`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 21, 2020

Ibu tunggal hadapi kesukaran akibat PKP, berisiko diusir dari flat

 

Mageswari Krishnasamy bersama anaknya dalam flat mereka.

GEORGE TOWN: Seorang ibu tunggal yang kehilangan pekerjaan mencuci pinggan ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Mac lalu, kini berdepan pengusiran dari flat kerajaan di Taman Free School di sini.

Masalah kemiskinannya berkurangan sedikit selepas FMT melaporkan kisahnya April lalu. Sumbangan yang diterimanya membolehkan anaknya tidak lagi hanya minum kopi O dan makan bubur.

Tetapi, Mageswari Krishnasamy, 31, baru-baru ini diminta mengosongkan flatnya atau beliau akan diusir pada 30 Nov ini kerana tidak membayar sewa selama 6 bulan.

Wanita itu tidak mampu membayar sewa bulanan RM97 kerana tidak mempunyai pendapatan tetap. Beliau membuat kerja rencam seperti mengemas rumah untuk RM50 selama 4 jam dan memotong sayur untuk RM20 sehari.

Dengan perkembangan terbaru Covid-19 di Pulau Pinang, permintaan untuk tukang cuci dan kerja rencam lain berkurangan.

Keadaan itu turut menyebabkan jirannya tidak boleh menjaga anaknya ketika beliau keluar bekerja.

“Saya sudah muat naik di Facebook untuk tanya jika ada orang boleh memberi saya pekerjaan.

“Seorang lelaki pada awalnya menawarkan kerja sebagai jurutaip memasukkan data, saya boleh bekerja dari rumah, tetapi ia tidak berlaku,” katanya kepada FMT.

Notis pengusiran yang dihantar kepada Mageswari Krishnasamy baru-baru ini.

Mageswari berkata, pejabat Parlimen Jelutong turut membantu beliau mendaftar untuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi berdepan kerenah birokrasi.

Antaranya, beliau perlu mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional sedangkan beliau tidak mempunyai deposit minimum RM50 untuk membuka akaun itu.

Seorang jirannya membantu beliau dengan deposit itu bulan lalu, jadi kini beliau mempunyai akaun BSN. Tetapi katanya, beliau belum menerima sebarang bantuan JKM.

“Saya mengalami masalah tidur pada malam kerana bimbang diusir. Dahulu, ketika seorang penduduk flat diusir, mereka datang dalam kumpulan besar seperti gengster. Saya tidak mahu itu berlaku.”

Beliau berkata, masalah sumbing anak bongsunya belum dirawat kerana perlu menunggu giliran panjang di hospital kerajaan.

“Doktor kerajaan nasihat saya simpan duit supaya anak saya boleh dibedah di hospital swasta.”

Kini, keadaan mungkin berubah buat Mageswari. Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer memberitahu FMT, beliau akan memastikan wanita itu tidak diusir dengan melangsaikan tunggakan sewa flatnya dan memberikan bantuan dalam bentuk lain. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.