`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Monday, December 28, 2020

Khairy pulih selepas hilang ingatan sementara susulan kemalangan langgar ‘lubang maut’

 

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknoloji, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berharap keprihatinan Jabatan Kerja Raya (JKR) atas kemalangannya melanggar ‘lubang maut’ semalam bukan kerana kedudukannya sebagai menteri.

“Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR.

“Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat,” beliau dipetik berkata oleh Berita Harian.

Khairy tidak mengingati butiran penuh kemalangannya kerana mengalami kesan hilang ingatan sementara, selepas terpaksa ditempatkan di hospital semalaman.

“Saya sampai sekarang tak ingat apa yang jadi semalam. Yang saya ingat, bila sudah sampai ke hospital.

“Doktor kata ia disebabkan gegaran ketika jatuh daripada basikal. Saya masih bernasib baik, tetapi simpati (saya) kepada rakyat kerana inilah yang jadi pada orang biasa,” kata beliau.

Khairy berkata kemalangan seperti itu yang membawa kecederaan serius dan kematian dalam kalangan rakyat setiap tahun harus disiasat.

Ia termasuk aspek kualiti dan jentera atau kenderaan berat yang menggunakan jalan berkenaan sehingga menyebabkan permukaannya berlubang.

“Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula.

“Kalau kita nampak, boleh elak. Tetapi saya yang berbasikal, dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?

“Isu pokoknya, masalah jalan berlubang ini memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat,” katanya.

Beliau mencadangkan portal aduan khas secara dalam talian diwujudkan bagi menangani isu ‘lubang maut’ pada jalan di seluruh negara.

Katanya, jalan penyelesaian seperti itu penting kerana rakyat berupaya menjadi ‘mata dan telinga’ agensi berkaitan yang bertanggungjawab untuk menyelia aspek penyelenggaraan jalan.

“Tetapi agensi kerajaan seperti JKR tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk nak tengok seluruh jalan Persekutuan.

“Sebab itu, saya sudah bincang dengan (Menteri Kerja Raya) Fadillah (Yusof) untuk bagaimana kita boleh jalinkan penggunaan teknologi bagi menyelesaikan isu ini.

“Dengan mewujudkan suatu portal khas untuk menyalurkan aduan, beberapa butiran seperti gambar, video dan maklumat mengenai kerosakan jalan dapat disalurkan secara pantas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.