tentera Rusia pada ketika itu. Sejak itu beliau bercita-cita untuk membantu dan ikut serta barisan depan melawan tentera Rusia di Afghanistan.
Selesai menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1984, beliau memutuskan untuk berhenti persekolahan dan melanjutkan pendidikan secara tidak formal ke Kuala Pilah. Hampir 3 bulan di Kuala Pilah, pada awal 1985 tempat pengajian beliau dikunjungi rombongan yang terdiri dari kurang lebih 50 orang warganegara Indonesia katanya untuk mengadakan “comparative study” antara sistem pendidikan Islam di Indonesia dan Malaysia. Di antara mereka yang sering di jadikan rujukan adalah Ustaz Abdul Halim atau lebih mesra di sapa dengan “Abah”.
Menurut Pak Nasir, sewaktu pertama kali bertemu dengan Halim, beliau sedikit keliru mengapa rombongan dari Indonesia memanggilnya “Abah”. Rupanya panggilan “Abah” menunjukan penghormatan kerana keilmuan dan status sosial seseorang. Pak Nasir juga bertemu dengan Ustaz Abdul Somad atau dipanggil “Ustaz Abu” oleh teman-teman dari Indonesia. Kata Pak Nasir, “Sampai sekitar 97 atau 98 barulah saya tahu nama sebenar ‘Abah’ adalah Abdullah Sungkar dan ‘Ustaz Abu’ itu Abu Bakar Ba’asyir”. Dua orang pengasas JI.
Sepanjang mereka di Kuala Pilah, Pak Nasir sering mengunjungi “Abah” dan “Ustaz Abu” untuk berbincang dan mendapatkan penjelasan tentang isu keagamaan dan jihad. Sehingga pada September 1987, beliau ditawarkan untuk menyambung pengajian ke Afghanistan yang dibiayai sepenuhnya oleh “Abah”. Setelah mendapat keizinan dari keluarga di Johor, beliau berangkat semula ke Kuala Pilah dan diberitahu beliau akan ke Afghanistan bersama-sama 13 orang warganegara Indonesia yang lain. Mereka akan berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Beberapa hari sebelum berangkat, beliau di minta ke sebuah rumah di Serting, Negeri Sembilan untuk berbaiah atau berjanji taat setia. Menurut Pak Nasir itulah kali pertama beliau berbaiah dan awalnya beliau agak ragu sewaktu melihat seorang demi seorang bersalaman dengan “Abah” sambal mengucapkan sesuatu. Namun kerana semangat yang membugar-bugar ingin ke Afghanistan, beliau menurutkan sahaja. “Bai’atukum ‘ala al sam’i wa al tha’ah fi al ‘usri wal yusri” (Aku berjanji taat setia, patuh dan taat dalam susah dan senang).
Begitulah lafaz baiah yang diucap Pak Nasir sambil berjabat tangan dengan “Abah”. Majlis tersebut diakhiri dengan ucapan sebelum rombongan mereka berlepas ke Subang. Pak Nasir juga diberikan nama baru, katanya untuk memudahkan proses imigresen dan kemasukkan ke Afghanistan – Sulaiman, itulah nama baru Pak Nasir.
Menurut Pak Nasir lagi, sewaktu di Kuala Pilah beliau hanya dimaklumkan rombongan dari Indonesia terpaksa melarikan diri ke Malaysia atas faktor keselamatan sehinggalah sewaktu beliau di Akademi Mujahidin Afghanistan pada penghujung 1987, beliau mendapat tahu mereka yang ‘lari’ ke Malaysia sebenarnya terlibat dengan Negara Islam Indonesia (NII).
Perbualan kami terhenti seketika, kerana 2 orang teman yang akan ikut bergabung petang itu baru tiba. Mereka masing-masing peneliti isu terrorisme khususnya di Acheh. Kami memesan makanan dan Pak Nasir serta David bertanyakan tentang keadaan di Malaysia dan tentang penelitian saya di Indonesia.
Saya bercerita tentang wawancara dan tempat pengajian yang saya kunjungi sepanjang di Jakarta Selatan. Saya bertanya kepada Pak Nasir, “Tak rindu nak balik ke Malaysia?”. Pak Nasir tersenyum dan membalas, “Pasti rindu, tapi nama saya masih ‘wanted’ di Malaysia dan Singapura, lagi pula keluarga saya sudah senang di sini…kalau Afiq ke Kuala Pilah sampaikan salam saya buat teman-teman di sana”.
Kami bersurai hampir jam 9 malam. Bertemu Pak Nasir dan mendengar langsung cerita dalam kain JI serta bagaimana beliau keluar dari JI membuat saya berfikir kita semua terdedah kepada naratif yang boleh menjadikan kita simpatisan kepada pemikiran pengganas bahkan tidak mustahil menjadi pelakunya. Barangkali sejak dari kecil naratif seperti “hanya saya sahaja yang Islam selain saya semuanya kafir” atau semudah “itu bidaah…” seperti yang ditaja sebahagian kumpulan dan kelompok di Malaysia boleh menjadi pemicu kepada pemikiran dan perlakuan tidak toleran seperti JI.
Dengan rahmat tuhan, semoga kita terselamat dari pemikiran seperti itu.
Afiq Mohd Noor adalah seorang peguam hak asasi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.