`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 7, 2020

Keputusan ‘lepas tanpa dibebas’ Ku Nan: Transparency International bimbang persepsi masyarakat

 

TI-Malaysia mahu rasuah terus diperangi dengan iltizam yang dipamerkan pada 2019.

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) bimbang persepsi orang ramai susulan pelepasan bersyarat Tengku Adnan Mansor atas tuduhan rasuah RM1 juta oleh Mahkamah Tinggi, kata presidennya, Muhammad Mohan Abdullah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi meluluskan permohonan Jabatan Peguam Negara untuk Tengku Adnan, yang lebih dikenali ‘Ku Nan’, dilepaskan tanpa dibebaskan atas tuduhan itu.

Keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu bermakna Peguam Negara boleh membawa semula pertuduhan berkenaan terhadap bekas setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional itu berdasarkan perkembangan baharu.

Muhammad berkata semua pihak harus tenang dan memberikan ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut dan mengemukakan hasilnya kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita mesti mematuhi kedaulatan undang-undang. Namun, TI-Malaysia bimbang kesan keputusan hari ini ke atas persepsi orang awam terhadap usaha memerangi rasuah di Malaysia.

“TI-Malaysia juga bimbang kesan kes ini terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan datang,” kata beliau.

Muhammad berkata pada tahun lalu, Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam CPI secara nyata, hasil ketegasan menjalankan siasatan berprofil tinggi dan membawa mereka yang terlibat menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Kita berharap iltizam ini sentiasa diasah dan diperkasakan untuk menzahirkan azam memerangi rasuah tanpa mengira bulu atau pilih kasih,” kata beliau.

Hakim Nazlan mengeluarkan perintah melepas tanpa membebaskan Ku Nan selepas pihak pendakwaan memberitahu mereka tidak mahu meneruskan kes terhadap Tengku Adnan atas alasan “perkembangan baru”.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bersambung hari ini.

Ku Nan didakwa menerima RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk meningkatkan nisbah plot industri sebidang tanah di Jalan Semarak.

Perbuatan itu dikatakan dilakukan di CIMB cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 Dis 2013.

Tuduhan terhadap Ku Nan, yang ketika itu menteri Wilayah Persekutuan, dibuat mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah suapan diterima.

Sebelum ini, Tan didenda RM1.5 juta oleh mahkamah atas tuduhan alternatif bersubahat dengan Ku Nan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ketika prosiding pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, memohon perintah untuk “melepas tanpa membebaskan” Tengku Adnan kerana SPRM perlu melakukan siasatan lebih lanjut mengenai kes itu.

“Kami tidak pasti berapa lama SPRM perlu menyiasat ‘perkembangan baru’ ini.

“Pihak pendakwaan akan memutuskan sama ada akan meneruskan pendakwaan selepas isu baru tersebut diselesaikan,” katanya.

Peguam Tan Hock Chuan berkata Ku Nan harus diberi pembebasan sepenuhnya.

“Dia didakwa di Mahkamah Sesyen pada 15 Nov 2018, dan pertuduhan itu tergantung selama lebih dua tahun.

“Pihak pendakwaan tidak memberitahu berapa lama mereka perlu menyiasat ‘perkembangan baru’ ini,” katanya.

Sementara itu, Ku Nan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Tinggi lain, yang mana dia didakwa menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong, pada 2016.

Mahkamah menetapkan 21 Dis untuk keputusan kes itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.